Saturday, September 1, 2012

Tajuk Khutbah:"Kemerdekaan Menurut Perspektif Islam".(31/08/2012)Bersamaan 13 Syawal 1433H

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Saya menyeru agar kita bersama-sama meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintahnya dan meninggalkan segala larangannya. Marilah kita memperbanyakkan zikir kepada Allah SWT dan memperbanyakkan selawat serta salam keatas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. di samping sentiasa berusaha melaksanakan segala sunnahnya. Mudah-mudahan ianya akan memberikan manfaat kepada kita di dunia dan di akhirat.

Tajuk khutbah kita pada kali ini adalah "Kemerdekaan Menurut Perspektif Islam".

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Kemerdekaan adalah merupakan suatu nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada umat manusia di atas muka bumi-Nya ini. Namun begitu, nikmat kemerdekaan ini bukanlah dapat dirasai sepenuhnya oleh semua golongan manusia. Justeru kita dapat melihat bagaimana sesetengah negara dijajah oleh kuasa asing seperti mana yang berlaku di negara Palestin. Kita juga dapat melihat bagaimana sesetengah kelompok manusia dihalau dan diusir daripada tanahair mereka sendiri seperti mana yang berlaku kepada umat Islam Rohingya. Bahkan kita juga dapat melihat bagaimana sesetengah manusia pada hari ini dijadikan sebagai hamba dan diperdagangkan oleh orang lain demi mengaut keuntungan duniawi. Kesemua perkara ini menzahirkan tentang sesetengah umat manusia yang tidak dapat merasai nikmat kemerdekaan seperti mana yang kita semua rasai di tanahair tercinta ini.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Kemerdekaan sebagaimana yang selalu difahami oleh masyarakat kita adalah kebebasan daripada penjajahan kuasa asing. Kerana itulah kita dapati saban tahun seluruh rakyat di negara ini meraikan sambutan hari kemerdekaan setiap kali menjelangnya tarikh 31 Ogos. Persoalannya adakah memadai sekadar itu kemerdekaan yang dimaksudkan di dalam Islam? Jelasnya, Islam sebagai agama yang berasaskan ketauhidan, telah datang untuk membebaskan manusia daripada perhambaan kepada sesama makhluk kepada perhambaan hanya kepada Allah SWT. Justeru, kemerdekaan yang hakiki adalah apabila manusia hanya mengikut petunjuk dan menyerahkan jiwa sepenuhnya kepada Allah SWT.

Firman Allah SWT dalam surah Yusuf ayat 108 :

قُلْ هَٰذِهِ سَبِيلِي أَدْعُو إِلَى اللَّهِ ۚ عَلَىٰ بَصِيرَةٍ أَنَا وَمَنِ اتَّبَعَنِي ۖ وَسُبْحَانَ اللَّهِ وَمَا أَنَا مِنَ الْمُشْرِكِينَ

"Katakanlah (wahai Muhammad), "Inilah jalanku, aku dan orang yang megikutku menyeru (manusia umumnya) kepada agama Allah dengan keterangan yang nyata. Maha Suci Allah (daripada sebarang sekutu) dan aku bukanlah daripada golongan yang musyrik (yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain)".

Ayat di atas menjelaskan bahawa manusia hanya akan selamat apabila mereka memperolehi hidayah dan petunjuk daripada Allah SWT dan Rasul yang diutuskan-Nya. Sebaliknya bagi mereka yang menjauhkan diri daripada petunjuk Allah SWT, maka hidup mereka akan sentiasa lalai dan memusnahkan diri mereka sendiri.

Hadis daripada Ibnu Umar RA bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Aku telah diperintahkan untuk memerangi manusia sehingga mereka bersaksi bahawa tiada tuhan selain Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah, mereka mendirikan solat dan menunaikan zakat. Apabila mereka melaksanakannya maka darah dan harta mereka terpelihara melainkan dengan hak Islam dan perhitungan mereka adalah di sisi Allah SWT". (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Islam tidak pernah menghalang kebebasan manusia, sebaliknya kebebasan itu mestilah digunakan sebaiknya untuk mencari keredaan Allah SWT. Oleh kerana itu, orang-orang yang cuba membebaskan diri daripada tuntutan-tuntutan Islam, pada hakikatnya bukanlah mereka itu mendapat kemerdekaan, sebaliknya merekalah golongan yang sentiasa diperangi oleh Allah SWT dan juga Rasul-Nya.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Persoalan kemerdekaan pada hari ini bukan sahaja mengenai pembebasan dari penjajahan kuasa asing, tetapi yang lebih utama adalah persoalan mengenai kemerdekaan minda dan pemikiran, khasnya pemikiran umat Islam itu sendiri. Ini kerana, setelah 55 tahun kemerdekaan negara ini dikecapi, masih terdapat di kalangan masyarakat kita yang rosak akhlaknya, masih ramai masyarakat kita yang mengagungkan budaya hidup songsang, bahkan sebahagian umat Islam pada hari ini di pelbagai lapisan dan peringkat masih lagi dijajah minda dan pemikiran mereka yang dipelopori oleh golongan Yahudi dan Nasrani.

Maka benarlah firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah ayat 120 :

وَلَنْ تَرْضَىٰ عَنْكَ الْيَهُودُ وَلَا النَّصَارَىٰ حَتَّىٰ تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمْ ۗ قُلْ إِنَّ هُدَى اللَّهِ هُوَ الْهُدَىٰ ۗ وَلَئِنِ اتَّبَعْتَ أَهْوَاءَهُمْ بَعْدَ الَّذِي جَاءَكَ مِنَ الْعِلْمِ ۙ مَا لَكَ مِنَ اللَّهِ مِنْ وَلِيٍّ وَلَا نَصِيرٍ

"Orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepada engkau (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut millah (agama) mereka (yang telah terpesong itu)...".

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Kemerdekaan yang sebenarnya bagi setiap individu Muslim pada hari ini adalah apabila mereka dapat membebaskan diri dari cengkaman hawa nafsu yang merosakkan kehidupan di dunia dan juga di akhirat. Selagi mana pemikiran kita masih terarah untuk melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah SWT, bermakna kita belum lagi mencapai kemerdekaan yang sebenar-benarnya.

Erti kemerdekaan di dalam pemikiran yang songsang adalah dengan membebaskan diri mereka sebebas-bebasnya dari sebarang bentuk ikatan undang-undang dan keagamaan. Mereka ingin bebas melakukan zina, bebas minum arak, bebas berjudi, lumba haram, rempit dan sebagainya. Bagi mereka, undang-undang dan agama hanyalah menjadi alat oleh pihak-pihak tertentu untuk mengikat kebebasan mereka. Akibat pemikiran yang masih dikuasai oleh nafsu inilah yang menjadikan sesetengah anggota masyarakat pada hari ini kehilangan pedoman dan panduan hidup.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Kemerdekaan hakiki bagi masyarakat Islam pula adalah apabila mereka dapat membebaskan diri daripada pemikiran-pemikiran negatif dan songsang yang telah disebarkan melalui pelbagai media. Akhirnya kita dapati ramai umat Islam pada hari ini memandang Islam sebagai agama yang kolot dan ketinggalan zaman. Mereka menganggap Islam hanya di masjid dan surau. Mereka menganggap Islam tidak mampu menyelesaikan masalah sosial yang berlaku, Islam sebagai agama yang tidak membawa kemajuan kepada umatnya, bahkan mereka juga menganggap Islam sebagai agama yang jumud dan ekstremis. Kesemua tohmahan ini dilontarkan oleh pemikiran dan pemahaman yang lahir hasil dari didikan penjajah sejak berkurun lamanya. Ia tidak lain dan tidak bukan hanyalah bertujuan untuk merosakkan kehidupan masyarakat Islam.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Seterusnya, di dalam konteks sebuah negara yang merdeka, Islam telah menetapkan bahawa syariat Islam adalah merupakan peraturan dan perundangan tertinggi yang mesti diguna pakai di dalam negara yang ditadbir oleh umat Islam. Para pemimpin pula adalah golongan yang diberikan amanah untuk mendaulatkan agama Islam dan memurnikannya dari sebarang bentuk pengaruh asing.

Firman Allah SWT dalam surah Al-Haj ayat 41,

الَّذِينَ إِنْ مَكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ أَقَامُوا الصَّلَاةَ وَآتَوُا الزَّكَاةَ وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا عَنِ الْمُنْكَرِ ۗ وَلِلَّهِ عَاقِبَةُ الْأُمُورِ

"Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan solat serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang daripada melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan".

Pemimpin yang berjiwa merdeka seharusnya membebaskan minda mereka daripada mentaliti yang hanya mengutamakan kepentingan diri sendiri. Sebaliknya keperluan rakyat mestilah diutamakan kerana ia adalah tanggungjawab bagi setiap pemimpin. Sebagai contoh, Saidina Umar al-Khattab merupakan seorang pemimpin yang amat mengambil berat hal kebajikan rakyatnya. Pernah pada suatu malam, ketika mana beliau meronda di sekitar kota, beliau telah terdengar suara tangisan anak-anak kecil. Apabila diselidiki, beliau mendapati anak-anak tersebut menangis kerana kelaparan. Lalu beliau mengambil sendiri gandum di baitul mal dan memasakkan serta menghidangkannya kepada keluarga dhaif tersebut. Inilah contoh pemimpin yang mengutamakan kebajikan rakyat berbanding kepentingan dirinya sendiri.

Seharusnya para pemimpin yang ada pada hari ini juga mempunyai ciri-ciri yang telah ditunjukkan oleh Khalifah Umar al-Khattab. Mereka bukan hanya pandai menjanjikan sesuatu kebaikan kepada rakyatnya sahaja, tetapi apa yang lebih penting ialah menepati segala janji yang telah diberikan.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Sempena menyambut kemerdekaan pada tahun ini, maka tindakan yang perlu kita laksanakan adalah;

Pertama : Marilah kita sama-sama berusaha memerdekakan sepenuhnya minda dan pemikiran kita daripada terus dijajah oleh pemikiran dan pemahaman yang tidak berlandaskan syariat Allah SWT.

Kedua : Marilah kita beramal dengan ajaran Islam yang sebenar.

Ketiga : Berusaha membangunkan sosioekonomi sehingga kita dapat meningkatkan kualiti hidup umat Islam dalam negara ini.

Keempat : Berusaha untuk meningkatkan ilmu dan kemahiran supaya kita dapat menghindari pemikiran yang sesat dan songsang.

اتَّبِعُوا مَا أُنْزِلَ إِلَيْكُمْ مِنْ رَبِّكُمْ وَلَا تَتَّبِعُوا مِنْ دُونِهِ أَوْلِيَاءَ ۗ قَلِيلًا مَا تَذَكَّرُونَ

(Katakanlah kepada mereka wahai Muhammad): "Turutilah apa yang telah diturunkan kepada kamu daripada Tuhan kamu, dan janganlah kamu menuruti pemimpin-pemimpin selain-Nya. (Tetapi sayang) amatlah sedikit di kalangan kamu mengambil peringatan". (Al-A'raf: 3)

KHUTBAH KEDUA

Ya Allah, Engkaulah Tuhan yang Maha berkuasa, kami bersyukur kehadrat-Mu yang telah mengurniakan kami rahmat dan nikmat, sehingga kami dapat meneruskan usaha ke arah memperkukuhkan negara umat Islam khususnya negeri Selangor, sebagai negeri yang maju, sejahtera dan berkebajikan.

Justeru kami pohon kehadrat-Mu ya Allah, tetapkanlah iman kami, tingkatkanlah amal kami, kukuhkanlah perpaduan kami, murahkanlah rezeki kami, kayakanlah kami dengan ilmu yang bermanfaat, suburkanlah jiwa kami dengan budi pekerti yang mulia, kembalikanlah kami ke jalan yang Engkau redhai, lindungilah kami daripada ujian-Mu yang berat seperti kemarau panjang, banjir besar, wabak penyakit, persengketaan, kemiskinan dan lain-lain, supaya dengan demikian, negeri kami akan sentiasa bertambah makmur dan berkat.

Engkau bukakanlah hati umat Islam, khususnya di Negeri Selangor untuk melaksanakan ibadah zakat sebagaimana yang telah Engkau fardhukan di dalam Al-Quran. Berkatilah hidup orang-orang yang melaksanakan tuntutan berzakat, menyayangi fakir dan miskin, sucikanlah harta dan jiwa mereka agar mereka hidup dalam keredhaan-Mu. Kau lindungilah golongan fuqara' dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Khutbah Jumaat Bacaan 31 Ogos 2012


sumber: http://www.jais.gov.my/index.php? option=com_content&task=view&id=1215&Itemid=70

No comments:

Post a Comment

sahabat masjid imam as-syafie sesi 2013/2014

sahabat masjid imam as-syafie sesi 2013/2014

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...