Sunday, October 30, 2011

Jari jemarimu... RAHSIA di sebalik???


Istimewanya jari manusia... saling melengkapi antara sendiri.. jika ibu jari sakit, jari yang lain sukar untuk memainkan peranannya.. dan begitu juga sebaliknya.. namun itu tidak menjadi masalah bagi mereka yang Allah telah kurniakan keistimewaan dari segi fizikalnya.. Jari jemari manusia menyimpan seribu satu rahsia pemiliknya.

bercakap soal jari ini, berapa ramai dikalangan kita selalu bermuhasabah diri ketika melihat jari?adakah kita pernah menghargai pemberian nikmat Allah yang satu ini??

Sebut mengenai jari juga.. pasti tergambar akan tilikan-tilikan jari yang diamalkan oleh nenek moyang terdahulu. Semestinya kita akan mengatakan ianya khurafat kerana mensyirikkan Allah.. tapi.. harap 'mind setting' itu dapat di ubah setelah membaca artikel ini.
Antara misteri jari ialah penentu kepada kesihatan manusia. Menurut ajaran Islam seseorang perempuan yang ingin dikahwini juga adalah diseru agar dilihat dan diperhatikan kepada jari. Melaluinya kesihatan seluruh tubuh badan dapat dipastikan oleh pihak lelaki. Sebagai bukti kekuasaan Allah yang telah menjadikan jari ialah bagaimana penghidap kencing manis juga adalah dinasihatkan oleh pakar kesihatan agar membuat pemeriksaan sendiri terutama pada jari-jemari dan juga jari kaki yang sering kebas untuk mengesan tanda luka atau jangkitan. Ini kerana deria rasa sakit penghidap kencing manis akan berkurangan. Rawatan awal ini dapat mengelak jangkitan merebak dengan lebih dahsyat

Selain itu perokok tegar juga dapat dikesan melalui tanda-tanda tindak balas bahan kimia dalam rokok yang terdapat di jari-jemari. Buktinya setiap kali perokok menyedut, dia akan menyerap masuk lebih dari 4,700 bahan kimia yang telah terbukti memberi kesan buruk pada setiap inci tubuh perokok. Antara kesan serius ini ialah kulit lebih cepat berkedut, gigi dan jari-jemari perokok akan menjadi kuning.

Manakala dalam masyarakat Cina lebih gemar menilik dan membelek tangan serta kulit timbul di jari-jemari untuk menilik masa depan seseorang. Pemerhatian yang mendalam dengan mengambil kira susur galur urat di jari-jemari akan menceritakan banyak rahsia seperti kebahagiaan dan kecelakaan seseorang menurut pengamalan masyarakat Cina.

Berbeza pada masyarakat Melayu yang sinonim dengan penghayatan Islam pula mengembalikan rahsia dan cap jari adalah milik Allah pencipta manusia. Namun, sekiranya kita perhatikan jaluran urat di tapak tangan kanan akan tertera nombor Arab 18 dan tapak tangan di bahagian kiri pula akan tercatat nombor 81. Jika seorang hamba Allah berdoa, maka kedua-dua tapak tangan ini akan dicantumkan dan cantuman ini akan menjadikan angka 99. Nombor 99 ini boleh diertikan dengan 99 nama Allah Yang Maha Agung Lagi Maha Mulia.




Hakikatnya, jari dan cap jari serta tapak tangan kita merupakan tanda di antara tanda kekuasaan Allah. Kondisi dan struktur jaringan halus urat timbul yang kompleks ini telah menyebabkan proses sains dan teknologi makin berkembang pesat untuk mengkaji serta menyelidik demi menambah baik kesenangan dan keselesaan hidup manusia pada masa mendatang. Walaupun situasi jenayah makin bertukar dan berkembang pesat selari dengan kepesatan teknologi, namun adalah sesuatu yang mustahil di alam ini bagi menghilangkan dan melenyapkan identiti diri kerana setiap penciptaan manusia ada hikmah yang tersirat dan tersimpul di sebalik kejadiannya.


Penulis :Nur Asiah bt Abd Ghani (http://ummiesufia.blogspot.com)
Di edit : nature mujahid



Persoalan hukum tepuk tangan


Assalamualaikum w.b.t


Hukum : 1) Haram ketika solat
2) diharuskan bagi meriahkan majlis


KEBIASAANNYA bertepuk tangan disaksikan ketika menghadiri majlis keramaian dan persembahan. Sudah menjadi kebiasaan majlis berbentuk Islam sunyi daripada tepukan gemuruh penontonnya. Bahkan suasana sedemikian menampakkan kesuraman sesuatu program. Apabila diteliti permasalahan ini, timbul beberapa perbahasan dalam kalangan sesetengah orang agama bahawa bertepuk tangan itu diharamkan. Ada pula mengeluarkan pendapat pelik ia boleh menyebabkan syaitan melahirkan anaknya. Bertepuk tangan di majlis keramaian adalah harus pada hukum syarak. Yang ditegah adalah sewaktu solat ataupun mengaitkannya dengan ibadah Malah ada yang mencadangkan jika ingin menepuk tangan maka tepuklah dengan belakang tapak tangan sebagai isyarat gantian. Persoalannya adakah ini sesuatu ditetapkan agama.

Walaupun ada dibahaskan dalam bab solat oleh ulama asy-Syafi’iyyah seperti Imam Ramli dan al-Bajuri, namun ia tidak membabitkan hukum menepuk tangan di luar solat. Maka, ada pendapat mengharamkannya berasaskan penghujahan dalil tertentu.


Firman Allah SWT bermaksud: “Tiadalah solat atau ibadah mereka di Masjidil Haram selain muka’ (siulan) dan tashdiyyah (tepuk tangan). Maka rasakan azab disebabkan kekafiran kamu.” (Surah al-Anfal ayat 35)


Pentafsir mentafsirkan ayat ini mengatakan perkataan al-muka’ (siulan) dan al-tashdiyyah (tepuk tangan) yang dimaksudkan dalam surah al-Anfal ialah perbuatan orang kafir yang mengganggu solat dan bacaan al-Quran Rasulullah serta kaum muslimin.
Tepukan dan siulan itu mendatangkan rasa tidak senang kepada Rasulullah dan orang Islam sehingga Rasulullah menegah perbuatan berkenaan. Ini pandangan paling tepat dalam menceritakan sebab turunnya ayat menurut Imam Jalaluddin as-Suyuti.

Al Qurtubi pula merujuk kepada pendapat Ibnu Abbas mengatakan, masyarakat Quraisy jahiliah melakukan tawaf di Masjidil Haram dengan bertelanjang, bertepukan dan bersiulan. Pada pandangan mereka ia adalah ibadat. Ini juga pandangan Mujahid, As Suddi dan Ibnu
Umar.

Merujuk sebab turun dan kisah di sebalik ayat 35 surah al-Anfal ini, jelas pengharaman tepuk tangan secara umumnya adalah kepada orang yang meniru perbuatan orang kafir dalam melakukan ibadah. Jika ibadah solat diselang-selikan dengan bertepuk tangan maka secara jelas diharamkan.

Bagaimanapun, mengharamkan hukum menepuk tangan ketika di luar solat adalah pengambilan dalil yang bukan pada tempatnya kerana ayat berkenaan tertuju kepada mereka yang melakukan ibadat dengan cara bertepuk tangan.

Sudah jelas kepada kita bertepuk tangan dalam solat seperti orang jahiliah adalah dilarang. Namun, menepuk tangan di dalam solat dan di luar solat berbeza. Maka penyabitan hukumnya juga berbeza.

Begitu juga sebahagian pendapat mengatakan menepuk tangan diharamkan kepada lelaki berasaskan dalil hadis sahih yang bermaksud:

Barang siapa yang ingin membaiki kesalahan dalam solat hendaklah dia bertasbih (dengan berkata subhanallah). Sesungguhnya apabila dia berkata demikian, imam akan berpaling kepadanya (memberi perhatian). Dan sesungguhnya bertepuk tangan itu adalah khusus untuk wanita.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Perbuatan itu dilarang kerana termasuk dalam tasyabbuh (menyerupai) wanita seperti dinyatakan hadis bahawa hal semacam itu hanya khusus bagi wanita ketika memperingatkan imam yang tersilap dalam solat sementara lelaki disuruh mengingatkan imam dengan ucapan tasbih.

Hadis ini khusus mengenai bertepuk tangan dalam solat. Kes berlaku apabila seorang imam melakukan kesilapan maka makmum wanita hanya boleh menepuk tangan sebagai isyarat membetulkan imam. Ia tidak boleh menjadi dalil menegah bertepuk di luar solat seperti disebut oleh Al Imam Ibnu Hajar Al Haitami.

Pengharaman hukum menepuk tangan dalam sesuatu majlis itu tertolak kerana masih lagi didasari dalil agak lemah. Penulis cenderung kepada pandangan beberapa ulama yang membenarkannya seperti Syeikh Atiyyah Saqr, yang mengharuskannya kerana tiada dalil mengharamkan.

Menurut kaedah fiqh Islam, asal sesuatu perkara adalah harus. Maksudnya, sesuatu perkara yang tidak diberitakan oleh syariat dipandang harus hukumnya. Namun, ia boleh menjadi haram mahupun wajib jika disertakan dalil yang menyuruh.

Pengarang kitab al-Hafl al-Zifaf fi al-Fiqh Islam, Syeikh Rafiq Abd Aziz As-Sobbagh, berkata tepuk tangan perbuatan manusia yang biasa. Hukumnya berdasarkan faktor ia dilakukan.

Hukum bertepuk tangan dalam majlis asalnya mubah (perkara diharuskan) sebab bertepuk tangan termasuk perbuatan jibiliyah (af’al jibiliyyah) yang hukum asalnya mubah, sepanjang tidak ada dalil mengharamkan.

Perbuatan jibiliyah adalah perbuatan secara alamiah (fitrah) dilakukan manusia sejak penciptaannya dan menjadi bahagian yang tidak terpisah dari sifat kemanusiaannya seperti berfikir, bercakap, berjalan, berlari, melompat, duduk, makan, minum, mendengar, melihat dan seterusnya.

Menepuk tangan itu sesuatu yang diharuskan syarak. Ia boleh menceriakan sesuatu majlis terutama bagi menggembirakan kanak-kanak. Walaupun begitu, hukumnya boleh menjadi haram apabila bertepuk tangan dalam pertunjukan hiburan yang tidak syarak, pembukaan aurat atau menghina serta mengejek orang lain.

Bertepuk tangan di luar solat sama ada di majlis keramaian adalah harus pada hukum syarak. Yang ditegah adalah sewaktu solat ataupun mengaitkannya dengan ibadah. Begitu juga niat orang yang bertepuk tangan untuk mengejek, menghina ataupun memuji orang yang tidak sepatutnya.

Tegakkan hukum agama atas dasar hujah dan dalil kerana agama tertegak bersandarkan kepada al-Quran dan sunnah, bukannya dakwaan atau sangkaan semata-mata tanpa menilai dari mana asal usulnya


penulis : Muhammad Asyraf
(juara program Imam muda)
di edit : nature mujahid

Saturday, October 29, 2011

Seminar Islam Nusantara peringkat ASEAN 2011 : Pemikiran dan Cabaran masa kini [bahagian 1]


...Bismillah Alhamdulillah...

Segala puji atas nama Allah... raja segala raja yang wujud... dan tidak mati selamanya., yang dibawahnya kekuasaan arsy yang agung.. meliputi langit dan bumi. Selawat dan salam keatas junjungan mulia Rasulullah s.a.w dan para kaum kerabat serta sahabat baginda.

Permulaan kehidupan bermula dari alam rahim hingga ke saat ini semuanya atas rahmat dariNya. Setiap yang hidup itu ada aturannya.. dan jalan yang perlu ditempuhi.. Alhamdulillah lapan daripada 20 exco Sahabat Masjid Imam As-Syafie terpilih untuk menyertai seminar anjuran Pusat Islam Universiti Utara Malaysia



Pengembaraan bermula !!

25/10/2011

"SEMINAR ISLAM NUSANTARA" bermula pada 25 Oktober 2o11 iaitu pada hari ini dan perasmiannya adalah pada malam hari. Perjalanan kami bermula dengan setiap exco, muslimin dan muslimat berkumpul di Masjid Sultan Badlishah sebelum Zohor..



[exco akademik, kebajikan dan exco Dakwah tarbiyah
menyambut kedatangan presiden SM]

1.40pm (sementara menunggu bas)...

Bas yang akan membawa peserta yang terdiri daripada pelajar dan staf akan tiba pada pukul 2.30pm, sementara menunggu... peserta telah mengisi waktu lapang dengan aktiviti santai ukhwah, (sesi ABC)



[ santai sebegini mengeratkan ukhuwah.. ]

Perjalanan bermula setelah peserta dan staf mengumpul dan menyimpan barang masing-masing pada tempat penyimpanan barang.. PERJALANAN BERMULA !!

3.40pm (Jeti ke Langkawi)

Alhamdulillah... selamat tiba ke jeti. Feri yang akan membawa kami Langkawi bertolak pada 4.30pm ini, oleh itu, kami menunggu dengan sabar sementara waktu itu tiba...



[exco penerbitan dan exco akademik, kebajikan sedang sabar menunggu]

Sedikit Selingan :

Program ini dianjurkan oleh Pusat Islam UUM yang melibatkan
beberapa buah negara nusantara seperti Indonesia,
Thailand dan Brunei.

Peserta dianggotai seramai 40 orang pelajar dan staf Pusat
Islam terutamanya pengarah dan jawatankuasa tertinggi
mereka.


[ Feri yang akan membawa peserta dan staf.. ]


[ mengabadikan kenangan... di sini.. ]


4.30pm ( FERRY !!!!!!!!!!!!!)

Pengembaraan menuntut butiran mutiara ilmu kini bermula lagi apabila feri kami telah tiba di dermaga. Peserta beratur untuk mengambil tempat masing-masing. kami semua berkumpul dibahagian bawah deck untuk memudahkan urusan. Kelihatan Saudara Jelani (tengah) sibuk mengatur kemasukan para peserta dibantu oleh saudara Nizam.


[ penasihat sekretariat Sahabat Masjid (Ustaz Aus Korni) turut serta dalam program ini
sebelah kiri. ]


Perjalanan menaiki feri mengambil masa lebih kurang sejam, dalam pada tempoh itu peserta terutamanya pelajar mengisi masa senggang mereka dengan tidur, ada yang menonton televisyen , menyiapkan assignment dan membaca buku..

5.50pm (Langkawi...)

Lewat petang itu, akhirnya kami selamat tiba di jeti Langkawi. Waktu pun telah menunjukkan waktu Asar telah lama berlalu..


[ pergerakan keluar dari feri ]

[ ketibaan.. ]

Kami menunaikan solat Asar secara BERJEMAAH sebelum menaiki bas yang disediakan yang akan akan menghantar kami ke De Baron resort, tempat seminar nusantara itu berlansung.


Seminar Islam Nusantara : bahagian 1

Saturday, October 22, 2011

Ahlan wasahlan ya.... ZULHIJJAH


BISMILLAH ALHAMDULILLAH...

Dalam pada kita meraikan Zulkaedah yang kini hampir di penghujung (24 Zulkaedah 1432 H) dapat dirasakan getaran dan kehangatan bulan yang terakhir dalam kitaran 12 qamariah Islam. Bulan ini ditandai dengan pelaksanaan rukun Islam yang terakhir iaitu "menunaikan Haji"

Tinta kali ini ingin berkongsikan halwa pembuka selera sebelum kita semua melangkah ke dalam bulan Haji ini.


Bulan Zulhijjah bukanlah bulan hanya bagi tetamu Allah tetapi bulan istimewa bagi seluruh umat Islam yang peka dengan waktu-waktu yang dimuliakan oleh Allah dan bijak mengambil peluang bagi meraih curahan rahmat, maghfirah (keampunan) dan keredaan-Nya.

Sesungguhnya pada kejadian Allah SWT terdapat benda-benda, masa-masa, tempat-tempat dan insan-insan yang dibesarkan dan dimuliakan oleh-Nya.

Di antaranya ialah kaabah, Hajar Aswad, zamzam, bulan Ramadan, hari Jumaat, 10 terawal bulan Zulhijjah, Mekah, Madinah, Baitul Maqdis, para Nabi, Rasul dan sebagainya.

Kesemua perkara itu merupakan syiar Allah yang diperintahkan supaya dibesarkan sebagaimana firman-Nya:


"Demikianlah (ajaran Allah); dan sesiapa yang menghormati syiar-syiar agama Allah maka (dialah orang yang bertaqwa) kerana sesungguhnya perbuatan itu satu kesan dari sifat-sifat takwa hati (orang Mukmin)". (al-Hajj: 32)


Dalam bulan Zulhijjah, Allah menganugerahkan masa-masa yang dibesarkan dan dimuliakan oleh Allah. Iaitu sepuluh hari terawal bulan Zulhijjah, Hari Arafah, Aidil Adha dan Hari Tasyriq.

Sesungguhnya, Allah SWT telah bersumpah dengan Fajar Aidil Adha dan 10 malam bulan Zulhijjah dalam surah al-Fajr ayat 1 dan 2:

Demi waktu fajar Aidil Adha; dan malam 10 Zulhijjah (yang mempunyai kelebihan di sisi Allah).

Kita maklumi, Allah tidak bersumpah dengan suatu perkara melainkan kerana kemuliaan dan kepentingan perkara tersebut. Allah telah menganugerahkan pada 10 malam terawal bulan Zulhijjah dengan kelebihan-kelebihan yang lebih besar dan hebat daripada malam-malam yang lain.

Banyak hadis yang menerangkan tentang kelebihan hari-hari ini dan kelebihan amalan yang dilakukan padanya.

Di antaranya, sebagaimana yang disebut di dalam hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a, bahawa Rasulullah SAW bersabda:


"Tidak ada dari hari-hari yang dilakukan amal soleh padanya yang lebih disukai oleh Allah daripada hari-hari yang sepuluh ini. Sahabat r.a bertanya, Wahai Rasulullah! Dan tidakkah juga berjihad fi sabilillah (lebih afdal daripada beramal pada hari-hari ini)? Rasulullah SAW bersabda, “Tidak juga berjihad fi sabilillah, kecuali orang yang berjihad dengan diri dan hartanya dan kemudian dia syahid”. (riwayat al Bukhari)



Ulama berdalilkan hadis ini sebagai galakan atau sunat berpuasa pada sembilan hari daripada 10 hari terawal bulan Zulhijjah kerana puasa juga termasuk dalam kategori amalan soleh.

Perkara ini disebut oleh al Hafiz Ibnu Hajar r.a, Rasulullah SAW juga bersabda:

“Berpuasa sehari dalam bulan ini (hari yang ke-9) menyamai puasa 1000 hari dan sehari puasa pada hari Arafah menyamai puasa 10,000 hari”.


Daripada Abu Hurairah r.a berkata, Rasulullah SAW bersabda:

“Tidak ada dari hari-hari yang lebih dikasihi Allah untuk dipenuhi dengan ibadah kepada-Nya daripada 10 hari terawal dari bulan Zulhijjah; puasa setiap hari daripadanya menyamai puasa setahun, solat pada setiap malam daripadanya menyamai solat pada malam al-Qadar”.



Bahkan, disunatkan bagi orang yang mahu melakukan korban menahan dirinya terlebih dahulu daripada memotong kukunya dan mencukur bulu sama ada pada kepala, muka dan badannya. Iaitu, bermula dari masuknya bulan Zulhijjah hinggalah selesai melakukan ibadah korban.

Hal ini berdasarkan hadis Ummu Salamah, bahawa Nabi SAW bersabda:


“Apabila masuk hari yang 10 Zulhijjah, dan seseorang dari kamu mahu berkorban, maka jangan disentuh rambut dan kulitnya sedikitpun”

Di dalam satu riwayat yang lain, Rasulullah SAW bersabda:

“Apabila kamu melihat anak bulan Zulhijjah, dan seseorang dari kamu mahu berkorban, maka hendaklah ditahan dari memotong rambut dan kukunya”.


Ini sebagai menunjukkan terbukanya pintu penerimaan Allah terhadap amal yang dilakukan pada hari-hari yang berkat ini, kerana Allah Yang Maha Mulia apabila Dia kasih atau suka kepada sesuatu, maka Dia akan menerimanya.

Kesimpulannya, maksud yang paling utama dari hadis ini, kita digalakkan melakukan amal yang disukai dan diredai Allah pada hari-hari tersebut, sekalipun amalan yang mudah dan tidak sulit untuk dilakukan.

Sekiranya tidak mampu untuk berjihad, berpuasa atau bersedekah, janganlah pula berasa lemah untuk melakukan ibadah yang lain seperti solat sunat, tasbih dan tahlil. Kadang kala amal yang sedikit dan mudah itu besar nilainya di sisi Allah dan lebih dikasihi-Nya.


Hari Arafah



Hari Arafah ialah hari para jemaah haji mengerjakan wukuf di Arafah iaitu pada 9 Zulhijjah. Ia terkenal sebagai kemuncak bagi segala amalan atau rukun haji.

Allah yang bersifat Maha Pemurah memuliakan dan membesarkan hari tersebut dengan mencurahkan rahmat dan keampunan kepada hamba-hamba-Nya yang berdoa dan meminta keampunan kepada-Nya.

Rasulullah SAW bersabda:

“Tidak ada hari yang lebih banyak pembebasan dari neraka daripada hari Arafah”.


Justeru pada hari tersebut, kita amat digalakkan supaya memperbanyakkan doa dan istighfar. Daripada Abdullah ibn Amru r.a berkata:

“Kebanyakan doa Nabi SAW pada hari Arafah ialah “Tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah; Yang Maha Esa tanpa ada sekutu bagi-Nya. Bagi-Nya segala kekuasaan dan pujian. Di dalam kekuasaan-Nya segala kebaikan dan Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu”.


Di antara doa bagi memohon keampunan dan pembebasan dari api neraka ialah:

Ya Allah! Bebaskanlah tengkukku daripada api neraka, luaskanlah untukku dengan rezeki yang halal dan palingkanlah (hindarilah) daripadaku jin dan manusia yang fasiq”.


Kita juga disunatkan berpuasa pada hari Arafah kerana Rasulullah SAW bersabda:

“Puasa pada hari Asyura akan mengkafarahkan dosa setahun (sebelumnya). Manakala puasa hari Arafah, akan mengkafarahkan dosa dua tahun; setahun sebelumnya dan setahun selepasnya yang akan datang”.


Sebagaimana yang disebut di dalam hadis, bahawa Rasulullah SAW berdoa pada petang hari Arafah agar diampunkan dosa-dosa umatnya termasuk orang yang zalim. Apabila Allah memakbulkan doanya, Baginda SAW tersenyum kerana melihat iblis mengambil tanah lalu menaburnya di atas kepalanya sambil mengeluh panjang apabila mengetahui doa Baginda SAW dimakbulkan dan dosa-dosa umatnya diampunkan.

Aidil Adha adalah Aidil Akbar (Raya Terbesar) bagi umat ini kerana banyaknya pembebasan dari neraka atau pengampunan dosa yang dianugerahkan oleh Allah pada hari sebelumnya iaitu hari Arafah.

Tidak dilihat pembebasan dari neraka yang lebih banyak daripada pembebasan pada hari Arafah seperti yang disebut dalam hadis. Sesiapa yang telah dibebaskan, maka keesokannya adalah hari raya baginya.

Sekiranya tidak, maka dia berada jauh dari rahmat Allah dan dijanjikan dengan seburuk-buruk balasan.

Justeru, sementara kita masih diberi ruang dan kemampuan, marilah bersama-sama kita merebut peluang keemasan yang dianugerahkan oleh Allah kepada kita semata-mata kerana kasih dan sayang-Nya terhadap kita.



Selamat memasuki bulan Zulhijjah yang bakal menjelang........ semoga tarbiyah Zulhijjah dapat memberi manfaat agar terus istiqomah dalam menegakkan dan menjunjung syiar Islam yang diibaratkan seolah menggenggam bara api..

Akhir kalam.. ingin ana tambah sedikit tinta ini dengan kata -kata seorang sahabat ana


"Pengorbanan itu sesuatu yang sukar dan tidak kita miliki untuk diberikan, Sumbangan pula merupakan apa yang kita miliki untuk diserahkan"



oleh : Panel penyelidikan Yayasan SOFA (N.9)

sahabat masjid imam as-syafie sesi 2013/2014

sahabat masjid imam as-syafie sesi 2013/2014

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...