Saturday, December 22, 2012

Tajuk Khutbah:"Ciri-ciri Pemimpin Yang Baik".(21/12/2012)Bersamaan 7 Safar 1434H




Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah, 

Marilah kita bersyukur dengan nikmat Islam dan Iman yang telah kita kecapi selama ini dengan berusaha menambahkan ilmu dan amal serta ketaqwaan kita  kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Marilah kita memperbanyakkan zikir kepada Allah SWT dan memperbanyakkan selawat ke atas Rasulullah s.a.w serta berusaha melaksanakan segala sunnahnya, mudah-mudahan ianya akan memberikan manfaat kepada kita di dunia dan di akhirat.
Tajuk khutbah kita pada kali ini adalah


"Ciri-ciri Pemimpin Yang Baik".


Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Dalam Islam, menentukan dan memilih pemimpin adalah suatu perkara yang sangat penting dan wajib. Ini dibuktikan dalam sejarah Islam apabila wafatnya junjungan besar Nabi kita Muhammad S.A.W, maka seorang khalifah terus dilantik menjadi pemimpin bagi mengantikan baginda sebelum pemakaman baginda S.A.W dilangsungkan. Ijma' sahabat sepakat bahwa haram hukumnya kaum muslimin hidup tanpa adanya seorang khalifah atau pemimpin lebih dari tiga hari tiga malam.

Sabda Nabi S.A.W:

"Apabila keluar tiga orang dalam bermusafir maka hendaklah dilantik seorang ketua".                                                                                                                  (Riwayat Abu Daud)

Ini bermakna kepentingan melantik pemimpin untuk mengantikan kepimpinan yang telah berlalu untuk mengurus hal ehwal Islam dan melaksanakan kemaslahatannya adalah wajib. Atas sebab inilah Islam begitu memandang berat soal memilih pemimpin dalam semua peringkat kehidupan.
Persoalannya, bagaimanakah kita hendak menjadi pemimpin yang baik? Kita harus sedar bahawa pemimpin yang baik akan memberikan kesan yang amat besar terhadap masa depan agama, bangsa dan negara.

Kita juga hendaklah memahami bahawa soal kepimpinan mempunyai kaitan yang amat besar dengan dosa dan pahala dan ia adalah sebahagian tindakan atau perbuatan yang tidak terlepas dari penghakiman Allah terhadap kita pada hari kiamat kelak.

Firman Allah dalam Surah al-Muddathir ayat 38:

كُلُّ نَفْسٍ بِمَا كَسَبَتْ رَهِينَةٌ
"Setiap diri terikat (bertanggungjawab) dengan apa yang telah dikerjakannya".
Sebagai pemimpin, kita hendaklah melaksanakan tugas secara berhati-hati dan tiada berkepentingan peribadi dan sebagainya. Jika kita gagal melaksanakan tugas dengan adil dan mengutamakan kebajikan untuk rakyat maka sudah tentulah amat bersalah dan akan diazab oleh Allah di akhirat kelak.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Qasas ayat 41:

وَجَعَلْنَاهُمْ أَئِمَّةً يَدْعُونَ إِلَى النَّارِ ۖ وَيَوْمَ الْقِيَامَةِ لَا يُنْصَرُونَ
"Dan Kami jadikan mereka pemimpin-pemimpin yang menyeru (manusia) ke neraka dan pada hari Kiamat pula mereka tidak mendapat sebarang pertolongan". 


Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah, 

Islam telah menjelaskan kepada kita bagaimana untuk menjadi pemimpin yang baik. Berikut adalah antara ciri-ciri utama sebagai seorang pemimpin yang baik 


1.      Seorang pemimpin yang berupaya untuk menjaga agama dan menegakkan syariat Allah di atas muka bumi, sebaliknya bukan menjadikan agama sebagai ‘istihza' atau dipermainkan. Justeru amanah sebagai pemimpin sebenarnya adalah ganti diri Rasulullah S.A.W ‘niabatan ‘anin nabi saw' untuk memelihara, menjaga dan melaksana syariat Allah SWT.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Haj ayat 41:

الَّذِينَ إِنْ مَكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ أَقَامُوا الصَّلَاةَ وَآتَوُا الزَّكَاةَ وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا عَنِ الْمُنْكَرِ ۗ وَلِلَّهِ عَاقِبَةُ الْأُمُورِ
"Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan solat serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang daripada melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. (Ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan".


2.      Seseorang pemimpin yang memiliki ‘al-Quwwah' yakni kekuatan dari semua sudut samada fizikal, spiritual dan mental. Dalam al-Qur'an telah dijelaskan kisah dua anak perempuan Nabi Syu'aib meminta kepadanya agar memilih pekerja mengembala kambing daripada kalangan yang kuat bekerja dan amanah, inikan lagi soal memilih pemimpin yang sudah tentu skop menanggung kerjanya yang lebih luas dan amanahnya sangat besar memerlukan kekuatan semua sudut dan bidang.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Qasas ayat 26: 

قَالَتْ إِحْدَاهُمَا يَا أَبَتِ اسْتَأْجِرْهُ ۖ إِنَّ خَيْرَ مَنِ اسْتَأْجَرْتَ الْقَوِيُّ الْأَمِينُ
"Salah seorang antara perempuan yang berdua itu berkata: "Wahai ayah, ambillah dia menjadi orang upahan (kita), sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat, lagi amanah".


3.      Seseorang pemimpin yang memiliki sifat taqwa, kerana ciri-ciri inilah yang menjamin seseorang pemimpin itu berintegrit dan takutkan Allah SWT dalam melaksanakan tugas-tugasnya.

Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat103:

وَلَوْ أَنَّهُمْ آمَنُوا وَاتَّقَوْا لَمَثُوبَةٌ مِنْ عِنْدِ اللَّهِ خَيْرٌ ۖ لَوْ كَانُوا يَعْلَمُونَ
"Dan seandainya mereka itu tetap beriman dan bertaqwa nescaya mereka akan mendapat pahala); sesungguhnya pahala dari sisi Allah itu adalah lebih baik, seandainya mereka mengetahuinya". 


4.      Seseorang pemimpin itu mestilah beramanah, adil dan tidak melakukan kezaliman atau diskriminasi kepada mereka yang di bawah pimpinannya. Sifat-sifat ini mesti dimiliki oleh mana-mana pemimpin dan menjadikan ia sebagai prinsip asas pentadbiran untuk menjamin kepimpinannya yang dihormati, disegani dan disayangi.

Firman Allah dalam Surah An-Nisa' ayat 58:

إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُمْ بَيْنَ النَّاسِ أَنْ تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ ۚ إِنَّ اللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُمْ بِهِ ۗ إِنَّ اللَّهَ كَانَ سَمِيعًا بَصِيرًا
"Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya). Apabila kamu menjalankan hukum antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil...". 


5.      Seseorang pemimpin itu mestilah bertanggungjawab dan tidak sombong kepada mereka yang di bawah pimpinannya. Sikap bertanggungjawab dan peka dalam semua perkara ditunaikan kepada orang bawahannya dengan penuh kasih sayang dan kemesraan tanpa ada pemisah atau jurang kesombongan.

Firman Allah SWT dalam Surah at-Taubah 128:

لَقَدْ جَاءَكُمْ رَسُولٌ مِنْ أَنْفُسِكُمْ عَزِيزٌ عَلَيْهِ مَا عَنِتُّمْ حَرِيصٌ عَلَيْكُمْ بِالْمُؤْمِنِينَ رَءُوفٌ رَحِيمٌ
"Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul daripada golongan kamu sendiri (iaitu Nabi MuhammadS.A.W), yang mengambil berat atas sebarang kesusahan yang menimpa kamu, yang sangat menginginkan kebaikan bagi kamu, amat belas kasihan lagi penyayang terhadap orang yang beriman".


6.      Seseorang pemimpin itu hendaklah  tegas dan berpegang teguh kepada prinsip dalam melaksanakan amanah termasuklah mengambil tindakan sewajarnya dalam hal-hal berkaitan penguatkuasaan undang-undang terhadap pihak yang bersalah, sekalipun melibatkan ahli keluarga, kawan mahupun lawan.

Hadis daripada Aisyah RA bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

"Sekiranya Fatimah binti Muhammad mencuri nescaya aku akan memotong tangannya".                                                                                                                                            (Riwayat al-Bukhari)


7.      Seseorang pemimpin itu hendaklah berakhlak, baik budi pekertinya dan menjadi teladan yang baik dalam semua tindak tanduknya. 
Hadis daripada Abu Hurairah R.A bahawa Nabi S.A.W bersabda:
"Orang-orang mukmin yang paling sempurna imannya adalah mereka yang paling baik akhlaknya".                        
             
                                                                                                    (Riwayat at-Tirmidzi)
8.      Seseorang pemimpin itu hendaklah menunaikan janji-janjinya kepada orang bawahannya. Pemimpin yang mengotakan janji adalah pemimpin yang disenangi dan dipercayai oleh orang bawahannya, bukan berdusta dan menghampakan orang bawahannya.

Sabda Nabi S.A.W:

"Sesiapa yang diamanahkan oleh Allah untuk memimpin rakyat, lalu dia mati. Pada hari dia mati dalam keadaan dia menipu rakyatnya, maka Allah telah mengharamkan syurga untuknya".
                                                                                                       (Riwayat Bukhari dan Muslim) 


Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Jelaslah kepada kita bahawa dalam soal kepimpinan yang baik tidak boleh dilakukan secara tangkap muat. Sehubungan dengan itu Imam al-Qurtubi menjelaskan dalam kitab ‘Al-Jamik li Ahkamil Quran' bahawa,  "Bagi umat Islam dalam memilih pemimpin mestilah dari golongan yang adil, ihsan dan mulia. Adapun yang fasiq dan zalim mereka tidak layak menjadi pemimpin".

Hadis daripada Huzaifah R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:

 "Bahawasanya akan wujud (akan datang) para pemerintah yang berbohong dan berlaku zalim. Barangsiapa yang membenarkan pembohongan mereka dan membantu atas kezaliman mereka, maka (mereka) bukan daripada (golongan) kami dan aku bukan daripada (golongan) mereka, dan dia tidak akan menemuiku di haudh (telaga kauthar di akhirat kelak). (Sebaliknya) sesiapa yang tidak membenarkan pembohongan mereka dan tidak membantu atas kezaliman mereka, maka dia daripada (golongan) ku dan aku daripada (golongan) nya dan dia akan menemuiku di haudh".                                               
                                                                                                             (Riwayat Imam Ahmad)
Pengajaran daripada khutbah hari ini adalah, marilah kita menjadi pemimpin yang takutkan Allah melebihi daripada segala-galanya. Kerana hanya pemimpin yang benar-benar takutkan Allah sajalah yang mampu menjalankan tanggungjawabnya sebagai pemimpin dengan jujur, amanah dan adil.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَتَّخِذُوا الَّذِينَ اتَّخَذُوا دِينَكُمْ هُزُوًا وَلَعِبًا مِنَ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ مِنْ قَبْلِكُمْ وَالْكُفَّارَ أَوْلِيَاءَ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنْ كُنْتُمْ مُؤْمِنِينَ
"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang yang menjadikan agama kamu sebagai ejekan-ejekan dan permainan di kalangan orang yang telah diberikan Kitab sebelum kamu dan orang kafir musyrik itu sebagai pemimpin dan bertaqwalah kepada Allah, jika kamu benar-benar orang yang beriman".
                                                                                                                        (Al-Maidah : 57)

sumber: Jabatan Agama ISLAM Negeri Selangor(JAIS)...

kenapa ambil sumber dr JAIS???kerana khutbah diselangor telah diselaraskan untuk masjid2 di seluruh negeri selngor...... insyaallah ...semoga bermanfaat....

Friday, December 21, 2012

tautan ukhwah dalam persahabatan

assalamualaikum dan ahlan wassalam.saya mengambil intipati berkenaan sahabat dari satu blog ini.bagaimana persahabatan itu boleh memupuk kita menjadi insan yang lebih baik dan membawa kita dalam berjuang menegakkan agama Allah yang satu.oleh itu dalam memilih sahabat sangat penting,sahabat juga sangat penting.luahan itu sangat menarik dan membuatkan saya untuk berkongsi perkara ini.selamat membaca n selamat beramal.
Bermula dari hadis nabi ada menyebut bahawa

“Sebaik baik sahabat di sisi Allah ialah orang yang terbaik terhadap temannya dan sebaik baik jiran di sisi Allah ialah orang yang terbaik terhadap jirannya.” (Hadis riwayat al-Hakim)

Dari Nu’man bin Basyir r.a., Rasulullah SAW bersabda,

“Perumpamaan persaudaraan kaum muslimin dalam cinta dan kasih sayang di antara mereka adalah seumpama satu tubuh. Apabila satu anggota tubuh sakit maka mengakibatkan seluruh tubuh menjadi demam dan tidak bisa tidur.” (Hadis riwayat Muslim)

“Seorang Muslim adalah saudara muslim lainnya, ia tidak menzaliminya, merendahkannya, menyerahkan (kepada musuh) dan tidak menghinakannya.” (Hadis riwayat Muslim)

“Teman yang paling baik adalah apabila kamu melihat wajahnya, kamu teringat akan Allah, mendengar kata-katanya menambahkan ilmu agama, melihat gerak-gerinya teringat mati.”

Banyak sekali hadis tentang kawan/sahabat ini. Ada pula pepatah Melayu mengatakan, Berkawan biar seribu, berkasih biar satu.” Saya lebih selesa dengan berkawan biar berpada jumlahnya, lihat kualiti, bukan kuantiti. Berkasih jangan cuma satu sahaja, kalau mampu, biar ramai. Kasihkan Allah, Rasul-Nya, pasangan (suami/isteri) , anak-anak, keluarga, kaum kerabat, jiran dan juga kawan atau sahabat. Baru betul!^__^

Allah SWT menciptakan makhluk di atas muka bumi ini berpasang-pasangan. Begitu juga manusia, tidak akan hidup bersendirian. Kita tidak boleh lari dari berkawan dan menjadi kawan kepada seseorang. Jika ada manusia yang tidak suka berkawan atau melarang orang lain daripada berkawan, dia dianggap ganjil dan tidak memenuhi ciri-ciri sebagai seorang manusia yang normal.

Inilah antara hikmah, kenapa Allah SWT mencipta manusia daripada berbagai bangsa, warna kulit dan bahasa. Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal (dan beramah mesra antara satu sama lain). Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.” (surah al-Hujurat [049] ayat 13)

Dalam Islam, faktor memilih kawan amat dititik-beratkan. Hubungan persahabatan adalah hubungan yang sangat mulia, kerana kawan atau sahabat berperanan dalam membentuk personaliti individu. Ada kawan yang sanggup bersusah-payah dan berkongsi duka bersama kita, dan tidak kurang juga kawan yang nampak muka semasa senang dan hanya sanggup berkongsi kegembiraan sahaja.


Terdapat ayat yang mengisyaratkan mengenai peranan dan pengaruh kawan, antaranya firman-Nya yang bermaksud:

“Wahai orang yang beriman! Bertakwalah dan hendaklah kamu bersama-sama orang yang bersifat benar.” (Surah at-Taubah, ayat 119)

Pendek kata sahabat boleh menentukan corak hidup kita. Justeru, jika salah pilih sahabat kita akan merana dan menerima padahnya. Selari dengan hadis Rasululah SAW yang bermaksud:

“Seseorang itu adalah mengikut agama temannya, oleh itu hendaklah seseorang itu meneliti siapa yang menjadi temannya.” (Hadis riwayat Abu Daud).

Hadis al-Bukhari dari Abu Musa al-Asy'ari, bermaksud:

“Diumpamakan rakan yang soleh dan rakan yang jahat ialah seperti (berkawan) dengan penjual minyak wangi dan tukang besi. Penjual minyak wangi tidak akan mensia-siakan anda, sama ada anda membelinya atau hanya mendapat bau harumannya. Tukang besi pula boleh menyebabkan rumah anda atau baju anda terbakar, atau mendapat bau busuk.”

Apakah ciri-ciri seorang sahabat yang baik? Nasihat yang boleh diikuti dalam membina persahabatan ialah sebagaimana pesanan al-Qamah (seorang sahabat Rasulullah SAW) kepada anaknya:

“Wahai anakku, sekiranya engkau berasa perlu untuk bersahabat dengan seseorang, maka hendaklah engkau memilih orang yang sifatnya seperti berikut:

1 - Pilihlah sahabat yang suka melindungi sahabatnya, dia adalah hiasan diri kita dan jika kita dalam kekurangan nafkah, dia suka mencukupi keperluan.

2 – Pilihlah seorang sahabat yang apabila engkau menghulurkan tangan untuk memberikan jasa baik atau bantuanmu, dia suka menerima dengan rasa terharu, jikalau ia melihat kebaikan yang ada pada dirimu, dia suka menghitung-hitungka n (menyebutnya) .

3 – Pilihlah seorang sahabat yang apabila engkau menghulurkan tangan untuk memberikan jasa baik atau bantuanmu, ia suka menerima dengan rasa terharu dan dianggap sangat berguna, dan jika ia mengetahui mengenai keburukkan dirimu ia suka menutupinya.

4 – Pilihlah sahabat yang jikalau engkau meminta sesuatu daripadanya, pasti ia memberi, jikalau engkau diam, dia mula menyapamu dulu dan jika ada sesuatu kesukaran dan kesedihan yang menimpa dirimu, dia suka membantu dan meringankanmu serta menghiburkanmu.

5 – Pilihlah sahabat yang jikalau engkau berkata, ia suka membenarkan ucapan dan bukan selalu mempercayainya saja. Jikalau engkau mengemukakan sesuatu persoalan yang berat dia suka mengusahakannya dan jika engkau berselisih dengannya, dia suka mengalah untuk kepentinganmu.

Dalam memilih sahabat hendaklah memilih sahabat yang baik agar segala matlamat dan hasrat untuk memperjuangkan Islam dapat dilaksanakan bersama-sama sahabat yang mulia.


Sebagai remaja yang terlepas daripada pandangan ayah ibu berhati-hatilah jika memilih kawan. Kerana kawan, kita bahagia tetapi kawan juga boleh menjahanamkan kita. Setelah kita dewasa, kita juga perlu berhati-hati memilih kawan kerana kita tidak mahu kawan-kawan yang melalaikan kita kepada Maha Pencipta. Kawan yang baik membantu kita ke arah pencapaian matlamat, iaitu kebahagiaan di dunia dan juga di akhirat. Kawan yang tidak baik hanya membantutkan usaha kita ke arah itu.

Dalam kitab al-Hikam ada menyebut, “Jangan berkawan dengan seseorang yang tidak membangkitkan semangat taat kepada Allah, amal kelakuannya dan tidak memimpin engkau ke jalan Allah.” Dalam satu hadis yang bermaksud, “Seseorang akan mengikuti pendirian (kelakuan) temannya, kerana itu tiap orang harus memilih siapakah yang harus didekati sebagai kawan (teman).”

Sufyan Astsaury berkata, “Siapa yang bergaul dengan orang banyak harus mengikuti mereka, dan siapa mengikuti mereka harus bermuka-muka pada mereka, dan siapa yang bermuka-muka kepada mereka, maka binasalah seperti mereka pula.”

Hati-hatilah atau tinggalkan sahaja sahabat seperti di bawah:

1. Sahabat yang tamak: ia sangat tamak, ia hanya memberi sedikit dan meminta yang banyak, dan ia hanya mementingkan diri sendiri.

2. Sahabat yang hipokrit: ia menyatakan bersahabat berkenaan dengan hal-hal lampau, atau hal-hal mendatang; ia berusaha mendapatkan simpati dengan kata-kata kosong; dan jika ada kesempatan membantu, ia menyatakan tidak sanggup.

3. Sahabat pengampu: Dia setuju dengan semua yang kamu lakukan tidak kira betul atau salah, yang parahnya dia setuju dengan hal yang tidak berani untuk menjelaskan kebenaran, di hadapanmu ia memuji dirimu, dan di belakangmu ia merendahkan dirimu.

4. Sahabat pemboros dan suka hiburan: ia menjadi kawanmu jika engkau suka pesta, suka berkeliaran dan ‘melepak’ pada waktu yang tidak sepatutnya, suka ke tempat-tempat hiburan dan pertunjukan.

Ali bin Abi Thalib r.a. berkata,

“Sejahat-jahat teman ialah yang memaksa engkau bermuka-muka dan memaksa engkau meminta maaf atau selalu mencari alasan.”

Dan sekiranya engkau berkawan seorang bodoh yang tidak menurutkan hawa nafsunya, lebih baik daripada berkawan dengan orang alim yang selalu menurutkan hawa nafsunya. Maka ilmu apakah yang dapat digelarkan bagi seorang alim yang selalu menurutkan hawa nafsunya itu, sebaliknya kebodohan apakah yang dapat disebutkan bagi seorang yang sudah dapat mengekang (menahan) hawa nafsunya.

Bagaimana akan dinamakan bodoh, seorang yang telah dapat menahan dan mengekang hawa nafsunya, sehingga membuktikan bahawa semua amal perbuatannya hanya semata-mata untuk keredhaan Allah SWT dan bersih dari dorongan hawa nafsu. Sebaliknya, apakah erti suatu ilmu yang tidak dapat menahan atau memimpin hawa nafsu dari sifat kebinatangan dan kejahatannya.

Dalam sebuah hadis ada keterangan : “Seorang itu akan mengikuti pendirian sahabat karibnya, kerana itu hendaknya seseorang itu memperhatikan, siapakah yang harus dijadikan kawan.”

Menurut ahli syair pula : “Sesiapa bergaul dengan orang-orang yang baik, akan hidup mulia. Dan yang bergaul dengan orang-orang rendah akhlaknya, pasti tidak mulia.”

Bersahabat dengan yang lebih rendah budi dan imannya sangat berbahaya, sebab persahabatan itu saling pengaruh-mempengaruhi, percaya-mempercayai sehingga dengan demikian sukar sekali untuk dapat melihat datu memperbaiki kesalahan sahabat yang kita sayangi, bahkan kesetiaan sahabat akan membela kita dalam kesalahan dosa kekeliruan itu, yang dengan itu kita pasti akan binasa kerananya.

Hati-hatilah memilih kawan, kerana kawan boleh menjadi cermin peribadi seseorang. Apa pun berkawanlah kerana Allah SWT untuk mencari redha-Nya.

Sumber daripada : Taman-Taman Syurga

"Sesungguhnya yang mengada-adakan kebohongan itu hanyalah orang-orang yang tidak beriman dengan ayat-ayat Allah dan merekalah pembohong-pembohong." (An-Nahl ayat 105)

"Barangsiapa mengatakan dariku apa yang aku tidak katakan, maka hendaklah Ia bersedia mengambil tempatnya dari Neraka."(HR: Az-Zahabi dlm Al-Kabair.)

-Sekian, selamat bersahabat- 
 

Friday, November 30, 2012

Tajuk Khutbah:"Wakaf : Talian Hayat, Talian Akhirat".(30/11/2012)Bersamaan 16 Muharram 1434H




Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Marilah kita memperkasakan ketaqwaan kita kepada Allah SWT, dengan mengerjakan segala suruhan-Nya, dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan, kita mendapat keberkatan dan keredhaan-Nya, di dunia mahupun di akhirat.
Tajuk khutbah kita pada kali ini adalah

"Wakaf : Talian Hayat, Talian Akhirat".

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Agama Islam amat menggalakkan kita supaya hidup saling bantu-membantu dan tolong-menolong kerana dengan cara demikian dapat menimbulkan perasaan hormat-menghormati dan berkasih sayang sesama manusia. Dengan amalan demikian dapatlah kita nikmati kehidupan yang aman damai, sejahtera dan harmoni, baik dalam berkeluarga, bermasyarakat, mahupun bernegara.

Wakaf merupakan salah satu daripada cara perkongsian sesama manusia terutamanya di kalangan umat Islam. Sejarah khalifah Islam suatu ketika dahulu telah menunjukkan kepentingan dan kejayaan yang terhasil daripada amalan wakaf yang dilaksanakan oleh pemerintah. Demi untuk bekalan akhirat, umat Islam mewakafkan harta yang mereka miliki dan paling disayangi untuk dimanfaatkan oleh semua manusia. Hal ini adalah kerana mereka memahami firman Allah SWT dalam Surah Ali Imran ayat 92:

"Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu menafkahkan (mendermakan) sebahagian daripada apa yang kamu sayangi. Sesuatu apa jua yang kamu nafkah, maka sesungguhnya Allah mengetahuinya".

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Wakaf dari sudut syarak bermaksud : "menahan sesuatu harta yang boleh digunakan tanpa susut fizikalnya dengan cara menyerahkan hak miliknya kepada seorang pengguna yang harus dan wujud". Ini bermaksud, seseorang menyerahkan harta miliknya untuk dimanfaatkan oleh orang lain tanpa dapat menjualnya. Terdapat perbezaan di antara wakaf dan sedekah, iaitu sedekah akan diberikan khusus kepada orang yang memerlukan seperti fakir miskin, manakala fungsi wakaf lebih meluas dan umum iaitu dapat dirasai manfaatnya oleh semua orang termasuklah yang kaya dan berharta.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Ketahuilah bahawa orang yang berwakaf telah dijanjikan ganjaran yang sangat besar oleh Allah SWT tidak kira bagaimana bentuk wakaf itu diberikan sama ada tunai ataupun aset kekal. Ganjaran ini boleh dibahagikan kepada dua, iaitu; ganjaran ukhrawi dan duniawi. Antara ganjaran ukhrawi yang dijanjikan oleh Allah SWT ialah:

Pertama    :     Salah satu cara untuk memperolehi keberkatan dan pahala daripada Allah SWT.

Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 276:
"Allah menghancurkan riba' (dengan mengurangkan atau melenyapkan keberkatannya) dan menyuburkan sedekah-sedekah (dengan menambah dan mengembangkannya serta melipatgandakan pahalanya). Allah tidak menyukai setiap orang yang ingkar (yang menghalalkan riba) lagi banyak melakukan dosa".

Allah SWT telah memberikan perbezaan yang jelas di antara harta yang batil dan keberkatan yang akan dikembangkan melalui harta yang disedekahkan kerana Allah SWT. 

Kedua :   Orang yang bersedekah dan berwakaf akan mendapat naungan Allah swt di akhirat nanti.

"Naungan bagi seorang mukmin pada hari kiamat adalah sedekahnya".                              
                                                                                                                      (Riwayat Ahmad)

Ketiga  :   Pahala dan ganjaran yang berterusan walaupun selepas meninggal dunia.

Sabda Rasulullah SAW:
"Apabila seorang anak Adam mati, segala amalannya terputus kecuali tiga perkara: iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat, dan anak yang soleh mendoakan baginya".
                                                                                                                     (Riwayat Muslim)

"Sedekah jariah" di dalam hadis ini juga ditafsirkan oleh para ulama' sebagai wakaf. Jika dinilai, sedekah dan wakaf mempunyai kaitan yang sangat rapat. Kedua-duanya mempunyai fungsi yang sama serta ganjaran yang dijanjikan oleh Allah SWT di akhirat kelak dengan ganjaran yang serupa tanpa berkurang sedikit pun. 

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah, 

Selain ganjaran Ukhrawi yang dijanjikan oleh Allah SWT, amalan wakaf juga berperanan dalam membentuk pembangunan ummah. Antaranya;

Pertama       :      Wakaf dapat membantu mempertingkatkan tahap pendidikan ummah.

Ini kerana pendidikan merupakan satu aspek penting di dalam kehidupan kita masakini. Akan tetapi, ada sebilangan kita yang tidak mampu meneruskan pembelajaran disebabkan kekangan kewangan. Wakaf dapat diperluaskan dalam bidang pendidikan melalui penyaluran dana untuk pembangunan infrastruktur asas seperti bangunan sekolah yang lengkap, peralatan untuk pengajian dan keperluan asas lain yang diperlukan untuk memudahkan perjalanan proses pengajaran. Begitu juga, tanpa guru yang terlatih, pendidikan tidak dapat dilaksanakan dengan baik dan tidak mampu mencapai tahap yang memuaskan. Oleh itu, dana wakaf juga boleh digunakan untuk menyediakan latihan dan penyelidikan intensif dalam melahirkan guru-guru terlatih. Di samping itu juga, melalui dana wakaf, pembiayaan untuk menyara yuran pengajian sehingga negara dapat melahirkan cerdik pandai dalam semua bidang keilmuan.

Kedua        :         Wakaf membantu pertumbuhan sektor ekonomi.

Prof. Ali Jumu'ah, Mufti Mesir, menyatakan di dalam artikelnya "Wakaf dan kesannya dalam pertumbuhan ekonomi" bahawa, Wakaf telah memainkan peranan penting dalam menjana ekonomi umat Islam kerana wakaf adalah satu dana yang tidak boleh lupus atau hilang dan mesti diuruskan dengan amanah.

Lihat sahaja kecemerlangan wakaf yang dilaksanakan di Turki dan Singapura. Sebagai contohnya di Singapura sahaja, pada tahun 2008, sebanyak 1.7 juta Dollar Singapura telah diagihkan oleh Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), satu kenaikan sebanyak 35% berbanding 1.25 juta Dollar Singapura pada 2007. Ia juga adalah hasil pendapatan daripada lebih 100 hartanah wakaf yang bernilai 135 ribu dollar Singapura. Manakala di Selangor, bermula tahun 2006 hingga 2012, agihan sumbangan wakaf melebihi 232 ribu ringgit telah dicatatkan untuk membangunkan 26 projek-projek seperti surau, masjid, sekolah tahfiz dan juga klinik untuk manfaat masyarakat awam.

Begitu juga, Waqaf An-Nur Corporation Berhad telah melaburkan semula dana wakaf sebanyak 28 juta ringgit  dan keuntungan pelaburan yang dicatatkan dalam tahun 2011 berjumlah 314 ribu ringgit. Sehingga Disember 2011, jumlah keseluruhan keuntungan pelaburan yang telah diterima adalah berjumlah 596 ribu ringgit.  Demikianlah wakaf itu menjadi modal harta yang berkekalan demi kepentingan umat Islam sepanjang zaman.

Ketiga        :         Wakaf dapat membantu mempertingkatkan tahap kesihatan ummah. 

Melalui dana wakaf yang terkumpul, ia dapat digunakan bagi membangunkan sektor kesihatan dan perubatan. Hari ini, keperluan kepada perubatan semakin mendesak. oleh itu, dana wakaf akan membantu dalam pembangunan infrastruktur seperti hospital dan klinik untuk kemudahan masyarakat awam. Di samping itu, wakaf juga dapat membantu melengkapkan peralatan perubatan yang terkini, menjalankan penyelidikan, serta menampung kos rawatan perubatan yang semakin tinggi pada masa kini.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah, 

Kelebihan menginfaqkan harta secara umumnya telah digambarkan dengan indahnya oleh Islam. Terlalu banyak nas-nas al-Quran dan sabda Nabi s.a.w. yang mengiyakan gesaan yang mulia ini. Sudah tentu apabila sesuatu perkara-perkara itu sentiasa diwarwarkan berulang-kali oleh Allah SWT, ini menunjukkan bahawa perkara tersebut amat penting dan sangat serius bagi-Nya. Anugerah dan ganjaran kepada pengamalnya juga sangat luar biasa. Namun malangnya tidak semua manusia yang benar-benar sudi menerima tawaran yang hebat daripada Allah SWT. Ini adalah  akibat daripada tipisnya keimanan dan kefahaman terhadap ayat-ayat Ilahi.      
            
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah, 

Saya menyeru kepada jemaah sekalian, Ayuh! kita rebutlah peluang berwakaf dan menginfaqkan harta di jalan Allah sebanyak-banyaknya selagi hayat dikandung badan. Sebagai contoh, melalui perkhidmatan wakaf yang ditawarkan oleh Bank Muamalat Malaysia Berhad dengan kerjasama Perbadanan Wakaf Selangor (PWS), ia memberi peluang kepada masyarakat untuk berwakaf dengan cara yang mudah.

Akhirnya, suka juga diingatkan bahawa, apa yang paling penting untuk kita terapkan ialah keikhlasan dan niat yang betul ketika berwakaf, bukan kerana untuk mendapat penghargaan dan nama yang disebut-sebut di dunia ini. Hakikatnya, amalan tersebut  akan dinilai di sisi Allah SWT di akhirat nanti.

"Perumpamaan (derma atau nafkah) orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah adalah seperti sebiji benih yang menumbuhkan tujuh batang tangkai; setiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Allah melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah Maha Luas (kurnia-Nya), lagi Maha Mengetahui".
                                                                                                                     (Al-Baqarah: 261)

sumber: Jabatan Agama ISLAM Negeri Selangor(JAIS)...

kenapa ambil sumber dr JAIS???kerana khutbah diselangor telah diselaraskan untuk masjid2 di seluruh negeri selngor...... insyaallah ...semoga bermanfaat....

sahabat masjid imam as-syafie sesi 2013/2014

sahabat masjid imam as-syafie sesi 2013/2014

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...