Sidang Jumaat yang
dirahmati Allah,
Marilah
kita bertaqwa kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Iaitu dengan
melaksanakan perintah Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan
kita semua tergolong di kalangan orang yang berjaya di dunia dan berjaya juga
di hari akhirat. Ingatlah, keingkaran kita kepada Allah SWT hanya akan
menyusahkan diri kita sendiri.
Sabda
Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
"Sesiapa yang tidak mengambil berat urusan kaum Muslimin,
maka dia tidak tergolong sebagai orang Islam".
(Riwayat Tabrani)
Khutbah
pada hari ini adalah mengajak kita sama-sama menikmati
INDAHNYA
WARNA-WARNI PELANGI
Sidang
Jumaat yang dirahmati Allah,
Politik atau siasah merupakan
antara cabang hidup yang sangat penting dalam urusan kita untuk membina ummah. Selain daripada ibadah
khusus, ekonomi, pendidikan, pembangunan sosial dan pembangunan fizikal, tidak
kurang pentingnya dalam meneruskan agenda pembentukan ummah yang madani.
Perkara ini sebenarnya saling berkait rapat disebabkan ia memerlukan antara
satu dengan lain, kerana Islam itu adalah cara hidup untuk membentuk
kesejahteraan dalam kehidupan.
Apabila politik itu stabil maka semua urusan dalam
kehidupan dapat berjalan dengan baik dan begitulah sebaliknya. Contoh yang paling tepat untuk kita jadikan panduan ialah bagaimana
tindakan politik Nabi Muhammad s.a.w yang telah membentuk Piagam Madinah kerana
mahu mewujudkan sistem keadilan bagi masyarakat Madinah ketika itu tanpa
membezakan bangsa dan keturunan. Piagam Madinah adalah asas yang paling
berkesan untuk membinaan kembara dakwah yang lebih mantap dengan memperkukuhkan
sistem dan iltizam politik Islam.
Politik telah dijadikan sebagai saluran dakwah
yang paling berkesan ketika itu, hinggakan sokongan terhadap Baginda telah merentasi
bukan sekadar diperolehi di kalangan umat Islam tetapi juga bukan Islam.
Natijahnya kesan yang paling manis atas
kesabaran Baginda ketika berdakwah maka ramai yang memeluk Islam kerana terpikat
dengan hikmah dan siasah dakwah Rasulullah s.a.w. Ianya memberi pengertian bagi kita agar turut memberi tumpuan
politik sebagai medan dakwah Islamiah.
Sidang
Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,
Sama
ada di media cetak mahupun elektronik kini, topik pilihanraya atau lebih
tepat topik politik telah menjadi bualan, perbincangan dan sebutan. Sama ada
pemimpin disemua lapisan dan rakyat di akar umbi terlalu asyik berbicara
tentang politik dan piliharaya. Maka kedengaranlah hujah, kritikan, bangkangan,
sokongan dan sebagainya yang pasti telah menyentuh emosi dan perasaan rakyat di
pelbagai peringkat dan tempat.
Perang
poster parti-parti yang bertanding berkibar di semua sudut dan tempat untuk
menarik sokongan terhadap parti masing-masing, sehinggakan tunggul kayu di tepi
jalan yang selama ini sudah terbiar telah di balut dengan poster yang berbagai
ragam, bentuk dan gaya. Malah dengan penggunaan teknologi terkini dalam dunia
internet maka kepantasan untuk menyampaikan maksud kempen mereka nampaknya semakin
rancak dikemaskini. Kerancakan medan siasah kini semakin menarik minat apabila
ada saja janji atau tawaran yang diberikan oleh pemimpin-pemimpin politik untuk
memenangi hati para penyokong apatah lagi kepada para pengundi.
Sidang
Jumaat yang dirahmati Allah,
Apa yang perlu difahami ialah hakikat
sebenarnya pilihanraya bukanlah medan atau gelanggang untuk kita saling
salah menyalah, tuding menuding mencari salah, hina menghina antara satu dengan
yang lain, fitnah-memfitnah atau menjadi medan menunjuk kuat di antara satu
dengan yang lain. Namun di musim piliharaya ini muncul pelbagai cerita, tohmahan
dan tempat mencari kesilapan lawan dan kawan. Malah lebih malang lagi apabila
perkara tersebut berakhir dengan selisih faham yang membawa fitnah, pergaduhan
dan kecederaan. Apa yang mendukacitakan lagi medan politik telah dijadikan
alasan untuk matlamat menghalalkan cara. Maka tidak hairanlah jika kita
memerhatikan pertelingkahan yang berlaku dalam suasana politik ini berakhir
dengan pertumpahan darah dan saling berbunuh-bunuhan.
Akibat daripada apa yang berlaku ini, muncul pula
persepsi bahawa politik itu kotor, ini adalah disebabkan masing-masing membelakangkan adab dan
siasah Islamiah yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w. Kesan daripada itu, sebahagian
umat Islam menganggap bahawa politik tidak patut diceburi yang akhirnya ada di
kalangan kita yang meninggalkan langsung sektor ini sehingga kita menjadi umat
Islam yang hanya diperintah bukan sebagai pemerintah.
Sidang
Jumaat Yang Dirahmati Allah sekalian,
Sebagai
umat Islam perlu di ingat bahawa gelanggang politik ini sebenarnya adalah pentas atau gelanggang untuk mencari kesejahteraan
hidup
bernegara supaya semua rakyat diberi keadilan, dan menikmati kesejahteraan
dalam kehidupan. Apa yang mesti kita ketahui ialah berpolitik merupakan kewajipan kepada umat Islam. Sebab itu sebagai
seorang Islam mestilah kita mengambil bahagian atau sekurangnya menjadi pemilih
kepada kaedah untuk membentuk kerajaan ini. Sebab itu keterlibatan perlulah
ada di kalangan umat Islam khususnya. Ini kerana apabila tiada antara kita yang
peduli dalam masalah politik ini, bimbang nanti pentas yang
penting ini akan diambil alih oleh mereka yang tidak layak untuk berpolitik bagi
menentukan kepimpinan Negara ini. Sewajibnya kita mesti mengambil iktibar dari firman Allah dalam
surah An-Nisa' ayat 58 :
إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ
تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُمْ بَيْنَ النَّاسِ
أَنْ تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ ۚ إِنَّ اللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُمْ بِهِ ۗ إِنَّ
اللَّهَ كَانَ سَمِيعًا بَصِيرًا
"Sesungguhnya Allah menyuruh kamu
supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak
menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah
menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya)
itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah
sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat".
Sehubungan
dengan itu, sudah tiba masanya golongan muda khasnya perlu
mempunyai kesedaran politik yang tinggi agar keterlibatan mereka sebagai "penggantung
dan penampal poster" tidak
cukup setakat itu sahaja, tetapi mereka perlu mempersiapkan
diri dengan ilmu agar masa depan politik mereka akan terjamin dan mempunyai prinsip
politik yang mantap dalam berjuang untuk rakyat seterusnya untuk masa depan
Islam itu sendiri.
Sidang
Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,
Maka sudah tiba masa dan ketika untuk
kita melihat dan belajar tentang teknik dan contoh berpolitik seperti yang
diajar oleh Rasullullah s.a.w. Rasullullah s.a.w bukan sahaja dikenali sebagai Nabi atau
daie tetapi baginda juga adalah pencatur politik yang terbaik, malah politik
juga adalah sebahagian daripada metod dakwah yang digunakan oleh baginda Rasullullah
s.a.w dalam menyampaikan syiar Islam. Walaupun di himpit berbagai ranjau dan
dugaan sebagai pemimpin politik yang unggul beliau akhirnya berjaya
menyampaikan risalah Islam ke seluruh dunia.
Akhlak
Rasulullah s.a.w sebagai pemimpin politik bukan sahaja disanjungi dan ditaati
oleh para pengikutnya malah Rasullullah s.a.w sangat di segani dan di
hormati oleh musuh-musuhnya sendiri. Sejarah telah membuktikan bagaimana
Rasullallah s.a.w telah berjaya dalam membentuk hal ini.
Adalah
sangat menakjubkan apabila kerajaan Habsyah yang berbeza agama pendapat dengan
Baginda s.a.w sudi memberi perlindungan politik kepada orang-orang Islam
sebelum berhijrah ke Madinah. Tidak terbayang di benak kepala kita bagaimana
mereka sanggup memberi pertolongan walau sedar dengan adanya risiko dan
ancaman yang akan berlaku terhadap kerajaannya. Sudah tentu ini adalah
kerana diplomasi atau teknik politik dan siasah yang sangat berkesan yang telah
ditunjukkan oleh Rasullullah s.a.w pada ketika itu.
Sejarah
pembukaan Kota Mekah adalah kemuncak yang telah menceritakan segala-galanya
terhadap sikap dan prinsip politik Rasullullah s.a.w. Bukan saja teknik politik
Rasullullah s.a.w sangat tersusun, malah akhlak Rasullullah s.a.w dalam
memaafkan segala kesalahan musuh-musuh politiknya jelas telah memberi impak
atau kesan yang besar yang akhirnya Islam dihormati dan tersebar keseluruh
dunia.
Hal
ini di rakamkan dalam Al-Quran surah An-Nasr ayat 1-3 :
"Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan (semasa
engkau wahai Muhammad berjaya menguasai negeri Mekah), Dan engkau melihat manusia masuk ke dalam agama Allah
beramai-ramai. Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhan-Mu dan mintalah ampun
kepada-Nya, sesungguhnya Ia sangat-sangat menerima taubat".
Sidang
Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,
Umat
Islam
wajiblah menjadikan
Rasullullah s.a.w sebagai contoh cara untuk berpolitik yang sihat. Janganlah kerana
perbezaan pandangan politik, kita berpecah,beseteru atau memutuskan ukhwah
Islamiah. Adalah sangat wajar menjadikan medan politik ini sebagai dakwah
bil hal yang
perlu ditunjukkan kepada umat-umat yang lain. Kita sebagai umat Islam adalah
yang terbaik dan sudah tentu mesti menjadi contoh yang baik dalam semua
keadaan.
Biarlah kita menjadi seperti PELANGI, walaupun berbeza warna tetapi
perbezaan itulah yang menunjukkan keindahannya. Dan sudah tentu itulah yang
paling penting buat kita yang bernama mukmin dalam menonjolkan imej Islam agama
yang indah dan memelihara kedamaian.
Sesungguhnya
perbezaan pendapat itu perlu dijana
supaya dihadkan kesan perbalahannya. Jangan sampai nanti pilihanraya sudah
berlalu tetapi kita masih bermusuh dan tidak bertegur sapa. Sebarang masalah yang
timbul perlu diselesaikan secara hikmah bukan secara ammarah. Biarlah hendaknya
perbezaan pandangan dan pendapat itu diraikan, bukan dijadikan sebab untuk
perbalahan. Walaupun berbeza pendapat tetapi perbezaan itu umpama indahnya
pelangi kerana berbeza warnanya.
Sidang
Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,
Semoga
kita semua sebagai umat Islam sedar akan perkara ini dan akan menjadi umat yang maju
dari semua aspek kehidupan khasnya dalam berpolitik untuk
membentuk kerajaan negeri dan Negara yang diredhai serta dirahmati Allah SWT. Semoga dengan terjawabnya
siapa yang menang dan siapa yang tidak berjaya dalam memenangi piliharaya kali
ini, dapat meredakan "kepanasan" yang melanda. Marilah kita raikannya
dengan bermaaf-maafan di antara satu dengan yang lain kerana dengan cara itu
sahaja, kemenangan akan menjadi lebih bermakna. Selain itu juga, kita hendaklah
sentiasa bersedia untuk bersikap terbuka dengan menerima segala-galanya
merupakan ketentuan Allah SWT. Kita juga mengharapkan sesiapa sahaja yang menag dapat
menjalankan tanggungjawabnya dan sesiapa sahaja yang kalah janganlah menyimpan
dendam dan kebencian yang merugikan.
قُلِ اللَّهُمَّ مَالِكَ الْمُلْكِ
تُؤْتِي الْمُلْكَ مَنْ تَشَاءُ وَتَنْزِعُ الْمُلْكَ مِمَّنْ تَشَاءُ وَتُعِزُّ
مَنْ تَشَاءُ وَتُذِلُّ مَنْ تَشَاءُ ۖ بِيَدِكَ الْخَيْرُ ۖ إِنَّكَ عَلَىٰ كُلِّ
شَيْءٍ قَدِيرٌ
"Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan daripada sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu".
(Ali-Imran : 26)
pengisian yang sangat menarik.syukran atas perkongsian ini.semoga yang disamapaikan menjadi sebagai langkah untuk kita toput agi ilmu kita.insyaAllah
ReplyDelete