Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Marilah kita bersyukur dengan nikmat Islam dan Iman
yang telah kita kecapi selama ini dengan berusaha menambahkan ilmu dan amal
serta ketaqwaan kita kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala
perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Marilah kita
memperbanyakkan zikir kepada Allah SWT dan memperbanyakkan selawat ke atas
Rasulullah s.a.w serta berusaha melaksanakan segala sunnahnya, mudah-mudahan ianya
akan memberikan manfaat kepada kita di dunia dan di akhirat.
Tajuk khutbah kita pada kali ini adalah
"Ciri-ciri Pemimpin
Yang Baik".
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Dalam Islam, menentukan dan memilih pemimpin adalah suatu
perkara yang sangat penting
dan wajib.
Ini dibuktikan dalam sejarah Islam apabila wafatnya junjungan besar Nabi kita
Muhammad S.A.W, maka seorang khalifah terus dilantik menjadi pemimpin bagi
mengantikan baginda sebelum pemakaman baginda S.A.W dilangsungkan. Ijma'
sahabat sepakat bahwa haram hukumnya kaum muslimin hidup tanpa adanya seorang
khalifah atau pemimpin lebih dari tiga hari tiga malam.
Sabda Nabi S.A.W:
"Apabila keluar tiga orang dalam bermusafir
maka hendaklah dilantik seorang
ketua".
(Riwayat Abu Daud)
Ini bermakna kepentingan melantik pemimpin untuk
mengantikan kepimpinan yang telah berlalu untuk mengurus hal ehwal Islam dan
melaksanakan kemaslahatannya adalah wajib.
Atas sebab inilah Islam begitu memandang berat soal memilih pemimpin dalam
semua peringkat kehidupan.
Persoalannya, bagaimanakah kita
hendak menjadi pemimpin yang baik? Kita harus sedar bahawa pemimpin
yang baik akan memberikan kesan yang amat besar terhadap masa depan agama,
bangsa dan negara.
Kita juga hendaklah memahami bahawa soal kepimpinan mempunyai
kaitan yang amat besar dengan dosa dan
pahala dan
ia adalah sebahagian tindakan atau perbuatan yang tidak terlepas dari
penghakiman Allah terhadap kita pada hari kiamat kelak.
Firman Allah dalam Surah al-Muddathir ayat 38:
كُلُّ نَفْسٍ بِمَا كَسَبَتْ
رَهِينَةٌ
"Setiap diri terikat (bertanggungjawab) dengan
apa yang telah dikerjakannya".
Sebagai pemimpin, kita hendaklah
melaksanakan tugas secara berhati-hati dan tiada berkepentingan peribadi dan
sebagainya. Jika kita gagal melaksanakan tugas dengan adil dan
mengutamakan kebajikan untuk rakyat maka sudah tentulah amat bersalah dan akan
diazab oleh Allah di akhirat kelak.
وَجَعَلْنَاهُمْ أَئِمَّةً
يَدْعُونَ إِلَى النَّارِ ۖ وَيَوْمَ الْقِيَامَةِ لَا يُنْصَرُونَ
"Dan Kami jadikan mereka pemimpin-pemimpin yang
menyeru (manusia) ke neraka dan pada hari Kiamat pula mereka tidak mendapat
sebarang pertolongan".
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Islam telah menjelaskan kepada kita bagaimana untuk
menjadi pemimpin yang baik. Berikut adalah antara ciri-ciri utama sebagai
seorang pemimpin yang baik;
1.
Seorang
pemimpin yang berupaya untuk menjaga agama dan
menegakkan syariat Allah
di atas muka bumi, sebaliknya bukan menjadikan agama sebagai ‘istihza' atau
dipermainkan. Justeru amanah sebagai pemimpin sebenarnya adalah ganti diri
Rasulullah S.A.W ‘niabatan
‘anin nabi saw' untuk
memelihara, menjaga dan melaksana syariat Allah SWT.
Firman Allah SWT dalam Surah al-Haj ayat 41:
الَّذِينَ إِنْ مَكَّنَّاهُمْ فِي
الْأَرْضِ أَقَامُوا الصَّلَاةَ وَآتَوُا الزَّكَاةَ وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ
وَنَهَوْا عَنِ الْمُنْكَرِ ۗ وَلِلَّهِ عَاقِبَةُ الْأُمُورِ
"Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami
berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan solat
serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang
daripada melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. (Ingatlah) bagi Allah
jualah kesudahan segala urusan".
2.
Seseorang pemimpin yang
memiliki ‘al-Quwwah' yakni kekuatan dari semua sudut
samada fizikal, spiritual dan mental. Dalam al-Qur'an telah dijelaskan kisah
dua anak perempuan Nabi Syu'aib meminta kepadanya agar memilih pekerja
mengembala kambing daripada kalangan yang kuat bekerja dan amanah, inikan lagi
soal memilih pemimpin yang sudah tentu skop menanggung kerjanya yang lebih luas
dan amanahnya sangat besar memerlukan kekuatan semua sudut dan bidang.
Firman Allah SWT dalam Surah al-Qasas ayat 26:
قَالَتْ إِحْدَاهُمَا يَا أَبَتِ
اسْتَأْجِرْهُ ۖ إِنَّ خَيْرَ مَنِ اسْتَأْجَرْتَ الْقَوِيُّ الْأَمِينُ
"Salah seorang antara perempuan yang berdua itu
berkata: "Wahai ayah, ambillah dia menjadi orang upahan (kita),
sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat,
lagi amanah".
3.
Seseorang pemimpin
yang memiliki sifat taqwa,
kerana ciri-ciri inilah yang menjamin seseorang pemimpin itu berintegrit dan
takutkan Allah SWT dalam melaksanakan tugas-tugasnya.
Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat103:
وَلَوْ أَنَّهُمْ آمَنُوا
وَاتَّقَوْا لَمَثُوبَةٌ مِنْ عِنْدِ اللَّهِ خَيْرٌ ۖ لَوْ كَانُوا يَعْلَمُونَ
"Dan seandainya mereka itu tetap beriman dan
bertaqwa nescaya mereka akan mendapat pahala); sesungguhnya pahala dari sisi
Allah itu adalah lebih baik, seandainya mereka mengetahuinya".
4.
Seseorang pemimpin
itu mestilah beramanah,
adil dan tidak melakukan kezaliman
atau diskriminasi kepada mereka yang di bawah pimpinannya.
Sifat-sifat ini mesti dimiliki oleh mana-mana pemimpin dan menjadikan ia
sebagai prinsip asas pentadbiran untuk menjamin kepimpinannya yang dihormati,
disegani dan disayangi.
Firman Allah dalam Surah An-Nisa' ayat 58:
إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ
تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُمْ بَيْنَ النَّاسِ
أَنْ تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ ۚ إِنَّ اللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُمْ بِهِ ۗ إِنَّ
اللَّهَ كَانَ سَمِيعًا بَصِيرًا
"Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya
menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya).
Apabila kamu menjalankan hukum antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum
dengan adil...".
5.
Seseorang pemimpin
itu mestilah bertanggungjawab
dan tidak sombong
kepada mereka yang di bawah pimpinannya. Sikap
bertanggungjawab dan peka dalam semua perkara ditunaikan kepada orang
bawahannya dengan penuh kasih sayang dan kemesraan tanpa ada pemisah atau jurang kesombongan.
Firman Allah SWT dalam Surah at-Taubah 128:
لَقَدْ جَاءَكُمْ رَسُولٌ مِنْ
أَنْفُسِكُمْ عَزِيزٌ عَلَيْهِ مَا عَنِتُّمْ حَرِيصٌ عَلَيْكُمْ بِالْمُؤْمِنِينَ
رَءُوفٌ رَحِيمٌ
"Sesungguhnya
telah datang kepada kamu seorang Rasul daripada golongan kamu sendiri (iaitu
Nabi MuhammadS.A.W), yang mengambil berat atas sebarang kesusahan yang menimpa
kamu, yang sangat menginginkan kebaikan bagi kamu, amat belas kasihan lagi
penyayang terhadap orang yang beriman".
6.
Seseorang pemimpin
itu hendaklah tegas
dan berpegang
teguh kepada prinsip dalam melaksanakan amanah termasuklah
mengambil tindakan sewajarnya dalam hal-hal berkaitan penguatkuasaan
undang-undang terhadap pihak yang bersalah, sekalipun melibatkan ahli keluarga,
kawan mahupun lawan.
Hadis daripada Aisyah RA bahawa Rasulullah S.A.W
bersabda:
"Sekiranya Fatimah binti Muhammad mencuri
nescaya aku akan memotong
tangannya".
(Riwayat al-Bukhari)
7.
Seseorang pemimpin
itu hendaklah berakhlak,
baik budi pekertinya
dan menjadi
teladan yang baik dalam
semua tindak tanduknya.
Hadis daripada Abu Hurairah R.A bahawa Nabi S.A.W
bersabda:
"Orang-orang mukmin yang paling sempurna
imannya adalah mereka yang paling baik
akhlaknya".
(Riwayat at-Tirmidzi)
8.
Seseorang pemimpin itu
hendaklah menunaikan
janji-janjinya kepada orang bawahannya.
Pemimpin yang mengotakan janji adalah pemimpin yang disenangi dan dipercayai
oleh orang bawahannya, bukan berdusta dan menghampakan orang bawahannya.
Sabda Nabi S.A.W:
"Sesiapa yang diamanahkan oleh Allah untuk
memimpin rakyat, lalu dia mati. Pada hari dia mati dalam keadaan dia menipu
rakyatnya, maka Allah telah mengharamkan syurga untuknya".
(Riwayat Bukhari dan Muslim)
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Jelaslah
kepada kita bahawa dalam soal kepimpinan yang baik tidak boleh dilakukan secara
tangkap muat. Sehubungan dengan itu Imam al-Qurtubi menjelaskan dalam kitab
‘Al-Jamik li
Ahkamil Quran' bahawa, "Bagi umat Islam dalam memilih pemimpin mestilah dari
golongan yang adil, ihsan dan mulia. Adapun yang fasiq dan zalim mereka tidak
layak menjadi pemimpin".
Hadis daripada Huzaifah R.A bahawa Rasulullah S.A.W
bersabda yang bermaksud:
"Bahawasanya akan
wujud (akan datang) para pemerintah yang berbohong dan berlaku zalim.
Barangsiapa yang membenarkan pembohongan mereka dan membantu atas kezaliman
mereka, maka (mereka) bukan daripada (golongan) kami dan aku bukan daripada
(golongan) mereka, dan dia tidak akan menemuiku di haudh (telaga kauthar di
akhirat kelak). (Sebaliknya) sesiapa yang tidak membenarkan
pembohongan mereka dan tidak membantu atas kezaliman mereka, maka dia daripada
(golongan) ku dan aku daripada (golongan) nya dan dia akan menemuiku di
haudh".
(Riwayat Imam Ahmad)
(Riwayat Imam Ahmad)
Pengajaran
daripada khutbah hari ini adalah, marilah kita menjadi pemimpin yang takutkan Allah
melebihi daripada segala-galanya. Kerana hanya pemimpin yang benar-benar takutkan
Allah sajalah yang mampu menjalankan tanggungjawabnya sebagai pemimpin dengan
jujur, amanah dan adil.
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا
تَتَّخِذُوا الَّذِينَ اتَّخَذُوا دِينَكُمْ هُزُوًا وَلَعِبًا مِنَ الَّذِينَ أُوتُوا
الْكِتَابَ مِنْ قَبْلِكُمْ وَالْكُفَّارَ أَوْلِيَاءَ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنْ كُنْتُمْ
مُؤْمِنِينَ
"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu
mengambil orang yang menjadikan agama kamu sebagai ejekan-ejekan dan permainan
di kalangan orang yang telah diberikan Kitab sebelum kamu dan orang kafir
musyrik itu sebagai pemimpin dan bertaqwalah kepada Allah, jika kamu benar-benar
orang yang beriman".
(Al-Maidah : 57)
sumber: Jabatan Agama
ISLAM Negeri Selangor(JAIS)...
kenapa ambil sumber dr JAIS???kerana khutbah diselangor telah diselaraskan untuk masjid2 di seluruh negeri selngor...... insyaallah ...semoga bermanfaat....
kenapa ambil sumber dr JAIS???kerana khutbah diselangor telah diselaraskan untuk masjid2 di seluruh negeri selngor...... insyaallah ...semoga bermanfaat....
terimakasih...
ReplyDeleteharap boleh saya share..=)