Friday, November 30, 2012

Tajuk Khutbah:"Wakaf : Talian Hayat, Talian Akhirat".(30/11/2012)Bersamaan 16 Muharram 1434H




Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Marilah kita memperkasakan ketaqwaan kita kepada Allah SWT, dengan mengerjakan segala suruhan-Nya, dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan, kita mendapat keberkatan dan keredhaan-Nya, di dunia mahupun di akhirat.
Tajuk khutbah kita pada kali ini adalah

"Wakaf : Talian Hayat, Talian Akhirat".

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Agama Islam amat menggalakkan kita supaya hidup saling bantu-membantu dan tolong-menolong kerana dengan cara demikian dapat menimbulkan perasaan hormat-menghormati dan berkasih sayang sesama manusia. Dengan amalan demikian dapatlah kita nikmati kehidupan yang aman damai, sejahtera dan harmoni, baik dalam berkeluarga, bermasyarakat, mahupun bernegara.

Wakaf merupakan salah satu daripada cara perkongsian sesama manusia terutamanya di kalangan umat Islam. Sejarah khalifah Islam suatu ketika dahulu telah menunjukkan kepentingan dan kejayaan yang terhasil daripada amalan wakaf yang dilaksanakan oleh pemerintah. Demi untuk bekalan akhirat, umat Islam mewakafkan harta yang mereka miliki dan paling disayangi untuk dimanfaatkan oleh semua manusia. Hal ini adalah kerana mereka memahami firman Allah SWT dalam Surah Ali Imran ayat 92:

"Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu menafkahkan (mendermakan) sebahagian daripada apa yang kamu sayangi. Sesuatu apa jua yang kamu nafkah, maka sesungguhnya Allah mengetahuinya".

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Wakaf dari sudut syarak bermaksud : "menahan sesuatu harta yang boleh digunakan tanpa susut fizikalnya dengan cara menyerahkan hak miliknya kepada seorang pengguna yang harus dan wujud". Ini bermaksud, seseorang menyerahkan harta miliknya untuk dimanfaatkan oleh orang lain tanpa dapat menjualnya. Terdapat perbezaan di antara wakaf dan sedekah, iaitu sedekah akan diberikan khusus kepada orang yang memerlukan seperti fakir miskin, manakala fungsi wakaf lebih meluas dan umum iaitu dapat dirasai manfaatnya oleh semua orang termasuklah yang kaya dan berharta.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Ketahuilah bahawa orang yang berwakaf telah dijanjikan ganjaran yang sangat besar oleh Allah SWT tidak kira bagaimana bentuk wakaf itu diberikan sama ada tunai ataupun aset kekal. Ganjaran ini boleh dibahagikan kepada dua, iaitu; ganjaran ukhrawi dan duniawi. Antara ganjaran ukhrawi yang dijanjikan oleh Allah SWT ialah:

Pertama    :     Salah satu cara untuk memperolehi keberkatan dan pahala daripada Allah SWT.

Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 276:
"Allah menghancurkan riba' (dengan mengurangkan atau melenyapkan keberkatannya) dan menyuburkan sedekah-sedekah (dengan menambah dan mengembangkannya serta melipatgandakan pahalanya). Allah tidak menyukai setiap orang yang ingkar (yang menghalalkan riba) lagi banyak melakukan dosa".

Allah SWT telah memberikan perbezaan yang jelas di antara harta yang batil dan keberkatan yang akan dikembangkan melalui harta yang disedekahkan kerana Allah SWT. 

Kedua :   Orang yang bersedekah dan berwakaf akan mendapat naungan Allah swt di akhirat nanti.

"Naungan bagi seorang mukmin pada hari kiamat adalah sedekahnya".                              
                                                                                                                      (Riwayat Ahmad)

Ketiga  :   Pahala dan ganjaran yang berterusan walaupun selepas meninggal dunia.

Sabda Rasulullah SAW:
"Apabila seorang anak Adam mati, segala amalannya terputus kecuali tiga perkara: iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat, dan anak yang soleh mendoakan baginya".
                                                                                                                     (Riwayat Muslim)

"Sedekah jariah" di dalam hadis ini juga ditafsirkan oleh para ulama' sebagai wakaf. Jika dinilai, sedekah dan wakaf mempunyai kaitan yang sangat rapat. Kedua-duanya mempunyai fungsi yang sama serta ganjaran yang dijanjikan oleh Allah SWT di akhirat kelak dengan ganjaran yang serupa tanpa berkurang sedikit pun. 

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah, 

Selain ganjaran Ukhrawi yang dijanjikan oleh Allah SWT, amalan wakaf juga berperanan dalam membentuk pembangunan ummah. Antaranya;

Pertama       :      Wakaf dapat membantu mempertingkatkan tahap pendidikan ummah.

Ini kerana pendidikan merupakan satu aspek penting di dalam kehidupan kita masakini. Akan tetapi, ada sebilangan kita yang tidak mampu meneruskan pembelajaran disebabkan kekangan kewangan. Wakaf dapat diperluaskan dalam bidang pendidikan melalui penyaluran dana untuk pembangunan infrastruktur asas seperti bangunan sekolah yang lengkap, peralatan untuk pengajian dan keperluan asas lain yang diperlukan untuk memudahkan perjalanan proses pengajaran. Begitu juga, tanpa guru yang terlatih, pendidikan tidak dapat dilaksanakan dengan baik dan tidak mampu mencapai tahap yang memuaskan. Oleh itu, dana wakaf juga boleh digunakan untuk menyediakan latihan dan penyelidikan intensif dalam melahirkan guru-guru terlatih. Di samping itu juga, melalui dana wakaf, pembiayaan untuk menyara yuran pengajian sehingga negara dapat melahirkan cerdik pandai dalam semua bidang keilmuan.

Kedua        :         Wakaf membantu pertumbuhan sektor ekonomi.

Prof. Ali Jumu'ah, Mufti Mesir, menyatakan di dalam artikelnya "Wakaf dan kesannya dalam pertumbuhan ekonomi" bahawa, Wakaf telah memainkan peranan penting dalam menjana ekonomi umat Islam kerana wakaf adalah satu dana yang tidak boleh lupus atau hilang dan mesti diuruskan dengan amanah.

Lihat sahaja kecemerlangan wakaf yang dilaksanakan di Turki dan Singapura. Sebagai contohnya di Singapura sahaja, pada tahun 2008, sebanyak 1.7 juta Dollar Singapura telah diagihkan oleh Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), satu kenaikan sebanyak 35% berbanding 1.25 juta Dollar Singapura pada 2007. Ia juga adalah hasil pendapatan daripada lebih 100 hartanah wakaf yang bernilai 135 ribu dollar Singapura. Manakala di Selangor, bermula tahun 2006 hingga 2012, agihan sumbangan wakaf melebihi 232 ribu ringgit telah dicatatkan untuk membangunkan 26 projek-projek seperti surau, masjid, sekolah tahfiz dan juga klinik untuk manfaat masyarakat awam.

Begitu juga, Waqaf An-Nur Corporation Berhad telah melaburkan semula dana wakaf sebanyak 28 juta ringgit  dan keuntungan pelaburan yang dicatatkan dalam tahun 2011 berjumlah 314 ribu ringgit. Sehingga Disember 2011, jumlah keseluruhan keuntungan pelaburan yang telah diterima adalah berjumlah 596 ribu ringgit.  Demikianlah wakaf itu menjadi modal harta yang berkekalan demi kepentingan umat Islam sepanjang zaman.

Ketiga        :         Wakaf dapat membantu mempertingkatkan tahap kesihatan ummah. 

Melalui dana wakaf yang terkumpul, ia dapat digunakan bagi membangunkan sektor kesihatan dan perubatan. Hari ini, keperluan kepada perubatan semakin mendesak. oleh itu, dana wakaf akan membantu dalam pembangunan infrastruktur seperti hospital dan klinik untuk kemudahan masyarakat awam. Di samping itu, wakaf juga dapat membantu melengkapkan peralatan perubatan yang terkini, menjalankan penyelidikan, serta menampung kos rawatan perubatan yang semakin tinggi pada masa kini.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah, 

Kelebihan menginfaqkan harta secara umumnya telah digambarkan dengan indahnya oleh Islam. Terlalu banyak nas-nas al-Quran dan sabda Nabi s.a.w. yang mengiyakan gesaan yang mulia ini. Sudah tentu apabila sesuatu perkara-perkara itu sentiasa diwarwarkan berulang-kali oleh Allah SWT, ini menunjukkan bahawa perkara tersebut amat penting dan sangat serius bagi-Nya. Anugerah dan ganjaran kepada pengamalnya juga sangat luar biasa. Namun malangnya tidak semua manusia yang benar-benar sudi menerima tawaran yang hebat daripada Allah SWT. Ini adalah  akibat daripada tipisnya keimanan dan kefahaman terhadap ayat-ayat Ilahi.      
            
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah, 

Saya menyeru kepada jemaah sekalian, Ayuh! kita rebutlah peluang berwakaf dan menginfaqkan harta di jalan Allah sebanyak-banyaknya selagi hayat dikandung badan. Sebagai contoh, melalui perkhidmatan wakaf yang ditawarkan oleh Bank Muamalat Malaysia Berhad dengan kerjasama Perbadanan Wakaf Selangor (PWS), ia memberi peluang kepada masyarakat untuk berwakaf dengan cara yang mudah.

Akhirnya, suka juga diingatkan bahawa, apa yang paling penting untuk kita terapkan ialah keikhlasan dan niat yang betul ketika berwakaf, bukan kerana untuk mendapat penghargaan dan nama yang disebut-sebut di dunia ini. Hakikatnya, amalan tersebut  akan dinilai di sisi Allah SWT di akhirat nanti.

"Perumpamaan (derma atau nafkah) orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah adalah seperti sebiji benih yang menumbuhkan tujuh batang tangkai; setiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Allah melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah Maha Luas (kurnia-Nya), lagi Maha Mengetahui".
                                                                                                                     (Al-Baqarah: 261)

sumber: Jabatan Agama ISLAM Negeri Selangor(JAIS)...

kenapa ambil sumber dr JAIS???kerana khutbah diselangor telah diselaraskan untuk masjid2 di seluruh negeri selngor...... insyaallah ...semoga bermanfaat....

Wednesday, November 14, 2012

AWAL MUHARRAM 1434 HIJRAH

Bismillah Alhamdulillah


Alhamdulillah, tepat jam 6.45pm petang tadi, Masjid Imam As-Syafie dan jemaah telah selamat mengadakan sambutan awal Muharram dengan membaca doa akhir tahun dan diikuti dengan solat maghrib berjemaah. Seusai maghrib, doa awal tahun pula dibaca dan diiringi dengan bacaan Yaasin sebagai meminta keberkatan. Acara dilansungkan lagi dengan tazkirah ringkas yang disampaikan oleh Ustaz Salahuddin [ Guru sekolah agama Toyyibah ] . Majlis diakhiri dengan sedikit jamuan ringkas di foyer masjid. 







Alhamdulillah, tersenyum lebar dan hati ini teruja sangat-sangat !!! kerana melihat saff yang penuh hingga mencapai 3 baris.. Ahli jemaah yang turun juga cukup memberansangkan untuk bersama meraih dan menyambut kedatangan bulan haram ini.

Untuk kelebihan dan maklumat lanjut mengenai kebaikan dan kelebihan bulan Muharram dan apa yang perlu dilakukan di bulan ini bagi memperolehi pahala lebih, boleh rujuk entri sebelum ini bertajuk "LEMBARAN MUHARRAM"

Bersama jadikan azam dan niat kita itu suatu kesungguhan dalam meniti hari mendatang di tahun yang baru ini.. Ustaz ada menyebut, jika kita menjadi semakin baik dari setahun ke setahun, itu beerti ada berkat dan barokah yang Allah beri pada doa yang kita baca diawal tahun itu.

Pesanan untuk diri ini juga, jangan sekadar membaca doa awal dan akhir tahun itu tanpa mentadabbur maknanya... fahami dan hayati maknanya insyaAllah..

SALAM TAHUN BARU ISLAM 1434 HIJRAH

LEMBARAN MUHARRAM

Bismillah Alhamdulillah


Segala puji bagi Allah yang menciptakan segala sesuatu. Sesumur usia kini berlalu lagi, meninggalkan kita setelah genap setahun. Begitu banyak suka duka, pengalaman dan sebagainya yang kita lalui sepanjang tahun 1433 Hijrah ini. Peredaran masa dan ruang akhirnya membawa kita ke lembaran hidup yang baru, lembaran 1434 Hijrah.

Sepanjang tempoh itu, mari muhasabah sejenak, sejauhmana keberadaan dan pembawakan kita selaku hamba kepadanya? Ana yakin pasti ramai yang punyai azam ketika 1433 Hijrah melangkah. 

Tanya pada diri kita sejauhmanakah azam itu terlaksana? 

AHLAN-AHLAN YA MUHARRAM



Allah berfirman : "Sesungguhnya bilangan bulan disisi Allah ada dua belas bulan, dalam ketetapan Allah diwaktu DIA menciptakan langit dan bumi, diantaranya ada empat bulan yang Haram. Itulah agama yang lurus, maka janganlah kamu menganiayai diri kamu dalam bulan yang empat itu, dan perangilah kaum Musyirikin itu semuanya sebagaimana mereka pun memerangi kamu semuanya, dan ketahuilah bahawa Allah bersama orang yang bertaqwa." [At-Taubah : 36]

Salah satu bulan haram itu ialah Muharram.

Perkara terpenting yang perlu kita lakukan selaku seorang muslim ialah, muhasabah dan merangka perjalanan kita untuk setahun lagi. Dalam istilah lain juga dikenali sebagai "AZAM" 

TINDAKAN DI BULAN MUHARRAM


  1. Banyakkan melakukan amalan-amalan ibadat sunat kerana pahalanya besar seperti yang di riwayatkan dalam tafsir Ibnu At-Tabari. Abdullah Ibnu Abbas meriwayatkan dari Rasulullah s.a.w bersabda "makiat yang dilakukan di bulan Muharram lebih besar dosanya dan amal kebaikan yang dilakukan adalah lebih besar pahalanya.
  2. Berpuasa di 10 Muharram dan diikuti sehari sebelum atau sehari selepas.
  3. Banyakkan puasa sunat di bulan ini, Dari Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda : puasa yang paling utama selepas puasa Ramadhan ialah berpuasa di bulan Muharram
Apabila kita punyai kesempatan melakukan kebaikan, janganlah menunda-menundanya dan meremehkan akhirat. Jom berhijrah... kita RETREAT AND RECHARGE semula.. ^^

Selamat menyambut tahun baru Hijrah 1434 Hijrah dan awal Muharram daripada kami barisan PIMPINAN SMIAS 2011/2012 buat semua saudara seagama, bersama kita menjadikan diri kita mukmin yang lebih baik di tahun baru ini insyaAllah..

Bukalah lembaran baru dalam hidupmu.

~Perutusan SMIAS 2011/2012

sahabat masjid imam as-syafie sesi 2013/2014

sahabat masjid imam as-syafie sesi 2013/2014

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...