Wednesday, August 29, 2012

Adik dan Palestin




Adik bangun pagi. Adik kesat mata. Walid yang kejut adik. Adik mengantuk sangat. Adik tarik gebar semula. Tidur balik. Walid geleng kepala bila nampak adik tidur balik. Walid tepuk belakang adik suruh adik mandi. Lepas mandi adik pakai baju baru. Ummi kata hari ini Hari Raya Aidilfitri. Semua orang pakai baju baru. Tapi adik tengok ummi pakai baju buruk,walid pun pakai baju buruk. Ummi cuma senyum bila adik mengajukan soalan itu. Ummi kata cukuplah adik seorang pakai baju baru.



Walid pimpin tangan adik pergi masjid. Kami jalan kaki melalui denai-denai kecil. Sepanjang jalan adik dengar takbir raya. Allahu Akbar Allahu Akbar, La ilaha illallah huallahu akbar, Allahu Akbar wallilla hilham.. Adik khusyuk dengar. Merdu. Adik angkat tangan ke telinga,lagak seperti bilal masjid sambil menjerit takbir raya.Walid cuma ketawa kecil melihat gelagat adik. Di persimpangan jalan, kami bertemu Pak Cik Nassier jiran adik. Adik pandang walid. Walid ralit berbual dengan Pak Cik Nassier. Adik dengar walid berbual tentang syahid, Yassier Arafat dan lain-lain lagi. Nama negara adik pun walid sebut, Palestin. Tapi adik tidak faham. Adik cuma mendengar.



Adik tiba di perkarangan masjid. Masjid itu besar,tersergam indah. Masjid kebanggaan negara adik, Masjidil Aqsa.Walid pernah beritahu adik, Masjidil Aqsa kiblat pertama sebelum Kaabah di Mekah. Masjidil Aqsa juga adalah salah satu tempat suci dalam Islam. Nabi Muhammad pun mengalami peristiwa Israk dan Mikraj di masjid ini. Adik buka kasut dan masuk ke perut masjid. Adik lihat ramai orang. Semuanya duduk dalam saf. Walid tarik adik duduk di penjuru masjid,kemudian walid solat tahiyatul masjid.Adik ikut walid solat raya. Adik berdiri betul-betul dekat dengan walid. Adik pandang walid. Bila walid angkat tahbiratul ihram adik pun angkat. Mulut walid kumat kamit membaca sesuatu. Adik pun ikut sama walaupun adik tak tahu apa yang adik baca. Walid rukuk,adik rukuk. Walid sujud, adik sujud.



Adik membilang anak tangga selepas selesai solat raya dan bersalam-salaman dengan jemaah yang lain. Walid ada di belakang adik. Suasana ketika itu tenang dan damai. Adik suka ketenangan. Adik tarik nafas, hirup dalam-dalam udara pagi. Tiba-tiba ketenangan itu diragut. Adik nampak ramai orang bertempiaran lari. Adik juga nampak sekumpulan askar yang memegang senjata sedang mara menuju ke arah masjid. Adik dengar bunyi kuat. Bunyi tembakan. Walid dukung adik erat sambil melaungkan takbir Allahu Akbar. Adik takut. Adik pejam mata. Kaki walid yang kuat berlari tiba-tiba terhenti. Pautan tangan walid longgar dan akhirnya terlerai. Adik rasa seperti sekujur tubuh tumbang dan menghenyak adik. Adik pandang belakang. Mata adik terbeliak. Adik nampak tubuh walid. Kepala walid berdarah. Adik menjerit nama walid. Manik-manik jernih bergentayangan dan gugur satu persatu dari tubir kelopak mata adik. Walid pandang adik. Walid cium pipi adik. Walid suruh adik lari. Adik geleng kepala. Adik pegang tangan walid. Adik hendak duduk di sisi walid. Walid senyum pada adik. Mulut walid lemah menutur kalimah syahadah. Adik goyang tubuh walid. Walid tidak bergerak. Walid kaku.
"Waliiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiid!!!!!!!"




Adik kesat air mata. Adik lari kuat-kuat. Adik lari tidak kalih kiri dan kanan. Sampai di rumah, adik terus menangis. Ummi hairan tengok adik. Adik sebut nama walid berkali-kali. Mayat walid di hantar ke rumah tidak lama selepas itu. Adik masih menangis. Adik tengok ummi cium dahi walid. Ummi peluk adik. Beberapa orang jiran cuba tenangkan ummi. Abang yang duduk di penjuru dinding juga menangis. Abang dah besar. Umur abang enam belas tahun. Abang pergi dekat walid,abang peluk dan cium walid. Selepas sembahyang adik nampak orang angkat walid keluar rumah. Abang pun ikut sama. Adik tidak ikut. Adik duduk rumah dengan ummi.Adik tanya ummi, mana perginya walid. Diam. Adik tanya lagi sambil menongkat dagu menunggu jawapan daripada mulut ummi. Ummi pandang adik, ummi kata walid pergi ke satu tempat yang sangat cantik. Walid pergi tidak akan kembali lagi. Adik cuma mengangguk. "Adik nak ikut walid" Ummi geleng kepala dan peluk adik. Adik lap air mata di pipi ummi. Adik senyum, ummi senyum.




Petang itu ramai kawan abang datang. Abang ajak mereka ke belakang rumah. Adik berlari-lari anak ikut abang ke belakang. Abang tekun membuat sesuatu. Sesuatu yang menyerupai senapang. Adik cuma duduk diam dan tengok. Kawan-kawan abang pun khusyuk membuat kerja. Adik menguap berkali-kali. Boring duduk diam tanpa melakukan sebarang kerja. Tidak keletah adik dibuatnya. Mata adik melilau-lilau mencari barang mainan. Adik nampak benda bulat seperti bola. Adik pergi dekat cuba mencapai benda itu. Adik pegang dan belek. Sedang adik seronok bermain, abang rampas 'bola' adik. Adik masam. Adik tarik muncung empat belas. Adik marah pada abang. Abang tersenyum melihat tingkah laku adik. Dengan lembut abang mencubit pipi montel adik. Abang beritahu adik yang benda itu bom tangan bukannya bola seperti yang disangka adik. Adik diam, kemudian berlari mendapatkan ummi. Merajuk.



Adik bangun awal pagi itu. Tidak seperti hari-hari lain, walid tidak ada untuk kejut adik. Apabila teringat walid,mata adik berkaca. Adik tidak mahu menangis. Adik orang lelaki. Orang lelaki tidak boleh menanggis, orang lelaki kena kuat dan tabah. Adik nampak abang sedang bersiap-siap. Abang galas beg besar. Semua benda yang abang buat semalam abang bawa. Benda bulat seperti bola pun abang bawa. Kawan-kawan abang semuanya sedang menunggu di depan rumah. Abang cium tangan ummi, minta izin untuk pergi. Ummi peluk abang,cium abang berkali-kali. Adik cuma memandang dengan mata terkebil-kebil. Adik garu kepala yang tidak gatal. Abang datang dekat adik. Abang dukung adik,usap kepala adik. "Adik jaga ummi ya" pesan abang. "Abang nak pergi mana" tanya adik seperti orang bodoh. "Abang nak pergi berjuang". Abang mengukir senyuman mengakhiri bicara.



Kelibat abang hilang ditelan kabus pagi. Hanya lambaian tangan adik mengiringi pemergian abang. Lepas abang pergi ummi cerita macam-macam perkara pada adik. Pasal Israel, pasal syurga, pasal jihad dan banyak lagi. Semuanya adik tidak faham. "Isra..Israfil." terkial-kial adik menyebut perkataan itu dalam pelat yang pekat. "Bukan Israfil. Israfilkan nama malaikat. Malaikat yang tiup sangka kala. Israel." Ummi membetulkan sebutan adik. "Is.ra.el" akhirnya adik berjaya menyebutnya juga. Ummi ketawa kecil. Adik ikut ketawa menampakkan sebaris gigi adik yang ronggak. Ummi kata Israel jahat. Israel musuh umat Islam. Israel juga musuh Allah. Israel yang mencetuskan peperangan di bumi Palestin. Israel yang bunuh walid. Adik benci Israel. Adik benci sesiapa yang menjadi musuh Allah.



Adik lari keluar rumah. Adik pergi ke jalan besar. Ramai kanak-kanak sebaya adik di situ. Mereka semua baling batu kepada sekumpulan tentera yang bersenjata di seberang jalan. Adik ingat lagi, tentera itulah yang bunuh walid. Merekalah Israel. Adik marah. Adik geram. Adik capai batu, adik baling kuat-kuat. Adik pejam mata. Terbayang di kepala adik peristiwa yang menimpa walid. Adik sertai kawan-kawan adik yang lain; membaling batu. Kadang-kadang kami lari apabila tentera itu menyerang balas. Ada juga kawan-kawan adik kena tembak. Tumbang satu persatu. Adik nampak baju mereka merah berlumuran darah. Adik lari menyorok di sebalik bangunan usang untuk menyelamatkan diri. Adik lari bersama seorang kawan adik. Namanya Jamal. Dia juga sama dengan adik. Walidnya juga pergi ke suatu tempat yang sangat cantik dan tidak akan kembali lagi. Apabila keadaan semakin reda, adik pulang ke rumah. Adik berjanji dengan Jamal untuk melontarkan batu lagi pada keesokkan harinya.



Sesampai di rumah adik berasa sangat lapar. Adik cari roti di dapur. Adik buka almari, adik cari dalam almari tapi tidak jumpa. Perut adik mula berbunyi minta diisi. Adik sudah makan roti petang tadi tapi adik masih berasa lapar lagi. Adik nampak ummi pegang roti. Itu sajalah satu-satunya roti yang tinggal di rumah kami. Ummi tidak makan apa-apa lagi sejak pagi tadi. Adik pergi dekat ummi. Ummi yang baru menyuapkan roti ke mulutnya tersentak. Ummi keluarkan semula roti dari mulutnya dan suapkan ke mulut adik. Adik kunyah dengan gelojoh.
"Ummi, kenapa kita hidup susah?" adik tanya pada ummi dengan mulut dipenuhi roti. Ummi pangku adik di ribanya. Ummi mengelus lembut rambut adik.
"Kita kena sabar sebab sabar itu cantik" ujar ummi perlahan.
"Cantik macam syurga ker ummi?" adik tanya lagi.
Ummi senyum.
"Nabi Muhammad pun hidup susah juga. Baginda dilontar batu ketika menyebarkan dakwah di Taif. Malahan kaum Quraisy ramai yang ingin bunuh nabi. Nabi sabar,nabi tak cepat putus asa" sambung ummi lagi.
Adik dengar dengan khusyuk. Adik nak jadi baik macam Nabi Muhammad. Nama adik pun Muhammad. Walid yang cadangkan nama itu. Walid hendak adik tabah dan cekal macam Nabi Muhammad.



Malam itu adik duduk bersila depan ummi sambil tangan memegang Al-Quran. Adik ikat serban sendiri. Adik lilit serban ikut suka hati adik. Sekejap adik lilit ke kiri, sekejap ke kanan. Kadang-kadang serban itu tutup mata adik. Adik kuak sedikit kain serban ke atas ketika hendak membaca Al-Quran.
"Bismillahirrahmanirrahim.."
Adik baca Al-Quran dengan bersungguh-sungguh. Adik baca kitab Allah itu dengan tekun. Ummi duduk depan adik sambil memerhati bacaan adik. Adik hendak jadi macam abang. Umur enam tahun sudah khatam Al-Quran. Adik baru umur tiga tahun. Adik kena baca Quran dengan rajin kalau hendak khatam Al-Quran cepat macam abang. Adik ingat pesanan ummi. Ummi kata Al-Quranlah satu-satunya harta yang paling berharga. Adik ingin baca Al-Quran hari-hari. Adik tidak mahu ponteng baca Al-Quran. Bacaan adik terhenti apabila pintu diketuk dan nama ummi dilaung-laungkan dari luar.
"Syukur ya Huda, anakmu Yassin mati syahid"muncul Mak Cik Fatima di depan rumah.
"Anakmu,anakmu adalah salah seorang pengebom berani mati ya Huda. Tindakannya menyebabkan tujuh orang askar Israel laknatullah terbunuh. Yassin dan tiga orang lagi pejuang Hizbullah mati syahid. Semoga syurga menanti mereka kelak" terang Mak Cik Fatima panjang lebar.



Ummi panjatkan doa pada Allah semoga roh abang ditempatkan dalam golongan orang-orang yang beriman. Adik kaget. Nama Israfil.bukan..Israel disebut lagi. Adik benci mendengar nama itu. Kemarahan adik meluap-luap. Ummi beritahu adik abang telah pergi ikut walid. Ummi kata ummi bangga mempunyai anak seperti abang. Adik masuk tidur awal. Adik mimpi satu tempat yang sangat cantik. Adik nampak walid dan abang di sana. Walid dan abang senyum pada adik. Adik cuba kejar mereka tapi semakin adik kejar semakin mereka menghilang.



Keesokkan harinya, adik tunggu Jamal di tepi jalan seperti yang dijanjikan. Lima minit berlalu Jamal tidak muncul-muncul juga. Hampir setengah jam adik tunggu tapi Jamal tetap tidak muncul. Adik tidak suka orang yang mungkir pada janji. Adik ingat lagi, salah satu ciri org munafik ialah mungkir apabila berjanji. Adik tidak mahu jadi munafik. Adik tanya kawan-kawan adik yang lain. Rupa-rupanya Jamal juga seperti walid dan abang. Jamal pergi ke satu tempat yang cantik. Tempat yang adik tidak tahu di mana letaknya. Semua orang yang adik sayang pergi ke tempat itu. Mula-mula walid,kemudian abang dan akhirnya Jamal.



Adik pulang ke rumah awal. Adik terkejut. Terkesima sebentar. Rumah adik dikepung askar Israel. Mereka memang sedang mencari keluarga adik ekoran tindakan berani mati abang mengebom kubu Israel. Tubuh adik yang kecil memudahkan adik menyusup masuk ke dalam rumah. Adik nampak ummi terpelosok di satu sudut. Adik lihat dengan mata adik sendiri, tentera itu tendang ummi. Mereka sepak dan terajang ummi. Tapi ummi masih bersabar. Ummi tidak
putus-putus menyebut satu kalimah keramat..Ahad..Ahad. Mata adik merah. Adik menahan marah. Adik tidak suka orang pukul ummi. Adik sayang ummi. Adik benci Israel. Seorang tentera Israel mengacukan pistol ke arah ummi. Ummi dengan tenang menghadapinya. Tiada pun segaris garisan gusar terpancar di wajah ummi. Ketika peluru dilepaskan, tiba-tiba.....



"Muhammad!!!!!!!" Ummi menjerit sambil memegang tubuh adik. Badan adik berlumuran darah. Pekat dan merah. Adik raba perut adik. Adik rasa sakit. Sakit yang mencucuk-cucuk. Seketika tadi adik telah korbankan tubuhnya untuk
melindungi ummi. Natijahnya peluru itu merobek perut adik yang tidak berdosa. Ummi peluk adik. Ummi menangis semahu-mahunya. Adik cuba senyum pada ummi walaupun perit.



"Ummi.adik rasa mengantuk,adik nak tidur.Adik nak jadi mujahid,adik nak ikut walid dan abang" terketar-ketar suara adik kedengaran di cuping telinga ummi. Ummi angguk,berusaha sedaya upaya untuk menahan air mata daripada jatuh bercucuran.Adik pejam mata. Adik nampak walid, abang dan Jamal melambai-lambai ke arah adik.




Ya Allah...
Aku memohon cinta-Mu...
Dan cinta orang yang mencintai-Mu...
Serta semua amalan yang mendekatkanku
kepada cinta-Mu...


Friday, August 24, 2012

Tajuk Khutbah: "Gejala Fitnah Meruntuhkan Ummah".(24/08/2012)Bersamaan 6 Syawal 1433H








Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Marilah sama-sama kita meningkatkan ketaqwaan kepada Allah SWT dengan penuh ketaatan, keyakinan dan keikhlasan. Iaitu dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertakwa seterusnya selamat dan berjaya di dunia serta di akhirat.

Tajuk khutbah kita pada kali ini adalah

"Gejala Fitnah Meruntuhkan Ummah".

Sidang Jumaat yang di rahmati Allah,

Fitnah bermaksud tuduhan sama ada berita, kisah dan sebagainya yang diada-adakan bertujuan memburukkan atau memusnahkan seseorang, sesebuah institusi atau kumpulan dan seumpamanya. Dalam zaman serba moden dan era teknologi ini, penyebaran fitnah mudah berlaku sama ada melalui siaran televisyen atau radio, khidmat pesanan ringkas (SMS), e-mail, laman sesawang atau blog dan sebagainya. Penyebaran berita fitnah tersebut berlaku dengan cepat, meluas dan mudah diperolehi tanpa sebarang kewaspadaan untuk menyelidik maklumat yang diterima seterusnya tanpa teragak-agak disampaikan kepada yang lain. Sikap ini amat ditegah oleh Islam. Ini kerana Islam menganjurkan umatnya agar setiap berita yang sampai terutamanya melalui orang yang digolongkan sebagai fasik iaitu mereka yang tidak mempedulikan perintah Allah SWT tanpa diselidiki terlebih dahulu sebelum disebarkan kepada yang lain.

Firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat ayat 6:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنْ جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَنْ تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَىٰ مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ

"Wahai orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasiq membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan".

Berdasarkan ayat tersebut, wajib bagi setiap Muslim menghalusi segala berita yang diterima supaya tidak terbabit dalam kancah berita berunsur fitnah. Sebarang berita yang diterima terlebih dahulu perlu dipastikan kebenarannya. Kebijaksanaan dan kewarasan fikiran amat penting digunakan bagi memastikan tidak terpedaya dengan berita berunsur fitnah. Budaya menabur fitnah adalah sesuatu yang keji dan amat dibenci oleh Islam sehingga ianya dikategorikan sebagai dosa besar dalam Islam.

Sidang Jumaat yang di rahmati Allah,

Menabur fitnah dengan mengumpat dan sebagainya berlaku sama ada disedari atau tidak, termasuk dalam sikap buruk apabila seseorang menyebut atau menceritakan keburukan seseorang biarpun tanpa menyebut nama pelakunya tetapi diketahui oleh orang yang mendengarnya. Penyebar berita biasanya menyebut "dengar khabar" atau "khabar angin". Bagaimanapun, apabila berita tersebut disampaikan daripada seorang ke seorang, diulang-ulangkan, maklumat yang belum sahih itu seolah-olah sudah menjadi fakta dan berita benar.

Antara ancaman dan dosa fitnah dan penabur fitnah yang disebutkan oleh al-Quran dan al-Sunnah ialah:

Pertama : Penabur fitnah dan pengumpat disifatkan sebagai sekeji-keji manusia.

Hadis daripada Abdul Rahman Al-Ghanmi R.A bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Sekeji-keji manusia ialah mereka yang berjalan menabur fitnah, mereka yang melaga-lagakan di antara insan yang berkasih sayang dan mereka yang mencari-cari kesalahan terhadap orang yang tidak bersalah".

(Riwayat Imam Ahmad)

Kedua : Menabur fitnah dan mengumpat diumpamakan seperti memakan daging saudara seagama. Sesungguhnya manusia yang waras tidak sanggup memakan daging manusia, inikan pula daging saudara sendiri.

Firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat ayat 12:


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ ۖ وَلَا تَجَسَّسُوا وَلَا يَغْتَبْ بَعْضُكُمْ بَعْضًا ۚ أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَنْ يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًا فَكَرِهْتُمُوهُ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۚ إِنَّ اللَّهَ تَوَّابٌ رَحِيمٌ

"Wahai orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada sangkaan, kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah berdosa; janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang daripada kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang".

Ketiga : Penabur fitnah dan pengumpat disiksa di dalam kubur.

Hadis daripada Ibn Abbas R.A bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Sesungguhnya mereka berdua diazab dan tidaklah mereka berdua diazab disebabkan dosa-dosa besar yang mereka lakukan tetapi disebabkan salah seorang mereka tidak dapat mengetuskan air kencingnya dan seorang lagi memecah belahkan masyarakat dengan berjalan menabur fitnah". (Riwayat Imam Al-Bukhari)

Keempat : Nabi s.a.w. menyebutkan bahawa penabur fitnah tidak masuk Syurga.

Hadis daripada Huzaifah R.A bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Tidak masuk Syurga orang yang suka menabur fitnah". (Riwayat Imam Al-Bukhari)

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Selain ancaman dan dosa fitnah dan penabur fitnah sebagaimana yang disebutkan oleh syarak, fitnah juga turut membawa keburukan dalam kehidupan bermasyarakat. Antaranya ialah:

Pertama : Dosa pembuat dan penyebar fitnah disifatkan sebagai dosa sesama manusia. Dosa ini tidak akan diampunkan kecuali orang yang difitnah memaafkan perbuatan tersebut. Mungkin ramai menyangka perbuatan menyebarkan berita fitnah sekadar satu kesalahan kecil. Kerana itu mereka mudah menyebarkan berita tanpa usul periksa.

Kedua : Fitnah memecahbelahkan rumahtangga dan merosakkan masyarakat. Kerana fitnah, hubungan adik beradik, suami isteri, jiran tetangga dan sebagainya akan hancur dan membawa kepada permusuhan yang berkekalan. Bahkan perbuatan menyebar fitnah diumpamakan sebagai api yang membakar ranting kering kerana ia cepat merebak sehingga akhirnya menjadi abu.

Ketiga : Fitnah biasanya disebarkan bertujuan memburukkan individu atau kumpulan. Sikap seperti ini bertujuan menonjolkan diri dan menganggap dirinya lebih baik atau lebih layak berbanding orang yang diburukkan. Banyak pihak yang terbabit dengan penyebaran fitnah ini terkadang tidak mempunyai sebarang kepentingan pun. Tetapi, disebabkan amalan tersebut sudah menjadi kebiasaan, walaupun ianya hina namun dapat memberi satu kepuasan kepada pelakunya.

Keempat : Budaya menabur fitnah boleh menganggu gugat kestabilan dan keamanan Negara. Oleh itu, usah biarkan diri, keluarga dan masyarakat sekeliling sebagai mereka yang mencemarkan negara ini dengan menimbulkan huru-hara kesan daripada fitnah-fitnah yang dibuat dan disebarkan.

Kelima : Fitnah boleh mengakibatkan jatuhnya maruah seseorang individu dan perkumpulan, begitu juga ia boleh menyebabkan kerugian dari segi kewangan. Ini kerana saman malu boleh dibuat terhadap penyebar fitnah dan bakal mengakibatkan kerugian yang besar dari sudut kewangan, emosi dan sebagainya.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Kesimpulan khutbah yang dapat disampaikan pada hari ini ialah:

Pertama : Membuat dan menyebarkan fitnah merupakan salah satu daripada dosa-dosa besar yang dikutuk oleh syarak.

Kedua : Beratnya ancaman dan siksaaan terhadap dosa fitnah dan penabur fitnah sebagaimana yang tercatat di dalam ayat al-Quran dan hadis-hadis yang banyak.

Ketiga : Wajib bagi setiap individu Muslim untuk menghalusi setiap berita yang diterima terutamanya khabar atau berita yang dilabel sebagai "khabar angin" atau "dengar khabar" supaya tidak terbabit dalam kancah berita berunsur fitnah.

Keempat : Budaya menabur fitnah adalah sikap yang amat keji kerana ianya bakal memecahbelahkan kesatuan rumahtangga, merosakkan masyarakat dan menganggu gugat kestabilan serta keamanan Negara.

Kelima : Segala persengketaan atau kekeliruan tidak akan dapat diselesaikan melalui budaya menabur fitnah. Sebaliknya, segala permasalahan akan selesai apabila wujudnya sikap merendah diri, bertolak ansur dan saling memaafkan.

وَالَّذِينَ يُؤْذُونَ الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ بِغَيْرِ مَا اكْتَسَبُوا فَقَدِ احْتَمَلُوا بُهْتَانًا وَإِثْمًا مُبِينًا

"Sesiapa yang mengganggu serta menyakiti lelaki yang beriman dan wanita yang beriman (dengan perkataan atau perbuatan) yang tidak menepati kesalahan yang dilakukan oleh mereka, maka sesungguhnya mereka telah memikul kesalahan menuduh secara dusta dan berbuat dosa yang amat nyata".

(Al-Ahzab: 58)

KHUTBAH KEDUA

Ya Allah, Engkaulah Tuhan yang Maha berkuasa, kami bersyukur kehadrat-Mu yang telah mengurniakan kami rahmat dan nikmat, sehingga kami dapat meneruskan usaha ke arah memperkukuhkan negara umat Islam khususnya negeri Selangor, sebagai negeri yang maju, sejahtera dan berkebajikan.

Justeru kami pohon kehadrat-Mu ya Allah, tetapkanlah iman kami, tingkatkanlah amal kami, kukuhkanlah perpaduan kami, murahkanlah rezeki kami, kayakanlah kami dengan ilmu yang bermanfaat, suburkanlah jiwa kami dengan budi pekerti yang mulia, kembalikanlah kami ke jalan yang Engkau redhai, lindungilah kami daripada ujian-Mu yang berat seperti kemarau panjang, banjir besar, wabak penyakit, persengketaan, kemiskinan dan lain-lain, supaya dengan demikian, negeri kami akan sentiasa bertambah makmur dan berkat.

Engkau bukakanlah hati umat Islam, khususnya di Negeri Selangor untuk melaksanakan ibadah zakat sebagaimana yang telah Engkau fardhukan di dalam Al-Quran. Berkatilah hidup orang-orang yang melaksanakan tuntutan berzakat, menyayangi fakir dan miskin, sucikanlah harta dan jiwa mereka agar mereka hidup dalam keredhaan-Mu. Kau lindungilah golongan fuqara' dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Demikian jua Ya Allah, tambah dan luaskanlah rezeki orang yang mewakafkan hartanya di negeri ini, limpahkanlah nikmat iman dan kesihatan yang berpanjangan kepada mereka, terimalah wakaf mereka dengan ganjaran pahala yang berkekalan hingga ke hari akhirat.

Khutbah Jumaat Bacaan 24 Ogos 2012

sumber: http://www.jais.gov.my/index.phpoption=com_content&task=view&id=1210&Itemid=70










Friday, August 17, 2012

Tajuk Khutbah: Menghidupkan Akhir Ramadhan(17/08/2012)Bersamaan 28 Ramadhan 1433H




"Menghidupkan Akhir Ramadhan".



Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah SWT dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Di bulan dan di hari yang mulia ini, marilah kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah SWT dengan melakukan segala suruhan-Nya dan menjauhi segala tegahan-Nya. Bulan yang dijanjikan oleh Allah SWT pada awalnya mendapat rahmat, pertengahannya keampunan dari Allah SWT dan penghujungnya pembebasan dari api neraka.

Tajuk khutbah kita pada kali ini adalah "Menghidupkan Akhir Ramadhan".

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Samada kita sedar ataupun tidak, kita telah melewati dua pertiga Ramadhan. Hari-hari yang bakal kita tempuhi adalah hari-hari terakhir yang penuh dengan pelbagai tawaran yang amat menakjubkan daripada Allah SWT.

Dalam mengoptimumkan amalan kita di hari-hari terakhir Ramadhan ini, Rasulullah s.a.w telah memberikan garis panduan yang jelas untuk kita teladani.

Hadis daripada ummul mukminin bahawa Saidatina ‘Aisyah r.a. berkata:

"Adalah Rasulullah s.a.w. apabila menjelang 10 hari (yang akhir daripada bulan Ramadan), maka Baginda menghidupkan malam-malam Ramadan, dan Baginda mengejutkan ahli keluarganya bangun beribadah kepada Allah, dan Baginda lebih tekun beribadat, dan mengetatkan kain (tidak mendekati isteri-isteri Baginda di dalam lingkungan masa tersebut)". (Riwayat Muslim)

Manakala dalam hadith lain daripada ummul mukminin bahawa Saidatina ‘Aisyah r.a berkata:

"Adalah Rasulullah s.a.w. lebih giat beribadat pada sepuluh terakhir (bulan Ramadhan) melebihi hari-hari lainnya". (Riwayat Muslim)

Kedua-dua hadith ini menjelaskan pendirian serta amalan Rasululah s.a.w. menjelang sepuluh terakhir bulan Ramadan. Pendirian Rasulullah s.a.w. adalah mesti menggandakan aktiviti ibadat kepada Allah SWT; mesti lebih banyak berbanding dengan sebelumnya. Ini kerana hari-hari terkahir ini mempunyai kelebihannya yang tersendiri.

Manakala daripada segi amalan pula, Baginda s.a.w. melipatgandakan aktiviti ibadah; mendirikan malam (qiamullail), mengejutkan ahli keluarganya supaya sama-sama mengambil bahagian beribadat kepada Allah SWT, menghidupkan malam dengan solat-solat sunat, memperbanyakkan zikir, membaca al-Quran, memohon keampunan kepada Allah SWT, beriktikaf di masjid dan berderma ke jalan Allah SWT.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Sebagai menyahut seruan dan saranan Rasulullah s.a.w di dalam menghidupkan sepuluh terakhir Ramadhan, langkah dan aktiviti ibadah berikut perlulah kita lakukan:


Pertama : Mempertingkatkan niat dan azam untuk menghidupkan sepuluh terakhir Ramadhan. Dengan azam yang kukuh, InsyaAllah kita mampu menghidupkan Ramadhan dengan penuh bersemangat dan beristiqamah.


Kedua : Membuat perancangan yang teliti segala aktiviti ibadat yang ingin dilakukan. Ini penting supaya aktiviti ibadat yang dirancang tidak akan tergendala separuh jalan sahaja. Sekiranya kita mampu merancang untuk perkara-perkara lain dalam kehidupan kita seharian, maka aktiviti Ramadhanpun mestilah mampu kita rancangkan. Perancangan ini melibatkan perlaksanaan ibadat secara menyeluruh pada siang hari dan juga malamnya.

SIANG

Realiti hidup bekerja mencari rezeki terkadang menjadikan kita lupa erti ibadat yang sebenar. Untuk menghidupkan sunnah Nabi ini, maka perlulah kita melaksanakan konsep ibadat dalam bekerja. Kita perlulah bekerja sambil berzikir, mencari rezeki sambil mendengar al-Quran, menjalankan tugas dengan mengambil peluang yang diizinkan untuk mengerjakan solat sunat Dhuha, mencari rezeki sambil berdoa dan beristighfar kepada Allah SWT dan begitu jugalah segala aktiviti yang lain.

MALAM

Perancangan ibadat di waktu malam juga perlulah dilakukan dengan teliti. Perancangan ini berkaitrapat dengan cara pemakanan seseorang. Berbukalah sekadar mengalas perut dan bukannya seperti mereka yang tidak menjamah makanan beberapa hari. Berbuka puasa secara sihat dapat mempertingkatkan stamina untuk beribadat di malam hari.

Ketiga : Lakukan aktiviti ibadat waktu malam secara teratur dan mengikut keselesaan masing-masing, antaranya;



1. Mendirikan solat sunat terawih secara berjamaah di masjid ataupun surau serta dengan memperbanyakkan bacaan al-Quran dan menghayati maknanya.

2. Sentiasa berdoa kepada Allah SWT tanpa mengenal erti penat dan jemu.

3. Mendekatkan diri kita kepada Allah SWT dengan memperbanyakkan zikir memohon keampunan daripada-Nya.
InsyaAllah! Allah SWT tidak pernah jemu mendengar permintaan hamba-Nya sebagaimana firman-Nya dalam surah al-Baqarah ayat 186:


وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ ۖ أُجِيبُ

دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا دَعَانِ ۖ فَلْيَسْتَجِيبُوا لِي وَلْيُؤْمِنُوا بِي لَعَلَّهُمْ يَرْشُدُونَ(186)


"Apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka) sesungguhnya Aku sentiasa hampir (kepada mereka), Aku memperkenankan permohonan orang yang berdoa kepada-Ku. Maka hendaklah mereka menyahut seruan-Ku (dengan mematuhi perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka sentiasa berada dalam kebenaran".

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,


Antara doa Rasulullah s.a.w. menjelang sepuluh terakhir Ramadhan adalah sebagaimana hadith yang diriwayatkan oleh Abu Daud iaitu:



"Wahai Tuhanku sesungguhnya Kamu amat pemaaf, Kamu amat suka memaafkan , maka maafkanlah daku".

Selain daripada solat sunat tarawih digalakkan juga melakukan solat sunat tasbih, tahajjud, hajat, taubat, witir, beriktikaf dalam masjid dan juga memperbanyakkan sedekah.

Contohilah Rasulullah s.a.w. di mana Baginda merupakan orang yang paling banyak bersedekah terutamanya di bulan Ramadhan. Sifat pemurah Nabi ini diceritakan oleh Abdullah bin Abbas sebagaimana disebutkan dalam beberapa hadith yang telah diriwayatkan oleh Imam Bukhari.

Disamping itu, Rasulullah juga, berusaha dengan bersungguh-sungguh melakukan ibadat di malam hari untuk mendapatkan lailatul qadar.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Dalam konteks kehidupan pada hari ini, kita bersyukur kerana ahli jawatankuasa masjid dan surau di negeri ini telah bertungkus lumus menyediakan pelbagai program untuk menghidupkan suasana di bulan Ramadhan. Ini menunjukkan sikap prihatin mereka dalam melaksanakan tanggungjawab sosial dan agama. Bahkan untuk memastikan setiap ahli qariah mendapat peluang beribadat kepada Allah SWT dengan lebih baik dan sempurna.

Maka, pada hari ini tidak timbul lagi persoalan bagi seseorang itu untuk berkata bahawa "saya tidak mampu menghidupkan Ramadhan", atau "saya tidak mempunyai panduan untuk menghidupkan Ramadhan", atau "bagaimana cara yang sewajarnya?" atau "saya tidak bermotivasi untuk menghidupkan Ramadhan" dan pelbagai persoalan lagi.

Sudah tiba masanya umat Islam hari ini berhenti bertanya "apa"? Atau "kenapa"? Atau memberi pelbagai alasan. Umat Islam perlu berfikiran positif dan mesti berkata: "Aku boleh melakukannya dan sama-sama mengambil bahagian". Sikap inilah yang perlu ada pada jiwa umat lslam hari ini tanpa mengira jantina, umur, pangkat dan kedudukan. Marilah kita memperkuatkan tekad dan azam untuk sama-sama menyertai sahabat-sahabat kita yang lain untuk menghidupkan hari-hari terakhir Ramadhan pada kali ini. Namun, sekiranya kita tidak mampu untuk bersama-sama sahabat kita di rumah Allah, maka kejutkanlah ahli keluarga supaya dapat sama-sama menghidupkan Ramadhan bersama seisi keluarga di rumah masing-masing.

Di kesempatan ini, marilah kita berusaha menghayati dan menghidupkan Ramadhan bersama-sama dengan pihak masjid lebih-lebih lagi untuk malam terakhir Ramadhan. Kita tidak pasti adakah kita masih mampu untuk meneruskan ibadat Ramadhan pada keesokan hari? Adakah kita masih lagi diberi nikmat untuk melihat dunia ini keesokan hari. Oleh itu, rebutlah peluang keemasan ini.

Ingatlah firman Allah SWT dalam surah al-Hasyr ayat 18-19:


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَلْتَنْظُرْ نَفْسٌ مَا قَدَّمَتْ لِغَدٍ ۖ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۚ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ(18) وَلَا تَكُونُوا كَالَّذِينَ نَسُوا اللَّهَ فَأَنْسَاهُمْ أَنْفُسَهُمْ ۚ أُولَٰئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ(19)

"Wahai orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya). Hendaklah setiap diri memerhatikan apa yang dia telah sediakan (daripada amal-amalnya) untuk hari esok (hari akhirat) dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Amat Menyeluruh Pengetahuan-Nya akan segala yang kamu kerjakan. Dan janganlah kamu jadi seperti orang yang telah melupakan Allah (tidak mentaati perintah-Nya), lalu Allah menjadikan mereka melupakan diri mereka sendiri (untuk melakukan ketaatan dan kebajikan). Mereka itulah orang yang fasiq".

Oleh itu lakukanlah perancangan yang teliti dalam menempuh hari-hari Ramadhan. Jangan biarkan hari-hari terakhir Ramadhan berlalu begitu sahaja menjadikan kita lalai dan lupa kepada Allah SWT.

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَىٰ وَالْفُرْقَانِ ۚ فَمَنْ شَهِدَ مِنْكُمُ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ ۖ وَمَنْ كَانَ مَرِيضًا أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ ۗ يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ وَلِتُكْمِلُوا الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ(185)

"(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadhan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk itu dan membezakan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa daripada kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadhan (atau mengetahuinya), maka hendaklah dia berpuasa. Sesiapa yang sakit atau dalam musafir (lalu dia berbuka maka wajib baginya berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain (di luar bulan Ramadhan). Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan (dengan ketetapan yang demikian) dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran; dan juga supaya kamu mencukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadhan), serta kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya dan supaya kamu bersyukur". (Al-Baqarah: 185)

KHUTBAH KEDUA

Ya Allah, Engkaulah Tuhan yang Maha berkuasa, kami bersyukur kehadrat-Mu yang telah mengurniakan kami rahmat dan nikmat, sehingga kami dapat meneruskan usaha ke arah memperkukuhkan negara umat Islam khususnya negeri Selangor, sebagai negeri yang maju, sejahtera dan berkebajikan.

Justeru kami pohon kehadrat-Mu ya Allah, tetapkanlah iman kami, tingkatkanlah amal kami, kukuhkanlah perpaduan kami, murahkanlah rezeki kami, kayakanlah kami dengan ilmu yang bermanfaat, suburkanlah jiwa kami dengan budi pekerti yang mulia, kembalikanlah kami ke jalan yang Engkau redhai, lindungilah kami daripada ujian-Mu yang berat seperti kemarau panjang, banjir besar, wabak penyakit, persengketaan, kemiskinan dan lain-lain, supaya dengan demikian, negeri kami akan sentiasa bertambah makmur dan berkat.

Engkau bukakanlah hati umat Islam, khususnya di Negeri Selangor untuk melaksanakan ibadah zakat sebagaimana yang telah Engkau fardhukan di dalam Al-Quran. Berkatilah hidup orang-orang yang melaksanakan tuntutan berzakat, menyayangi fakir dan miskin, sucikanlah harta dan jiwa mereka agar mereka hidup dalam keredhaan-Mu. Kau lindungilah golongan fuqara' dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Demikian jua Ya Allah, tambah dan luaskanlah rezeki orang yang mewakafkan hartanya di negeri ini, limpahkanlah nikmat iman dan kesihatan yang berpanjangan kepada mereka, terimalah wakaf mereka dengan ganjaran pahala yang berkekalan hingga ke hari akhirat.

Khutbah Jumaat Bacaan 17 Ogos 2012


p/s: sumber ::
http://www.jais.gov.my/index.phpoption=com_content&task=view&id=1209&Itemid=70

Friday, August 10, 2012

Tajuk Khutbah: AL QURAN PEGANGAN UMAT ISLAM(10/08/2012)Bersamaan 21 Ramadhan 1433H


Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Marilah kita bertaqwa kepada Allah dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kehidupan kita diberkati dan diberikan balasan yang baik daripada Allah SWT. Kita juga bersyukur ke hadrat Allah SWT. kerana telah dapat melaksanakan ibadah puasa di bulan Ramadhan yang diberkati ini.

Tajuk khutbah kita pada kali ini adalah "Al-Quran Pegangan Umat Islam".

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Al-Quran merupakan kitab Allah yang diturunkan kepada Rasul-Nya Muhammad s.a.w. , kitab yang paling lengkap dan sempurna, dijadikan pegangan umat manusia sepanjang zaman, tanpa mengira bangsa dan warna kulit, di mana jua mereka berada.

Turunnya al-Quran telah mengubah segala sistem yang bertunjangkan kesesatan jahiliah dan kekufuran, dengan nur Islam yang merupakan satu-satunya addin yang diredhai oleh Allah SWT.

Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 185:-

"(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadhan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk itu dan membezakan antara yang benar dengan yang salah".

Alhamdulillah, saya percaya bahawa kita telah berjaya menjalankan program tadarus al-Quran, mudah-mudahan kita dapat mengkhatamkannya dengan sempurna.

Imam at-Tabari rahimahullah, menyatakan bahawa sebaik-baik perhatian hendaklah diberikan ke arah mendalami ilmu al-Quran, di mana pengetahuan tentang al-Quran itu boleh membawa kepada tercapainya matlamat hidup manusia.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Umat Islam wajib menjadikan al-Quran sebagai pegangan hidup, menuju ke arah yang di redhai Allah SWT, kerana fungsi utama al-Quran adalah amat banyak, antaranya:-

1. Al-Quran mengeluarkan manusia daripada kesesatan kepada cahaya keimanan, dengan izin Allah SWT. Firman Allah SWT dalam surah Ibrahim ayat 1:-

"Alif, Lam, Ra; (Kitab) al-Quran yang Kami telah turunkannya kepada engkau (wahai Muhammad), supaa engkau mengeluarkan umat manusia seluruhnya daripada kegelapan (kekufuran) kepada cahaya (keimanan) dengan izin Tuhan mereka ke jalan Allah yang Maha Perkasa Lagi Maha Terpuji".

2. Al-Quran adalah petunjuk ke jalan yang lurus, jalan yang diredhai Allah SWT dan membawa manusia kepada hidup bahagia di dunia dan juga di akhirat. Firman Allah SWT dalam surah al-Isra' ayat 9:-

"Sesungguhnya al-Quran ini menunjuk kepada jalan yang lurus dan memberi berita gembira kepada orang-orang yang beriman, yang mengerjakan amalan soleh bahawa bagi mereka ganjaran yang besar".

3. Al quran juga pemberi penjelasan, petunjuk dan pembawa rahmat serta berita gembira kepada orang-orang Islam.

Firman Allah SWT dalam surah al-Nahl ayat 89:-

"...Dan kami turunkan kepadamu kitab al Quran sebagai penjelasan bagi tiap-tiap sesuatu dan sebagai petunjuk, rahmat dan berita gembira bagi orang-orang Islam".

4. Al-Quran bertindak sebagai kitab yang membezakan antara hak dan batil.

Firman Allah SWT dalam surah al-Furqan ayat 1:-

"Maha Berkat Tuhan yang menurunkan al Quran kepada hamba-Nya (Muhammad), untuk menjadi peringatan dan amaran bagi seluruh alam".

Keseluruhan fungsi tersebut terangkum dalam matlamat al-Quran untuk mengubah umat manusia ke arah mengabdikan diri sepenuhnya kepada Allah SWT.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Al-Quran telah memberi penekanan serius terhadap beberapa aspek penting yang menyentuh kehidupan manusia, seperti aqidah, akhlak, kemasyarakatan, ekonomi dan siasah.

Aqidah adalah agenda utama yang ditegaskan oleh al-Quran untuk menjadi pegangan hidup kepada umat manusia. Al-Quran merupakan sumber aqidah yang menjelaskan hal-hal yang mesti dipercayai dan diyakini. Setiap orang wajib menerima penjelasan aqidah yang diutarakan oleh al-Quran, sebagaimana para sahabat Nabi s.a.w. menerima aqidah Islam tanpa sebarang keraguan, malah mereka telah membuktikan kebenaran aqidah yang diterjemahkan melalui pengorbanan jiwa dan harta benda mereka, demi mempertahankan agama Allah.

Dalam rangka mencorakkan minda pembaharuan, al-Quran mengajak umat manusia supaya mentauhidkan Allah SWT, menggunakan akal fikiran dan pemerhatian terhadap bukti-bukti keEsaan Allah SWT, serta menyekat segala unsur syirik yang boleh merosakan aqidah.

Dalam soal akhlak pula, sebahagian besar isi kandungan al-Quran memfokuskan kepada aspek yang mustahak ini, iaitu sifat mahmudah seperti amanah, ikhlas, berdisiplin, kasih sayang, beradab sopan, pemurah dan sebagainya.

Al-Quran juga amat menekankan peri pentingnya hidup bermasyarakat yang melibatkan hubungan kekeluargaan, kejiranan, hubungan orang Islam dengan bukan muslim. Semua ini mempunyai hak masing-masing yang wajib disempurnakan.

Dalam bidang ekonomi pula, al-Quran memfokuskan kepada pengislahan sikap dan pandangan manusia terhadap harta kekayaan. Islam mengajak umat manusia berjimat cermat, mengelakkan aktiviti ekonomi daripada sumber yang batil (haram) di samping memberi perhatian yang besar terhadap kerjasama masyarakat dalam membangunkan ekonomi dan pembangunan umat manusia.

Dalam aspek siasah dan pentadbiran pula, al-Quran memainkan peranan yang penting dalam kehidupan manusia, malah ia banyak mempengaruhi aspek-aspek kehidupan yang lain. Al-Quran telah menggariskan 5 asas penting berkaitan dengannya, iaitu menjalankan pemerintahan berdasarkan syariah, menegakkan keadilan, mengamalkan konsep syura, mewujudkan kebebasan dan memastikan para pemimpin menjalankan tugas dengan jujur dan amanah.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Al-Quran berperanan menjana minda qurani. Minda qurani merupakan minda yang mempunyai ciri-ciri seperti berikut:-

1. Keimanan

Meletakan iman sebagai asas untuk berfikir. Segala apa yang difikir, direnungi dan diamati tidak terkeluar daripada kerangka keimanannya kepada Allah SWT, di mana proses berfikir dikira satu ‘ubudiah terhadap Allah SWT.

2. Keilmuan

Al-Quran merupakan satu-satunya sumber ilmu berteraskan kebenaran. Segala apa yang terkandung di dalamnya adalah benar kerana ia merupakan kalam Allah. Al-Quran mengajak manusia menggunakan akal untuk mencapai ilmu-ilmu tersebut menerusi proses pembelajaran, pemerhatian, pengkajian dan sebagainya, supaya ilmu yang dicari boleh mendekatkan diri kepada Allah SWT.

3. Keseimbangan

Memfokuskan minda yang seimbang, tidak berat sebelah di mana keperluan duniawi dan ukhrawi mempunyai pertimbangannya dalam Islam. Keperluan rohani dan jasmani juga mengambil tempat yang sewajarnya dalam Islam tanpa sebarang pengabdian atau penafian kedudukan. Semuanya mendapat hak dan pertimbangan yang sewajarnya.

4. Kesesuaian dengan realiti

Berpijak kepada realiti kehidupan manusia di mana ia benar-benar menyentuh dan menjiwai kehidupan manusia. Ia bukan sesuatu yang bersifat khayalan atau sesuatu yang kabur dan tidak dapat difahami. Sebaliknya ia adalah minda yang bergerak aktif, selaras dengan realiti kehidupan manusia sama ada ia berkaitan dengan aspek aqidah, ibadat atau syariat.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Oleh sebab al-Quran itu penting sebagai pedoman hidup, maka pastikanlah tidak ada mana-mana pihak memandang al-Quran secara negatif, seperti ajaran yang dibawa oleh Syed Mohd Al-Masyhur yang diwartakan sebagai ajaran sesat oleh Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor. Syed Mohd Al-Masyhur mengatakan bahawa al-Quran yang ada bukan al-Quran yang sebenar. Al-Quran yang sebenar ada dalam tubuh kita yang diberi nama NUR HAKIM. Al-Quran yang ada sekarang menjadi mansukh dengan NUR HAKIM. Demikian juga ajaran Qadyani mengatakan al-Quran sebenarnya berada di Luh Mahfuz. Tulisan al-Quran adalah ciptaan manusia, boleh membawanya tanpa wuduk. Tariqat Samaniah Imam Bonjol pula mendakwa al-Quran sebagai buku sejarah. Di samping itu, terdapat juga ajaran-ajaran sesat yang menokok tambah isi kandungan al-Quran.

Inilah antara cabaran kita sebagai umat Islam, bersatu untuk menangkis dakwaan ajaran sesat yang sedang mempengaruhi generasi kita. Marilah kita tingkatkan daya usaha untuk memastikan keluarga kita bukan sahaja boleh membaca al-Quran dengan baik, tetapi mampu memahami isi kandungan dan mengamalkannya. Semoga al-Quran menjadi pegangan bagi kita dalam semua aspek kehidupan.

"Ta, Ha. Kami tidak menurunkan al-Quran kepadamu untuk menyusahkanmu. Tetapi untuk menjadi peringatan bagi orang yang takut melanggar perintah Allah".

(surah Taha: ayat 1 - 3)

KHUTBAH KEDUA

Ya Allah, Engkaulah Tuhan yang Maha berkuasa, kami bersyukur kehadrat-Mu yang telah mengurniakan kami rahmat dan nikmat, sehingga kami dapat meneruskan usaha ke arah memperkukuhkan negara umat Islam khususnya negeri Selangor, sebagai negeri yang maju, sejahtera dan berkebajikan.

Justeru kami pohon kehadrat-Mu ya Allah, tetapkanlah iman kami, tingkatkanlah amal kami, kukuhkanlah perpaduan kami, murahkanlah rezeki kami, kayakanlah kami dengan ilmu yang bermanfaat, suburkanlah jiwa kami dengan budi pekerti yang mulia, kembalikanlah kami ke jalan yang Engkau redhai, lindungilah kami daripada ujian-Mu yang berat seperti kemarau panjang, banjir besar, wabak penyakit, persengketaan, kemiskinan dan lain-lain, supaya dengan demikian, negeri kami akan sentiasa bertambah makmur dan berkat.

Engkau bukakanlah hati umat Islam, khususnya di Negeri Selangor untuk melaksanakan ibadah zakat sebagaimana yang telah Engkau fardhukan di dalam Al-Quran. Berkatilah hidup orang-orang yang melaksanakan tuntutan berzakat, menyayangi fakir dan miskin, sucikanlah harta dan jiwa mereka agar mereka hidup dalam keredhaan-Mu. Kau lindungilah golongan fuqara' dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Khutbah Jumaat Bacaan 10 Ogos 2012


sumber:
http://www.jais.gov.my/index.phpoption=com_content&task=view&id=1204&Itemid=70

sahabat masjid imam as-syafie sesi 2013/2014

sahabat masjid imam as-syafie sesi 2013/2014

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...