Sunday, January 27, 2013

tudung labuh itu kolot??




Selepas UPSR, saya di hantar ke sekolah agama oleh ibu bapa. Bukan atas kehendak sendiri. Saya juga tidak membantah. Hanya kerana sepupu perempuan saya turut belajar di situ, saya tidak keberatan.

Saya juga pernah menghadiri temuduga untuk memasuki Kospint yakni Imtiaz sekarang. Hampa kerana tidak terpilih.

Seperti yang umum maklum, belajar di sekolah agama menuntut pelajar perempuan memakai tudung labuh. Saya ketika itu masih belum faham kenapa perlu memakai tudung labuh.

Adakah tudung segi tiga masih belum menutup aurat?

Tetapi, soalan itu hanya berlegar di fikiran. Tidak pernah diluahkan dan tidak pernah dikaji.

Timbul rasa jengkel juga di hati, '"selekehlah pakai tudung labuh", "nampak gemuk", "tak smart langsung".

Oleh sebab itu, apabila diadakan aktiviti sukan atau apa-apa aktiviti di luar waktu persekolahan, saya akan menyarung tudung segi tiga biasa menggantikan tudung besar itu. Saya kurang rasa bersalah kerana senior juga begitu.

Tiada lagi tudung labuh apabila menghadiri latihan kawat pada waktu petang, atau latihan untuk hari sukan kerana tiada seorang pun guru yang menegur. Kalau ada pun, bukan saya yang ditegurnya. Saya rasa selamat untuk memakai tudung segi tiga.

Begitu juga apabila keluar dari asrama, selain daripada outing pada waktu persekolahan, terutama apabila bersiar-siar dengan keluarga atau kawan-kawan, saya tidak pernah sekalipun memakai tudung labuh sekolah apatah lagi mahu mempunyai koleksi tudung labuh yang lain. Sungguh waktu itu, tudung labuh bagi saya adalah kolot. Ketinggalan zaman.

Bermula dari tingkatan satu hinggalah tingkatan tiga, tiada input yang saya dapati sama ada dalam waktu persekolahan atau selepas waktu persekolahan berkenaan kebaikan memakai tudung labuh. Tiada sesiapa pun yang menceritakan kepada kami mengapa para pelajar perempuan di sekolah ni diwajibkan pakai tudung labuh.

Yang ada hanya guru yang menyindir kami dengan kata-kata:

"Korang ni bila kaki dah langkah luar pagar sekolah, tudung labuh entah ke mana, baju ketat, seluar ketat, tudung kecik". Saya hanya mencebik. Apa salahnya tudung kecil!

Di mata saya tudung labuh hanya dipakai oleh ustazah. Tetapi, pemikiran itu berubah sedikit apabila guru Sains saya memakai tudung labuh juga. Tetapi, saya malas memikirkan tentang perihal tudung labuh ini.

"Yang penting aku dah tutup aurat sepenuhnya, ok lah".

Meskipun spotcheck tudung selalu dilakukan, kami tidak pernah serik. Undang-undang sekolah kami tidaklah seketat sekolah agama yang gah dan hebat yang lain. Tudung pelajar perempuan tidak boleh atas daripada paras siku.

Peraturan ini boleh diterima lagi kerana ada sekolah yang mewajibkan tudung pelajarnya mesti bawah pergelangan tangan. Tetapi, para pelajar yang "rimas" telah dididik oleh para senior supaya memendekkan tudung dalam erti kata yang lain, tudung yang labuh diubah suai agar ianya atas daripada siku.

Bagi kami, tudung sebegini nampak lebih kemas. Stok tudung labuh tetap ada untuk kecemasan yakni spotcheck. Hanya dipakai apabila tersebar khabar angin bahawa pagi itu akan dilakukan spotcheck.

Usai keputusan PMR diumumkan, saya mendapat tawaran ke sebuah MRSM di pantai timur. Alhamdulillah. Bolehlah keluar dari kongkongan sekolah agama ni. Mimpi saya ialah peraturan akan lebih longgar, pelajar boleh pakai apa-apa sahaja yang disukai, ber'couple' tidak akan jadi halangan, pendek kata moden.

Tetapi, impian itu bertukar 180 darjah. Kami diwajibkan solat Subuh, maghrib dan Isyak secara berjemaah, diwajibkan memakai stoking apabila keluar dari asrama, dilarang ber'couple', tidak boleh memakai scarf kepala yang menutup hanya separuh, track suit yang mencekik di bahagian bawah dilarang sama sekali, handsock diwajibkan.

Tambahan lagi, di dalam kelas pelajar perempuan mestilah duduk belakang pelajar lelaki menyerupai saf dalam solat, tudung yang jarang akan dihukum, tudung yang tidak melebihi bahu akan di denda, seakan-akan peraturan bertambah ketat berbanding sekolah agama saya dahulu.

Dan tentunya peraturan ini sebenarnya telah termaktub sebagai perintah Allah S.W.T sendiri. Cuma tidak diperincikan sahaja. Allah S.W.T menyuruh kita menutup seluruh anggota badan kecuali tangan dan muka. Maknanya, kaki juga aurat wahai diri. Peraturan ini dianggap mengongkong bagi pelajar yang jiwanya masih terbelenggu dengan dosa termasuk saya.

Tetapi, Alhamdulillah jauh di sudut hati saya, saya mengagumi peraturan ini. Seolah-olah Allah S.W.T ingin menjaga kami para pelajar wanita daripada terjerumus dalam dosa. Allah S.W.T ingin menjaga kami daripada pandangan jahat lelaki berhati kotor. Allah S.W.T ingin mendidik kami ke arah lebih solehah.

Bermulanya detik saya mengenali Allah S.W.T lebih dekat. Majlis-majlis ilmu yang dihadiri mula membuka hati saya yang tepu dengan dosa. Selain itu, ada beberapa senior yang bertudung labuh yang membuatkan hati saya terdetik:

"Kenapa mereka memilih pakai tudung labuh sedangkan MRSM tidak mewajibkan pelajarnya bertudung labuh".

Kagum. Mereka satu dalam sejuta. Permata di celahan kaca.

Satu kejutan apabila melihat seorang sahabat yang baru dikenali ketika orientasi yang pada awalnya bertudung segi tiga secara drastik bertukar kepada tudung labuh. Lalu, saya bertanya mengapa. Beliau dahulu bersekolah agama, ceritanya lebih kurang seperti saya.

Katanya, hatinya terdetik untuk berubah apabila menghadiri satu ceramah yang disampaikan oleh Ustaz Zolkolnain Singah, ustaz yang kami kagumi, berkenaan mayat seorang lelaki yang berusia 18 tahun di Timur Tengah yang digali semula selepas tiga jam untuk dibedah siasat. Meskipun hanya tiga jam berada dalam liang lahad, mayatnya hampir tidak dikenali.

Rambutnya beruban, mulutnya dipenuhi darah, riak wajahnya ketakutan seolah-olah baru melihat sesuatu yang dahsyat, matanya tersembul keluar, tulang rusuknya patah seolah-olah dipukul oleh sesuatu, badannya dipenuhi darah dan lebam kesan paluan! La haulawala quwwata illa billlah.

Ayahnya memaklumkan apabila ditanya bahawa anaknya itu sepanjang hidupnya tidak pernah solat, minum arak, dan berzina. Lalu terdetik dalam hati sahabat saya andai kata beliau mati, apakah sudah bersedia dengan amalan yang dilakukan?

Adakah auratnya sudah sempurna ditutup?

Perubahan yang dirasakan agak payah tetap dilaksanakan demi kematian yang bakal menjelma. Ya, sahabat sekeliling memandangnya dengan kehairanan. Tetapi, semangatnya utuh.

Di awal tahun tingkatan lima, kami diwajibkan menyertai Kem Jati Diri yang menuntut kami beraksi lasak. Memanjat, berkayak, berenang dalam lumpur, berlari, mengangkat beban, denda kami adalah push up.

Saya terfikir bagaimana sahabat saya yang bertudung labuh itu menghadapi semua ini. Bayangkan dalam lumpur, dengan tudung labuhnya, dia masih kental beraksi. Saya kagum.

Lalu, saya mula mencari sebab kenapa perlu bertudung labuh. Allah S.W.T telah mengilhamkan. Meskipun saya bertudung seperti kebanyakan orang lain, yakni tudung segi tiga yang bagi saya sudah menutup aurat, tetapi saya berasa rimas dan takut untuk berada di hadapan lelaki.

Tudung saya tidak menutup sepenuhnya bahagian belakang. Seolah-olah mereka nampak apa yang sepatutnya mereka tidak nampak. Iaitu tali baju dalam. Maaf kerana agak peribadi. Tetapi ya, saya langsung tidak selamat. Apatah lagi jika memakai baju yang jarang dan nipis.

Satu lagi sebab, meskipun tudung saya melepasi dada, tetapi andai kata angin bertiup kencang, tudung akan terselak lalu dengan mudahnya dada kelihatan. Lalu saya meneliti kakak-kakak yang bertudung labuh, apabila tudung mereka ditiup angin, ia masih tidak menampakkan dada mereka. Kerana tudung itu labuh lalu ia menutupi bahagian sisi dada mereka. Subhanallah.

Ditakdirkan kami sekelas ketika tingkatan lima. Waktu itu saya mula mengubah cara pemakaian tudung sedikit demi sedikit. Daripada tudung bawal ke arah tudung cotton yang tebal.

Kemudian beralih ke tudung bidang 60. Terdetik juga mahu memakai shawl. Pendek kata saya masih mencari identiti. Tetapi di sekolah, saya tetap bertudung segi tiga kecil. Masih belum berani untuk konsisten.

Sehinggalah suatu ketika, entah kenapa, saya tiba-tiba teringatkan tudung labuh saya yang dipakai sewaktu sekolah agama dahulu yang kini hanya terperuk dalam almari. Lalu, saya meminta ibu mengirimkan tudung tersebut kerana saya mahu menjahit tudung labuh saya sendiri.

Bermakna saya mahu memakai tudung labuh. Keinginan itu disuarakan kepada ibu dan kepada sahabat saya tadi. Mereka gembira. Saya mendapat semangat. Lalu proses menjahit siap cuma tinggal mahu memakai ataupun tidak.

Tiba waktu prep, saya meminta roommate menemani saya menuju ke kelas. Alhamdulillah, kami tidak bertembung dengan sesiapa pun waktu itu. Saya selamat tiba ke kelas. Pandangan pertama sahabat sekelas tidak akan dilupakan.

Rasa malu menyelubungi lalu saya menyendiri di satu sudut untuk seketika. Tetapi sahabat sekelas saya ibarat adik-beradik sendiri, mereka berpura-pura tidak perasan akan perubahan itu demi menjaga hati saya. Lalu, prep pun berjalan seperti biasa. Saya tidak rasa janggal lagi.

Bermula dari hari itu, beberapa sahabat juga telah mula bertudung labuh, tetapi kami masih golongan minoriti. Beberapa pelajar lelaki yang mungkin tidak tahu kerap mengusik dengan kata-kata yang lebih kurang, "kaya betul lah korang, banyak duit nak beli kain!", "boleh buat sapu lantai lah kalau macam ni", "wei, ustazah, ustazah!".

Ketika kami masih "diusik", Allah S.W.T telah menenangkan hati kami melalui tulisan Fatimah Syarha dalam kolum beliau menerusi majalah Solusi. Masih saya ingat tajuknya "Corat-coret Kisah Tudung Labuh".

Pengalaman Fatimah Syarha bertudung labuh menaikkan lagi semangat kami untuk istiqomah. Lalu, saya dan sahabat terus menfotostat kolum itu dan ditampal ke semua kelas. Sebagai usaha kami membela wanita yang bertudung labuh.

Kelegaan yang amat. Bermula dari hari itu, kami kurang menerima usikan-usikan mereka.

Terima kasih Allah S.W.T kerana memberi ilham kepada Fatimah Syarha untuk menulis tentang tudung labuh. Hebatkan Allah S.W.T!

Kuncinya hanya satu, jika kita berubah kerana manusia, perubahan itu tidak akan kekal. Jika berubah kerana Allah S.W.T, tidak kira banyaknya dugaan, kita akan tetap konsisten. Insya-Allah.

Semoga pengalaman yang biasa ini dapat membantu.

Sumber : iluvislam.com

Saturday, December 22, 2012

Tajuk Khutbah:"Ciri-ciri Pemimpin Yang Baik".(21/12/2012)Bersamaan 7 Safar 1434H




Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah, 

Marilah kita bersyukur dengan nikmat Islam dan Iman yang telah kita kecapi selama ini dengan berusaha menambahkan ilmu dan amal serta ketaqwaan kita  kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Marilah kita memperbanyakkan zikir kepada Allah SWT dan memperbanyakkan selawat ke atas Rasulullah s.a.w serta berusaha melaksanakan segala sunnahnya, mudah-mudahan ianya akan memberikan manfaat kepada kita di dunia dan di akhirat.
Tajuk khutbah kita pada kali ini adalah


"Ciri-ciri Pemimpin Yang Baik".


Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Dalam Islam, menentukan dan memilih pemimpin adalah suatu perkara yang sangat penting dan wajib. Ini dibuktikan dalam sejarah Islam apabila wafatnya junjungan besar Nabi kita Muhammad S.A.W, maka seorang khalifah terus dilantik menjadi pemimpin bagi mengantikan baginda sebelum pemakaman baginda S.A.W dilangsungkan. Ijma' sahabat sepakat bahwa haram hukumnya kaum muslimin hidup tanpa adanya seorang khalifah atau pemimpin lebih dari tiga hari tiga malam.

Sabda Nabi S.A.W:

"Apabila keluar tiga orang dalam bermusafir maka hendaklah dilantik seorang ketua".                                                                                                                  (Riwayat Abu Daud)

Ini bermakna kepentingan melantik pemimpin untuk mengantikan kepimpinan yang telah berlalu untuk mengurus hal ehwal Islam dan melaksanakan kemaslahatannya adalah wajib. Atas sebab inilah Islam begitu memandang berat soal memilih pemimpin dalam semua peringkat kehidupan.
Persoalannya, bagaimanakah kita hendak menjadi pemimpin yang baik? Kita harus sedar bahawa pemimpin yang baik akan memberikan kesan yang amat besar terhadap masa depan agama, bangsa dan negara.

Kita juga hendaklah memahami bahawa soal kepimpinan mempunyai kaitan yang amat besar dengan dosa dan pahala dan ia adalah sebahagian tindakan atau perbuatan yang tidak terlepas dari penghakiman Allah terhadap kita pada hari kiamat kelak.

Firman Allah dalam Surah al-Muddathir ayat 38:

كُلُّ نَفْسٍ بِمَا كَسَبَتْ رَهِينَةٌ
"Setiap diri terikat (bertanggungjawab) dengan apa yang telah dikerjakannya".
Sebagai pemimpin, kita hendaklah melaksanakan tugas secara berhati-hati dan tiada berkepentingan peribadi dan sebagainya. Jika kita gagal melaksanakan tugas dengan adil dan mengutamakan kebajikan untuk rakyat maka sudah tentulah amat bersalah dan akan diazab oleh Allah di akhirat kelak.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Qasas ayat 41:

وَجَعَلْنَاهُمْ أَئِمَّةً يَدْعُونَ إِلَى النَّارِ ۖ وَيَوْمَ الْقِيَامَةِ لَا يُنْصَرُونَ
"Dan Kami jadikan mereka pemimpin-pemimpin yang menyeru (manusia) ke neraka dan pada hari Kiamat pula mereka tidak mendapat sebarang pertolongan". 


Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah, 

Islam telah menjelaskan kepada kita bagaimana untuk menjadi pemimpin yang baik. Berikut adalah antara ciri-ciri utama sebagai seorang pemimpin yang baik;  


1.      Seorang pemimpin yang berupaya untuk menjaga agama dan menegakkan syariat Allah di atas muka bumi, sebaliknya bukan menjadikan agama sebagai ‘istihza' atau dipermainkan. Justeru amanah sebagai pemimpin sebenarnya adalah ganti diri Rasulullah S.A.W ‘niabatan ‘anin nabi saw' untuk memelihara, menjaga dan melaksana syariat Allah SWT.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Haj ayat 41:

الَّذِينَ إِنْ مَكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ أَقَامُوا الصَّلَاةَ وَآتَوُا الزَّكَاةَ وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا عَنِ الْمُنْكَرِ ۗ وَلِلَّهِ عَاقِبَةُ الْأُمُورِ
"Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan solat serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang daripada melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. (Ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan".


2.      Seseorang pemimpin yang memiliki ‘al-Quwwah' yakni kekuatan dari semua sudut samada fizikal, spiritual dan mental. Dalam al-Qur'an telah dijelaskan kisah dua anak perempuan Nabi Syu'aib meminta kepadanya agar memilih pekerja mengembala kambing daripada kalangan yang kuat bekerja dan amanah, inikan lagi soal memilih pemimpin yang sudah tentu skop menanggung kerjanya yang lebih luas dan amanahnya sangat besar memerlukan kekuatan semua sudut dan bidang.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Qasas ayat 26: 

قَالَتْ إِحْدَاهُمَا يَا أَبَتِ اسْتَأْجِرْهُ ۖ إِنَّ خَيْرَ مَنِ اسْتَأْجَرْتَ الْقَوِيُّ الْأَمِينُ
"Salah seorang antara perempuan yang berdua itu berkata: "Wahai ayah, ambillah dia menjadi orang upahan (kita), sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat, lagi amanah".


3.      Seseorang pemimpin yang memiliki sifat taqwa, kerana ciri-ciri inilah yang menjamin seseorang pemimpin itu berintegrit dan takutkan Allah SWT dalam melaksanakan tugas-tugasnya.

Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat103:

وَلَوْ أَنَّهُمْ آمَنُوا وَاتَّقَوْا لَمَثُوبَةٌ مِنْ عِنْدِ اللَّهِ خَيْرٌ ۖ لَوْ كَانُوا يَعْلَمُونَ
"Dan seandainya mereka itu tetap beriman dan bertaqwa nescaya mereka akan mendapat pahala); sesungguhnya pahala dari sisi Allah itu adalah lebih baik, seandainya mereka mengetahuinya". 


4.      Seseorang pemimpin itu mestilah beramanah, adil dan tidak melakukan kezaliman atau diskriminasi kepada mereka yang di bawah pimpinannya. Sifat-sifat ini mesti dimiliki oleh mana-mana pemimpin dan menjadikan ia sebagai prinsip asas pentadbiran untuk menjamin kepimpinannya yang dihormati, disegani dan disayangi.

Firman Allah dalam Surah An-Nisa' ayat 58:

إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُمْ بَيْنَ النَّاسِ أَنْ تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ ۚ إِنَّ اللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُمْ بِهِ ۗ إِنَّ اللَّهَ كَانَ سَمِيعًا بَصِيرًا
"Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya). Apabila kamu menjalankan hukum antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil...". 


5.      Seseorang pemimpin itu mestilah bertanggungjawab dan tidak sombong kepada mereka yang di bawah pimpinannya. Sikap bertanggungjawab dan peka dalam semua perkara ditunaikan kepada orang bawahannya dengan penuh kasih sayang dan kemesraan tanpa ada pemisah atau jurang kesombongan.

Firman Allah SWT dalam Surah at-Taubah 128:

لَقَدْ جَاءَكُمْ رَسُولٌ مِنْ أَنْفُسِكُمْ عَزِيزٌ عَلَيْهِ مَا عَنِتُّمْ حَرِيصٌ عَلَيْكُمْ بِالْمُؤْمِنِينَ رَءُوفٌ رَحِيمٌ
"Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul daripada golongan kamu sendiri (iaitu Nabi MuhammadS.A.W), yang mengambil berat atas sebarang kesusahan yang menimpa kamu, yang sangat menginginkan kebaikan bagi kamu, amat belas kasihan lagi penyayang terhadap orang yang beriman".


6.      Seseorang pemimpin itu hendaklah  tegas dan berpegang teguh kepada prinsip dalam melaksanakan amanah termasuklah mengambil tindakan sewajarnya dalam hal-hal berkaitan penguatkuasaan undang-undang terhadap pihak yang bersalah, sekalipun melibatkan ahli keluarga, kawan mahupun lawan.

Hadis daripada Aisyah RA bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

"Sekiranya Fatimah binti Muhammad mencuri nescaya aku akan memotong tangannya".                                                                                                                                            (Riwayat al-Bukhari)


7.      Seseorang pemimpin itu hendaklah berakhlak, baik budi pekertinya dan menjadi teladan yang baik dalam semua tindak tanduknya. 
Hadis daripada Abu Hurairah R.A bahawa Nabi S.A.W bersabda:
"Orang-orang mukmin yang paling sempurna imannya adalah mereka yang paling baik akhlaknya".                        
             
                                                                                                    (Riwayat at-Tirmidzi)
8.      Seseorang pemimpin itu hendaklah menunaikan janji-janjinya kepada orang bawahannya. Pemimpin yang mengotakan janji adalah pemimpin yang disenangi dan dipercayai oleh orang bawahannya, bukan berdusta dan menghampakan orang bawahannya.

Sabda Nabi S.A.W:

"Sesiapa yang diamanahkan oleh Allah untuk memimpin rakyat, lalu dia mati. Pada hari dia mati dalam keadaan dia menipu rakyatnya, maka Allah telah mengharamkan syurga untuknya".
                                                                                                       (Riwayat Bukhari dan Muslim) 


Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Jelaslah kepada kita bahawa dalam soal kepimpinan yang baik tidak boleh dilakukan secara tangkap muat. Sehubungan dengan itu Imam al-Qurtubi menjelaskan dalam kitab ‘Al-Jamik li Ahkamil Quran' bahawa,  "Bagi umat Islam dalam memilih pemimpin mestilah dari golongan yang adil, ihsan dan mulia. Adapun yang fasiq dan zalim mereka tidak layak menjadi pemimpin".

Hadis daripada Huzaifah R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:

 "Bahawasanya akan wujud (akan datang) para pemerintah yang berbohong dan berlaku zalim. Barangsiapa yang membenarkan pembohongan mereka dan membantu atas kezaliman mereka, maka (mereka) bukan daripada (golongan) kami dan aku bukan daripada (golongan) mereka, dan dia tidak akan menemuiku di haudh (telaga kauthar di akhirat kelak). (Sebaliknya) sesiapa yang tidak membenarkan pembohongan mereka dan tidak membantu atas kezaliman mereka, maka dia daripada (golongan) ku dan aku daripada (golongan) nya dan dia akan menemuiku di haudh".                                               
                                                                                                             (Riwayat Imam Ahmad)
Pengajaran daripada khutbah hari ini adalah, marilah kita menjadi pemimpin yang takutkan Allah melebihi daripada segala-galanya. Kerana hanya pemimpin yang benar-benar takutkan Allah sajalah yang mampu menjalankan tanggungjawabnya sebagai pemimpin dengan jujur, amanah dan adil.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَتَّخِذُوا الَّذِينَ اتَّخَذُوا دِينَكُمْ هُزُوًا وَلَعِبًا مِنَ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ مِنْ قَبْلِكُمْ وَالْكُفَّارَ أَوْلِيَاءَ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنْ كُنْتُمْ مُؤْمِنِينَ
"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang yang menjadikan agama kamu sebagai ejekan-ejekan dan permainan di kalangan orang yang telah diberikan Kitab sebelum kamu dan orang kafir musyrik itu sebagai pemimpin dan bertaqwalah kepada Allah, jika kamu benar-benar orang yang beriman".
                                                                                                                        (Al-Maidah : 57)

sumber: Jabatan Agama ISLAM Negeri Selangor(JAIS)...

kenapa ambil sumber dr JAIS???kerana khutbah diselangor telah diselaraskan untuk masjid2 di seluruh negeri selngor...... insyaallah ...semoga bermanfaat....

Friday, December 21, 2012

tautan ukhwah dalam persahabatan

assalamualaikum dan ahlan wassalam.saya mengambil intipati berkenaan sahabat dari satu blog ini.bagaimana persahabatan itu boleh memupuk kita menjadi insan yang lebih baik dan membawa kita dalam berjuang menegakkan agama Allah yang satu.oleh itu dalam memilih sahabat sangat penting,sahabat juga sangat penting.luahan itu sangat menarik dan membuatkan saya untuk berkongsi perkara ini.selamat membaca n selamat beramal.
Bermula dari hadis nabi ada menyebut bahawa

“Sebaik baik sahabat di sisi Allah ialah orang yang terbaik terhadap temannya dan sebaik baik jiran di sisi Allah ialah orang yang terbaik terhadap jirannya.” (Hadis riwayat al-Hakim)

Dari Nu’man bin Basyir r.a., Rasulullah SAW bersabda,

“Perumpamaan persaudaraan kaum muslimin dalam cinta dan kasih sayang di antara mereka adalah seumpama satu tubuh. Apabila satu anggota tubuh sakit maka mengakibatkan seluruh tubuh menjadi demam dan tidak bisa tidur.” (Hadis riwayat Muslim)

“Seorang Muslim adalah saudara muslim lainnya, ia tidak menzaliminya, merendahkannya, menyerahkan (kepada musuh) dan tidak menghinakannya.” (Hadis riwayat Muslim)

“Teman yang paling baik adalah apabila kamu melihat wajahnya, kamu teringat akan Allah, mendengar kata-katanya menambahkan ilmu agama, melihat gerak-gerinya teringat mati.”

Banyak sekali hadis tentang kawan/sahabat ini. Ada pula pepatah Melayu mengatakan, “Berkawan biar seribu, berkasih biar satu.” Saya lebih selesa dengan berkawan biar berpada jumlahnya, lihat kualiti, bukan kuantiti. Berkasih jangan cuma satu sahaja, kalau mampu, biar ramai. Kasihkan Allah, Rasul-Nya, pasangan (suami/isteri) , anak-anak, keluarga, kaum kerabat, jiran dan juga kawan atau sahabat. Baru betul!^__^

Allah SWT menciptakan makhluk di atas muka bumi ini berpasang-pasangan. Begitu juga manusia, tidak akan hidup bersendirian. Kita tidak boleh lari dari berkawan dan menjadi kawan kepada seseorang. Jika ada manusia yang tidak suka berkawan atau melarang orang lain daripada berkawan, dia dianggap ganjil dan tidak memenuhi ciri-ciri sebagai seorang manusia yang normal.

Inilah antara hikmah, kenapa Allah SWT mencipta manusia daripada berbagai bangsa, warna kulit dan bahasa. Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal (dan beramah mesra antara satu sama lain). Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.” (surah al-Hujurat [049] ayat 13)

Dalam Islam, faktor memilih kawan amat dititik-beratkan. Hubungan persahabatan adalah hubungan yang sangat mulia, kerana kawan atau sahabat berperanan dalam membentuk personaliti individu. Ada kawan yang sanggup bersusah-payah dan berkongsi duka bersama kita, dan tidak kurang juga kawan yang nampak muka semasa senang dan hanya sanggup berkongsi kegembiraan sahaja.


Terdapat ayat yang mengisyaratkan mengenai peranan dan pengaruh kawan, antaranya firman-Nya yang bermaksud:

“Wahai orang yang beriman! Bertakwalah dan hendaklah kamu bersama-sama orang yang bersifat benar.” (Surah at-Taubah, ayat 119)

Pendek kata sahabat boleh menentukan corak hidup kita. Justeru, jika salah pilih sahabat kita akan merana dan menerima padahnya. Selari dengan hadis Rasululah SAW yang bermaksud:

“Seseorang itu adalah mengikut agama temannya, oleh itu hendaklah seseorang itu meneliti siapa yang menjadi temannya.” (Hadis riwayat Abu Daud).

Hadis al-Bukhari dari Abu Musa al-Asy'ari, bermaksud:

“Diumpamakan rakan yang soleh dan rakan yang jahat ialah seperti (berkawan) dengan penjual minyak wangi dan tukang besi. Penjual minyak wangi tidak akan mensia-siakan anda, sama ada anda membelinya atau hanya mendapat bau harumannya. Tukang besi pula boleh menyebabkan rumah anda atau baju anda terbakar, atau mendapat bau busuk.”

Apakah ciri-ciri seorang sahabat yang baik? Nasihat yang boleh diikuti dalam membina persahabatan ialah sebagaimana pesanan al-Qamah (seorang sahabat Rasulullah SAW) kepada anaknya:

“Wahai anakku, sekiranya engkau berasa perlu untuk bersahabat dengan seseorang, maka hendaklah engkau memilih orang yang sifatnya seperti berikut:

1 - Pilihlah sahabat yang suka melindungi sahabatnya, dia adalah hiasan diri kita dan jika kita dalam kekurangan nafkah, dia suka mencukupi keperluan.

2 – Pilihlah seorang sahabat yang apabila engkau menghulurkan tangan untuk memberikan jasa baik atau bantuanmu, dia suka menerima dengan rasa terharu, jikalau ia melihat kebaikan yang ada pada dirimu, dia suka menghitung-hitungka n (menyebutnya) .

3 – Pilihlah seorang sahabat yang apabila engkau menghulurkan tangan untuk memberikan jasa baik atau bantuanmu, ia suka menerima dengan rasa terharu dan dianggap sangat berguna, dan jika ia mengetahui mengenai keburukkan dirimu ia suka menutupinya.

4 – Pilihlah sahabat yang jikalau engkau meminta sesuatu daripadanya, pasti ia memberi, jikalau engkau diam, dia mula menyapamu dulu dan jika ada sesuatu kesukaran dan kesedihan yang menimpa dirimu, dia suka membantu dan meringankanmu serta menghiburkanmu.

5 – Pilihlah sahabat yang jikalau engkau berkata, ia suka membenarkan ucapan dan bukan selalu mempercayainya saja. Jikalau engkau mengemukakan sesuatu persoalan yang berat dia suka mengusahakannya dan jika engkau berselisih dengannya, dia suka mengalah untuk kepentinganmu.

Dalam memilih sahabat hendaklah memilih sahabat yang baik agar segala matlamat dan hasrat untuk memperjuangkan Islam dapat dilaksanakan bersama-sama sahabat yang mulia.


Sebagai remaja yang terlepas daripada pandangan ayah ibu berhati-hatilah jika memilih kawan. Kerana kawan, kita bahagia tetapi kawan juga boleh menjahanamkan kita. Setelah kita dewasa, kita juga perlu berhati-hati memilih kawan kerana kita tidak mahu kawan-kawan yang melalaikan kita kepada Maha Pencipta. Kawan yang baik membantu kita ke arah pencapaian matlamat, iaitu kebahagiaan di dunia dan juga di akhirat. Kawan yang tidak baik hanya membantutkan usaha kita ke arah itu.

Dalam kitab al-Hikam ada menyebut, “Jangan berkawan dengan seseorang yang tidak membangkitkan semangat taat kepada Allah, amal kelakuannya dan tidak memimpin engkau ke jalan Allah.” Dalam satu hadis yang bermaksud, “Seseorang akan mengikuti pendirian (kelakuan) temannya, kerana itu tiap orang harus memilih siapakah yang harus didekati sebagai kawan (teman).”

Sufyan Astsaury berkata, “Siapa yang bergaul dengan orang banyak harus mengikuti mereka, dan siapa mengikuti mereka harus bermuka-muka pada mereka, dan siapa yang bermuka-muka kepada mereka, maka binasalah seperti mereka pula.”

Hati-hatilah atau tinggalkan sahaja sahabat seperti di bawah:

1. Sahabat yang tamak: ia sangat tamak, ia hanya memberi sedikit dan meminta yang banyak, dan ia hanya mementingkan diri sendiri.

2. Sahabat yang hipokrit: ia menyatakan bersahabat berkenaan dengan hal-hal lampau, atau hal-hal mendatang; ia berusaha mendapatkan simpati dengan kata-kata kosong; dan jika ada kesempatan membantu, ia menyatakan tidak sanggup.

3. Sahabat pengampu: Dia setuju dengan semua yang kamu lakukan tidak kira betul atau salah, yang parahnya dia setuju dengan hal yang tidak berani untuk menjelaskan kebenaran, di hadapanmu ia memuji dirimu, dan di belakangmu ia merendahkan dirimu.

4. Sahabat pemboros dan suka hiburan: ia menjadi kawanmu jika engkau suka pesta, suka berkeliaran dan ‘melepak’ pada waktu yang tidak sepatutnya, suka ke tempat-tempat hiburan dan pertunjukan.

Ali bin Abi Thalib r.a. berkata,

“Sejahat-jahat teman ialah yang memaksa engkau bermuka-muka dan memaksa engkau meminta maaf atau selalu mencari alasan.”

Dan sekiranya engkau berkawan seorang bodoh yang tidak menurutkan hawa nafsunya, lebih baik daripada berkawan dengan orang alim yang selalu menurutkan hawa nafsunya. Maka ilmu apakah yang dapat digelarkan bagi seorang alim yang selalu menurutkan hawa nafsunya itu, sebaliknya kebodohan apakah yang dapat disebutkan bagi seorang yang sudah dapat mengekang (menahan) hawa nafsunya.

Bagaimana akan dinamakan bodoh, seorang yang telah dapat menahan dan mengekang hawa nafsunya, sehingga membuktikan bahawa semua amal perbuatannya hanya semata-mata untuk keredhaan Allah SWT dan bersih dari dorongan hawa nafsu. Sebaliknya, apakah erti suatu ilmu yang tidak dapat menahan atau memimpin hawa nafsu dari sifat kebinatangan dan kejahatannya.

Dalam sebuah hadis ada keterangan : “Seorang itu akan mengikuti pendirian sahabat karibnya, kerana itu hendaknya seseorang itu memperhatikan, siapakah yang harus dijadikan kawan.”

Menurut ahli syair pula : “Sesiapa bergaul dengan orang-orang yang baik, akan hidup mulia. Dan yang bergaul dengan orang-orang rendah akhlaknya, pasti tidak mulia.”

Bersahabat dengan yang lebih rendah budi dan imannya sangat berbahaya, sebab persahabatan itu saling pengaruh-mempengaruhi, percaya-mempercayai sehingga dengan demikian sukar sekali untuk dapat melihat datu memperbaiki kesalahan sahabat yang kita sayangi, bahkan kesetiaan sahabat akan membela kita dalam kesalahan dosa kekeliruan itu, yang dengan itu kita pasti akan binasa kerananya.

Hati-hatilah memilih kawan, kerana kawan boleh menjadi cermin peribadi seseorang. Apa pun berkawanlah kerana Allah SWT untuk mencari redha-Nya.

Sumber daripada : Taman-Taman Syurga

"Sesungguhnya yang mengada-adakan kebohongan itu hanyalah orang-orang yang tidak beriman dengan ayat-ayat Allah dan merekalah pembohong-pembohong." (An-Nahl ayat 105)

"Barangsiapa mengatakan dariku apa yang aku tidak katakan, maka hendaklah Ia bersedia mengambil tempatnya dari Neraka."(HR: Az-Zahabi dlm Al-Kabair.)

-Sekian, selamat bersahabat- 
 

sahabat masjid imam as-syafie sesi 2013/2014

sahabat masjid imam as-syafie sesi 2013/2014

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...