Sidang Jumaat Yang Dirahmati
Allah,
Marilah kita memperkasakan
ketaqwaan kita kepada Allah SWT, dengan mengerjakan segala suruhan-Nya, dan
meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan, kita mendapat keberkatan dan
keredhaan-Nya, di dunia mahupun di akhirat.
Tajuk khutbah kita pada kali ini
adalah
"Wakaf : Talian Hayat,
Talian Akhirat".
Sidang Jumaat Yang Dirahmati
Allah,
Agama Islam amat menggalakkan
kita supaya hidup saling bantu-membantu dan tolong-menolong kerana dengan
cara demikian dapat menimbulkan perasaan hormat-menghormati dan berkasih sayang
sesama manusia. Dengan amalan demikian dapatlah kita nikmati kehidupan yang
aman damai, sejahtera dan harmoni, baik dalam berkeluarga, bermasyarakat,
mahupun bernegara.
Wakaf merupakan salah satu daripada cara perkongsian sesama manusia terutamanya di kalangan umat Islam. Sejarah khalifah Islam suatu
ketika dahulu telah menunjukkan kepentingan dan kejayaan yang terhasil daripada
amalan wakaf yang dilaksanakan oleh pemerintah. Demi untuk bekalan akhirat, umat Islam mewakafkan harta yang mereka miliki dan
paling disayangi untuk dimanfaatkan oleh semua manusia. Hal ini adalah kerana mereka memahami firman Allah SWT dalam
Surah Ali Imran ayat 92:
"Kamu tidak sekali-kali akan
dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu
menafkahkan (mendermakan) sebahagian daripada apa yang kamu sayangi. Sesuatu
apa jua yang kamu nafkah, maka sesungguhnya Allah mengetahuinya".
Sidang Jumaat Yang Dirahmati
Allah,
Wakaf dari sudut syarak bermaksud : "menahan
sesuatu harta yang boleh digunakan tanpa susut fizikalnya dengan cara
menyerahkan hak miliknya kepada seorang pengguna yang harus dan wujud". Ini bermaksud, seseorang menyerahkan harta
miliknya untuk dimanfaatkan oleh orang lain tanpa dapat menjualnya. Terdapat perbezaan di antara wakaf dan sedekah, iaitu sedekah akan diberikan khusus kepada
orang yang memerlukan seperti fakir miskin, manakala fungsi wakaf lebih meluas dan umum iaitu dapat
dirasai manfaatnya oleh semua orang termasuklah yang kaya dan berharta.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati
Allah,
Ketahuilah bahawa orang yang berwakaf telah dijanjikan
ganjaran yang sangat besar oleh Allah SWT tidak kira bagaimana bentuk wakaf itu diberikan sama ada tunai ataupun aset kekal. Ganjaran ini boleh dibahagikan kepada dua, iaitu; ganjaran ukhrawi dan duniawi. Antara ganjaran
ukhrawi yang dijanjikan oleh Allah SWT ialah:
Pertama : Salah
satu cara untuk memperolehi keberkatan dan pahala daripada Allah SWT.
Firman Allah SWT dalam surah
al-Baqarah ayat 276:
"Allah menghancurkan riba' (dengan mengurangkan atau melenyapkan keberkatannya) dan
menyuburkan sedekah-sedekah (dengan menambah dan mengembangkannya serta
melipatgandakan pahalanya). Allah tidak menyukai setiap orang yang ingkar (yang
menghalalkan riba) lagi banyak melakukan dosa".
Allah SWT telah memberikan perbezaan
yang jelas di antara harta yang batil dan keberkatan yang akan dikembangkan
melalui harta yang disedekahkan kerana Allah
SWT.
Kedua : Orang yang
bersedekah dan berwakaf akan mendapat naungan Allah swt di akhirat nanti.
"Naungan bagi seorang mukmin
pada hari kiamat adalah sedekahnya".
(Riwayat Ahmad)
Ketiga : Pahala dan ganjaran yang berterusan
walaupun selepas meninggal dunia.
Sabda Rasulullah SAW:
"Apabila seorang anak Adam mati, segala amalannya terputus kecuali tiga
perkara: iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat, dan anak yang soleh mendoakan baginya".
(Riwayat Muslim)
"Sedekah jariah" di dalam
hadis ini juga ditafsirkan oleh para ulama' sebagai wakaf. Jika dinilai, sedekah dan wakaf mempunyai kaitan yang sangat rapat. Kedua-duanya mempunyai fungsi yang sama serta ganjaran yang dijanjikan oleh Allah SWT di
akhirat kelak dengan ganjaran yang serupa tanpa berkurang sedikit pun.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati
Allah,
Selain ganjaran Ukhrawi yang
dijanjikan oleh Allah SWT, amalan wakaf juga berperanan dalam membentuk pembangunan ummah. Antaranya;
Pertama
: Wakaf dapat membantu mempertingkatkan tahap pendidikan ummah.
Ini kerana pendidikan merupakan satu aspek penting di dalam kehidupan kita masakini. Akan tetapi, ada sebilangan kita yang tidak mampu
meneruskan pembelajaran disebabkan kekangan kewangan. Wakaf dapat diperluaskan dalam bidang
pendidikan melalui penyaluran dana untuk pembangunan infrastruktur asas seperti
bangunan sekolah yang lengkap, peralatan untuk pengajian dan keperluan asas
lain yang diperlukan untuk memudahkan perjalanan proses pengajaran. Begitu
juga, tanpa guru yang terlatih, pendidikan tidak dapat dilaksanakan dengan baik
dan tidak mampu mencapai tahap yang memuaskan. Oleh itu, dana wakaf juga boleh digunakan untuk
menyediakan latihan dan penyelidikan intensif dalam melahirkan guru-guru
terlatih. Di samping itu juga, melalui dana wakaf, pembiayaan untuk menyara
yuran pengajian sehingga negara dapat melahirkan cerdik pandai dalam
semua bidang keilmuan.
Kedua
: Wakaf membantu pertumbuhan sektor ekonomi.
Prof. Ali Jumu'ah, Mufti Mesir,
menyatakan di dalam artikelnya "Wakaf dan kesannya dalam pertumbuhan
ekonomi" bahawa, Wakaf telah memainkan peranan penting dalam menjana ekonomi umat Islam kerana wakaf adalah satu dana yang tidak boleh lupus atau hilang dan mesti
diuruskan dengan amanah.
Lihat sahaja kecemerlangan wakaf yang dilaksanakan di Turki dan
Singapura. Sebagai contohnya di Singapura sahaja, pada tahun 2008, sebanyak 1.7
juta Dollar Singapura telah diagihkan oleh Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS),
satu kenaikan sebanyak 35% berbanding 1.25 juta Dollar Singapura pada 2007. Ia
juga adalah hasil pendapatan daripada lebih 100 hartanah wakaf yang bernilai
135 ribu dollar Singapura. Manakala di Selangor, bermula tahun 2006 hingga
2012, agihan sumbangan wakaf melebihi 232 ribu ringgit telah dicatatkan untuk
membangunkan 26 projek-projek seperti surau, masjid, sekolah tahfiz dan juga
klinik untuk manfaat masyarakat awam.
Begitu juga, Waqaf An-Nur Corporation Berhad telah
melaburkan semula dana wakaf sebanyak 28 juta ringgit dan keuntungan pelaburan yang
dicatatkan dalam tahun 2011 berjumlah 314 ribu ringgit. Sehingga Disember 2011,
jumlah keseluruhan keuntungan pelaburan yang telah diterima adalah berjumlah
596 ribu ringgit. Demikianlah wakaf itu menjadi modal harta yang berkekalan demi kepentingan umat
Islam sepanjang zaman.
Ketiga
: Wakaf dapat membantu mempertingkatkan
tahap kesihatan ummah.
Melalui dana wakaf yang terkumpul, ia dapat digunakan bagi membangunkan sektor kesihatan dan perubatan. Hari ini, keperluan kepada perubatan semakin mendesak. oleh
itu, dana wakaf akan membantu dalam pembangunan
infrastruktur seperti hospital dan klinik untuk
kemudahan masyarakat awam. Di samping itu, wakaf juga dapat membantu melengkapkan peralatan
perubatan yang terkini, menjalankan penyelidikan, serta menampung kos rawatan
perubatan yang semakin tinggi pada masa kini.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati
Allah,
Kelebihan menginfaqkan harta
secara umumnya telah digambarkan dengan indahnya oleh Islam. Terlalu banyak
nas-nas al-Quran dan sabda Nabi s.a.w. yang mengiyakan gesaan yang mulia ini.
Sudah tentu apabila sesuatu perkara-perkara itu sentiasa diwarwarkan
berulang-kali oleh Allah SWT, ini menunjukkan bahawa perkara tersebut amat
penting dan sangat serius bagi-Nya. Anugerah dan ganjaran kepada pengamalnya
juga sangat luar biasa. Namun malangnya tidak semua manusia yang benar-benar
sudi menerima tawaran yang hebat daripada Allah SWT. Ini adalah akibat
daripada tipisnya keimanan dan kefahaman terhadap ayat-ayat Ilahi.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati
Allah,
Saya menyeru kepada jemaah
sekalian, Ayuh! kita rebutlah peluang berwakaf dan menginfaqkan harta di jalan Allah sebanyak-banyaknya selagi
hayat dikandung badan. Sebagai contoh, melalui perkhidmatan wakaf yang ditawarkan oleh Bank
Muamalat Malaysia Berhad dengan kerjasama Perbadanan Wakaf Selangor (PWS), ia memberi
peluang kepada masyarakat untuk berwakaf dengan cara yang mudah.
Akhirnya, suka juga diingatkan
bahawa, apa yang paling penting untuk kita terapkan ialah keikhlasan dan niat
yang betul ketika berwakaf, bukan kerana untuk mendapat penghargaan dan nama yang
disebut-sebut di dunia ini. Hakikatnya, amalan tersebut akan dinilai di
sisi Allah SWT di akhirat nanti.
"Perumpamaan (derma atau
nafkah) orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah adalah seperti
sebiji benih yang menumbuhkan tujuh batang tangkai; setiap tangkai itu pula
mengandungi seratus biji. Allah melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang
dikehendaki-Nya dan Allah Maha Luas (kurnia-Nya), lagi Maha Mengetahui".
(Al-Baqarah: 261)
sumber: Jabatan Agama ISLAM Negeri Selangor(JAIS)...
kenapa ambil sumber dr JAIS???kerana khutbah diselangor telah diselaraskan untuk masjid2 di seluruh negeri selngor...... insyaallah ...semoga bermanfaat....
No comments:
Post a Comment