BERDAKWAH TANGGUNGJAWAB BERSAMA…(13/07/ 2012) bersamaan23 syaaban
Khatib : Ustaz Suhaimi bin Abdul Jalil…
Masjid Nurul Falah Sungai Leman, Sekinchan Selangor Darul Ehsan.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Saya menyeru agar kita bersama-sama meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintahnya dan meninggalkan segala larangannya. Marilah kita memperbanyakkan zikir kepada Allah SWT dan memperbanyakkan selawat serta salam keatas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w di samping sentiasa berusaha melaksanakan segala suruhannya dan melaksanakan segala sunnahnya. Mudah-mudahan ianya akan memberikan manfaat kepada kita di dunia dan di akhirat.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Berdakwah di jalan Allah SWT adalah merupakan suatu kewajipan dan amal ibadah yang paling baik jika dibandingkan dengan amal-amal ibadah yang lain. Ini memandangkan tugas berdakwah adalah satu-satunya tugas utama yang dilaksanakan oleh para rasul yang telah diutuskan oleh Allah SWT kepada umat manusia.
Firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 67:
يَأَيهَا الرَّسولُ بَلِّغْ مَا أُنزِلَ إِلَيْك مِن رَّبِّك وَ إِن لَّمْ تَفْعَلْ فَمَا بَلَّغْت رِسالَتَهُ وَ اللَّهُ يَعْصِمُك مِنَ النَّاسِ إِنَّ اللَّهَ لا يهْدِى الْقَوْمَ الْكَفِرِينَ
"Wahai Rasul! Sampaikanlah apa yang telah diturunkan kepadamu daripada Tuhanmu; Jika engkau tidak melakukannya (dengan menyampaikan semuanya), maka bererti engkau tidaklah menyampaikan risalah-Nya; Allah jualah akan memeliharamu daripada (kejahatan) manusia. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang kafir".
Ayat tersebut jelas menunjukkan bahawa Allah SWT melarang Rasulullah daripada menyembunyikan apa juga ilmu dan syariat yang telah diwahyukan oleh Allah SWT kepadanya. Bahkan menjadi tanggungjawab kepadanya untuk menyampaikan Islam dan mengajak manusia mengabdikan diri hanya kepada Allah SWT. Ternyata tugas dakwah ini tidaklah terhenti setakat kewafatan baginda rasulllah s.a.w, sebaliknya ia menjadi tanggungjawab kita pula sebagai umatnya untuk meneruskan tugas dakwah ini agar manusia tidak tersesat daripada landasan Allah SWT.
Tanggungjawab berdakwah bukan hanya terletak di bahu para pendakwah atau para alim ulama' sahaja, bahkan ianya menjadi tanggungjawab setiap muslim yang mengaku beriman kepada Allah SWT dan juga hari akhirat. Setiap individu muslim mempunyai peranannya yang tersendiri di dalam medan dakwah samada mereka sebagai petani, pegawai, artis, pemimpin masyarakat apatah lagi sebagai pemimpin negara. Pendek kata, apa juga jawatan atau kedudukan mereka, tugas dakwah ini sama sekali tidak boleh ditinggalkan.
Hadis daripada Amru Ibn al-Ash r.a. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:
بَلِّغُوا عَنِّى وَلَوْ آيَةً
"Sampaikanlah apa-apa daripada ku walaupun satu ayat"
(Riwayat al-Bukhari)
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Berbagai-bagai cara boleh digunakan untuk kita menunaikan tanggungjawab berdakwah, bersesuaian dengan peredaran zaman yang semakin mencabar pada hari ini. Dakwah masa kini tidak lagi sekadar ceramah atau kuliah-kuliah di masjid sahaja, bahkan ianya melangkaui dunia tanpa sempadan dengan penggunaan alat-alat elektronik seperti televisyen, internet, media cetak dan sebagainya. Kemudahan-kemudahan seperti ini boleh digunakan sebagai perantaraan untuk menyampaikan mesej dakwah. Golongan penggiat seni misalnya, boleh menyampaikan mesej dakwah mereka melalui saluran televisyen. Mereka boleh menerbitkan cerita yang mempunyai unsur-unsur dakwah dan nasihat-nasihat yang baik untuk disajikan kepada para penonton. Mereka juga boleh menerbitkan rancangan-rancangan hiburan yang dapat mendidik jiwa anak-anak muda selanjutnya mendekatkan diri mereka kepada Allah SWT.
Manakala mereka yang tidak mempunyai kemampuan ini samada golongan pekerja, pemimpin-pemimpin masyarakat dan lain-lain boleh menggunakan perantaraan internet, media cetak dan sebagainya untuk menyampaikan mesej dakwah mereka. Apa yang penting, cara yang digunakan mestilah sesuai dengan golongan sasar dakwah agar apa yang disampaikan akan menjadi lebih berkesan.
Apa yang dikesalkan, kemudahan-kemudahan yang baik ini telah disalahgunakan oleh sesetengah pihak untuk perkara-perkara yang tidak mendatangkan sebarang manfaat kepada dakwah Islam melalui media penyiaran yang telah disalahgunakan untuk menyiarkan cerita-cerita khurafat dan tahyul serta cerita-cerita yang merosakkan moral anak-anak remaja. Media cetak dan internet pula telah disalahgunakan untuk menyebarkan berita-berita fitnah, caci-mencaci, maki-hamun dan sebagainya sehingga menjatuhkan maruah orang-orang yang tidak bersalah. Penyalahgunaan seperti ini mestilah diperbetulkan agar masyarakat umum dapat mengambil manfaat yang baik hasil daripada kemajuan teknologi yang ada ini.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Selain daripada penggunaan media elektronik, terdapat juga cara-cara lain yang boleh digunakan dan mampu mempengaruhi keberkesanan dakwah masa kini. Antaranya ialah dengan menunjukkan contoh teladan dan akhlak yang baik kepada orang lain. Sesungguhnya, budipekerti dan akhlak yang baik adalah merupakan aset penting bagi setiap individu muslim yang dapat dipertaruhkan untuk menarik orang lain menghayati ajaran Islam yang sebenarnya. Rasulullah s.a.w sendiri telahpun membuktikan kepada kita semua, bahawa dengan akhlak yang baik, baginda telah dapat melembutkan hati bangsa Arab untuk menganut ajaran Islam yang disebarkan ketika itu. Kebaikan akhlak Rasulullah s.a.w ini telah diperjelaskan oleh Allah SWT melalui firman-Nya dalam surah al-Ahzab ayat 21:
لَقَدْ كانَ لَكُمْ في رَسُولِ اللهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِمَنْ كانَ يَرْجُوا اللهَ وَ الْيَوْمَ الْآخِرَ وَ ذَكَرَ اللهَ كَثيراً
"Sesungguhnya, bagi kamu pada diri Rasulullah itu model ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula banyak menyebut dan mengingati Allah".
Lantaran itu, untuk membentuk akhlak yang baik pula mestilah dengan usaha dan latihan yang bersungguh-sungguh. Ini kerana akhlak yang baik tidak akan meresap ke dalam jiwa manusia melainkan bagi orang yang telah membiasakan diri mereka dengan perbuatan-perbuatan yang baik.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Perkara yang penting juga dalam kita melaksanakan tanggungjawab dakwah ini, mestilah dilakukan dengan penuh berhikmah. Ini kerana apa sahaja perbuatan yang kita lakukan dalam keadaan berhikmah akan mendatangkan banyak kebaikan kepada diri kita dan juga orang lain.Contohnya Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah melkasanakan beberapa program untuk berdakwah seperti karnival mesra masjid dan karnival sukan.
Firman Allah SWT dalam surah Ali-'Imran ayat 159 :
فَبِمَا رَحْمَةٍ مِّنَ اللّهِ لِنتَ لَهُمْ وَلَوْ كُنتَ فَظًّا غَلِيظَ الْقَلْبِ لاَنفَضُّواْ مِنْ حَوْلِكَ فَاعْفُ عَنْهُمْ وَاسْتَغْفِرْ لَهُمْ وَشَاوِرْهُمْ فِي الأَمْرِ فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللّهِ إِنَّ اللّهَ يُحِبُّ الْمُتَوَكِّلِينَ ﴿159﴾
"Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) daripada Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabatmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka akan menjauhkan diri daripada engkau".
Menggunakan hikmah dan kebijaksanaan dalam melaksanakan tugas dakwah adalah amat dituntut oleh Allah SWT sebagaimana yang dapat difahami melalui ayat di atas. Antara hikmah terbaik yang mampu memberikan kesan dalam tugas dakwah ialah dengan menggunakan perkataan-perkataan yang baik serta mampu menyerap kedalam jiwa orang yang mendengarnya. Kerana itulah nabi Musa A.S. telah memohon kepada Allah SWT agar dianugerahkan kepadanya lisan yang baik dengan harapan supaya dakwahnya dapat diterima oleh Firaun dan pengikut-pengikutnya. Doa baginda ini telahpun dirakamkan oleh Allah SWT dalam al-Quran melalui firman-Nya dalam surah Toha ayat 25-28:
قَالَ رَبِّ اشْرَحْ لِي صَدْرِي ﴿25﴾
وَيَسِّرْ لِي أَمْرِي ﴿26﴾
وَاحْلُلْ عُقْدَةً مِّن لِّسَانِي ﴿27﴾
يَفْقَهُوا قَوْلِي ﴿28﴾
"Nabi Musa berdoa: "Wahai Tuhanku, lapangkanlah bagiku dadaku, dan mudahkanlah bagiku tugasku, dan lepaskanlah kekakuan dari lidahku, supaya mereka faham perkataanku".
Berdakwah dengan menggunakan perkataan yang baik ini sememangnya dapat dilakukan oleh kebanyakan masyarakat Melayu Islam yang ada di tanahair kita. Ini kerana masyarakat Melayu Islam kita sememangnya telah terkenal dengan budi bahasa dan kesopanan yang amat tinggi. Justeru, amatlah malang jika budaya yang telah lama tersemat di dalam jiwa masyarakat Melayu Islam kita ini tidak dimanfaatkan dengan sebaiknya untuk melaksanakan tanggungjawab berdakwah di jalan Allah SWT.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Sesungguhnya tanggungjawab berdakwah adalah merupakan salah satu kewajipan yang termasuk di dalam jihad fi sabilillah. Oleh kerana itu, perbuatan meninggalkan tanggungjawab ini pasti akan mengundang kemurkaan Allah SWT sebagaimana disebutkan dalam firman-Nya dalam surah At-Taubah ayat 24:
قُلْ إِن كَانَ آبَاؤُكُمْ وَأَبْنَآؤُكُمْ وَإِخْوَانُكُمْ وَأَزْوَاجُكُمْ وَعَشِيرَتُكُمْ وَأَمْوَالٌ اقْتَرَفْتُمُوهَا وَتِجَارَةٌ تَخْشَوْنَ كَسَادَهَا وَمَسَاكِنُ تَرْضَوْنَهَا أَحَبَّ إِلَيْكُم مِّنَ اللّهِ وَرَسُولِهِ وَجِهَادٍ فِي سَبِيلِهِ فَتَرَبَّصُواْ حَتَّى يَأْتِيَ اللّهُ بِأَمْرِهِ وَاللّهُ لاَ يَهْدِي الْقَوْمَ الْفَاسِقِينَ ﴿24﴾
.Katakanlah(Wahai Muhammad): “Jika bapa-bapa , anak-anak , saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khawatiri kerugiannya, dan tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai dari Allah dan RasulNya dan dari berjihad di jalan nya, Maka tunggulah sampai Allah mendatangkan Keputusan NYA(azab seksaNya)”. dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik(derhaka)
.
وَأَنذِرْ بِهِ الَّذِينَ يَخَافُونَ أَن يُحْشَرُواْ إِلَى رَبِّهِمْ لَيْسَ لَهُم مِّن دُونِهِ وَلِيٌّ وَلاَ شَفِيعٌ لَّعَلَّهُمْ يَتَّقُونَ ﴿51﴾
"Dan berilah amaran dengan Al-Quran itu kepada orang yang merasa takut bahawa mereka akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (pada hari kiamat), (padahal) tiadalah bagi mereka seorang pelindung dan tidak juga pemberi syafaat selain daripada Allah agar mereka bertaqwa".
(Al-An'am: 51)
KHUTBAH KEDUA
Ya Allah, Engkaulah Tuhan yang Maha berkuasa, kami bersyukur kehadrat-Mu yang telah mengurniakan kami rahmat dan nikmat, sehingga kami dapat meneruskan usaha ke arah memperkukuhkan negara umat Islam khususnya negeri Selangor, sebagai negeri yang maju, sejahtera dan berkebajikan.
Justeru kami pohon kehadrat-Mu ya Allah, tetapkanlah iman kami, tingkatkanlah amal kami, kukuhkanlah perpaduan kami, murahkanlah rezeki kami, kayakanlah kami dengan ilmu yang bermanfaat, suburkanlah jiwa kami dengan budi pekerti yang mulia, kembalikanlah kami ke jalan yang Engkau redhai, lindungilah kami daripada ujian-Mu yang berat seperti kemarau panjang, banjir besar, wabak penyakit, persengketaan, kemiskinan dan lain-lain, supaya dengan demikian, negeri kami akan sentiasa bertambah makmur dan berkat.
Engkau bukakanlah hati umat Islam, khususnya di Negeri Selangor untuk melaksanakan ibadah zakat sebagaimana yang telah Engkau fardhukan di dalam Al-Quran. Berkatilah hidup orang-orang yang melaksanakan tuntutan berzakat, menyayangi fakir dan miskin, sucikanlah harta dan jiwa mereka agar mereka hidup dalam keredhaan-Mu. Kau lindungilah golongan fuqara' dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.
Sumber: http://www.jais.gov.my
Khutbah Jumaat Bacaan 13 Julai 2012
p/s: insyaallah, selepas ini pada setiap hari jumaat … intipati khutbah akan di update di blog Sahabat Masjid Imam As Syafie sbgai perkongsian bersama …walaupn berbeza tempat dan dr negeri mana kami ambil khutbah ini…
Doakan kami ye sahabat2 , moga istoqamah selepas ini…aminn….. (n______n)v
(Unit Dakwah dan Tarbiyyah SMIAS)
No comments:
Post a Comment