Wednesday, June 20, 2012

Israk' Mikraj & SMIAS

Bismillah Alhamdulillah

Pusat Islam Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan pengisian halaqah Israk' Mikraj sempena berlansungnya bulan Rejab yang dimuliakan Allah ini pada19th Jun 2012 bersamaan dengan 29th Rejab 1433H.

Perkongsian halaqah ilmu malam itu dipengerusikan oleh Ustaz Mokhtar, memegang taklifan sebagai Imam satu masjid sultan Badlishah.. Pengisian selama sejam itu memberi pemurnian kembali pada ilmu yang sedia ada mengenai peristiwa penting dalam sejarah Islam ini.

Perkongsian mengenai Israk' Mikraj sememangnya memerlukan ilmu yang tinggi dalam menjelaskan maksud tersirat yang banyak sangat terkanung dalamnya, suatu hikmah-hikmah yang diselitkan oleh Allah yang maha bijaksana. Berikut sedikit ringkasan yang pihak kami lakukan daripada curahan ilmu yang diperolehi bagi memudahkan proses pemurnian itu insyaAllah.

PERJALANAN ISRAK'

Sebelum Rasulullah diperjalankan, Malaikat Jibril dan Mikail telah membelah dada/ perut baginda dan disucikan dengan air zam-zam. Dibuang ketulan hitan ('alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan was-was. Kemudian dadanya dijahit semula dan dimaterikan "khatimin nubuwwah" yang bermaksud penutup sekalian kenabian. Rasulullah menunggangi Buraq... yang membawa makna petir/kilat.

Sepanjang perjalanan Israk' itu, ada beberapa point penting yang kita kena "alert" dan "highlight" disini..

>RASULULLAH BERHENTI DI 3 TEMPAT

1.Negeri Thaibah (Madinah) tempat Rasulullah bakal melakukan hijrah
2.Bukit Tursina iaitu tempat nabi Musa a.s menerima wahyu dari Allah
3.Baitul-Laham iaitu tempat kelahiran nabi Isa a.s

Sepanjang perjalanan, Rasulullah diganggu oleh Jin Ifrit yang membawa api bagi memusnahkan Rasulullah namun dengan kekuasaan Allah, Jibril mengajarkan bacaan yang mampu menewaskan Jin Ifrit tersebut.

Antara peristiwa simbolik yang berlaku ada banyak, ana kongsikan dua daripadanya

1. Rasulullah melihat ada sekelompok kaum sedang bercucuk tanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. Tanaman itu kemudiannya tumbuh semula seolah-olah belum dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Jibril memberitahu Rasulullah bahawa "itulah kaum yang berjihad FISABILILLAH yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda.

SubhanAllah ya pembaca yang kami muliakan kerana Allah.. begitu besar sekali pahala yang diberikan, oleh itu, andai dirimu seorang dai'e yang dilemparkan debu caci maki dan sebagainya.. senyumlah kerana Allah menjanjikan ini untuk para pembela fisabilillah.

2. Mereka yang memecahkan kepala mereka kemudian kepala itu tumbuh kembali dan mereka memecahkan lagi kepala mereka dan dilakukan berulang-ulang kali. Jibril memberitahu kepada Rasulullah bahawa itu adalah mereka yan gbegitu berat untuk bersujud kepada Allah yakni meringan-ringankan solat..
Rasulullah kemudiannya tiba di Masjid Al-Aqsa di Palestin, bumi barakah yang pernah menyaksikan pemerintahan agung seorang nabi Allah yang memerintah empayar kerajaan dunia. Rasulullah menjadi Imam kepada sekalian nabi-nabi dan rasul sebelum baginda yang mana simbolik pada peristiwa ini, Rasulullah merupakan PENGHULU kepada sekalian nabi dan rasul yang Allah utuskan sejak ribuan tahun yang lampau.

Satu ketika Rasulullah merasa dahaga dan Jibril membawakan dua bejana yang berisi arak dan susu. Rasulullah memilih susu yang sesuai dengan fitrah kita. Ustaz mokhtar tekankan kepada hadirin jemaah malam itu

"Rasulullah memilih meminum susu dan Jibril berkata jika Rasulullah memilih arak nescaya akan ramai umat baginda yang akan sesat.. zaman kini, kita melihat begitu ramai pihak yang sesat dan Rasulullah sudah bersabda bahawa kita akan terbahagi kepada 73 kelompok yang mana 72 kelompok akan memasuki neraka. Cuba bayangkan itu Rasulullah pilih susu.. jika Rasulullah memilih arak??"

Nauzubillah min zaliq... sekadar mencetus fikiran kritis.
PERJALANAN MIKRAJ

Secara ringkasnya Rasulullah menaiki semua tingkat langit dan bertemu dengan nabi-nabi yang telah ditetapkan oleh Allah yang juga sebenarnya merupakan simbolik apa yang bakal berlaku kepada baginda.

Langit Pertama : Rasulullah bertemu dengan nabi Adam
Langit kedua : Baginda bertemu dengan nabi Isa a.s dan nabi Yahya A.s
Langit ketiga : Pertemuan antara nabi Yusuf dengan Rasulullah.. Rasulullah terpegu dengan keindahan wajah lelaki itu yang akhinya memperkenalkan dirinya sebagai nabi Yusuf...

Langit keempat : Rasulullah bertemu dengan nabi Idris a.s, manusia yang pertama menguasai pena dan dimuliakan oleh Allah kedarjat yang tertinggi

Langit kelima : Rasulullah bertemu dengan nabi Harun
Langit keenam : Beliau bertemu dengan nabi Musa
Langit ketujuh : Rasulullah bertemu dengan nabi Ibrahim Khalilullah

Dilangit ketujuh ini Nabi Ibrahim memberi tanaman Syurga kepada Rasulullah untuk kita umatnya..

>SubhanAllah,
>Walhamdulillah,
>Wa la ila haillAllah
>Allahuakhbar
>La haulawala quwatta illa billahil Azim
Rasulullah akhirnya tiba di pucuk Sidratul Muntaha yang Jibril sendiri tidak boleh melaluinya.SubhanAllah sahabat-sahabat semua.. kemudiannya Rasulullah tiba di destinasi terakhir iaitu di Hadratul-Qudus dan Hadrat Rabbul Arbab.. Rasulullah bersujud melihat zat Allah. Disini, sesi dialog antara Rasulullah dan Allah bermula

Allah s.w.t : Ya Muhammad
Rasulullah s.a.w : Labbaika
Allah s.w.t : Angkatlah kepalamu dan bermohonlah.. KAMI perkenankan

Rasulullah s.a.w : Ya Rabb, engkau telah mengambil Ibrahim sebagai Khalil, Engkau berkata-kata dengan Musa. Engkau memberikan Daud kerajaan yang besar dan mmapu melembutkan besi. Engkau kurniakan kerajaan Sulaiman yang Engkau tidak kurniakan kepada sesiapapun dan memudahkan Sulaiman menguasai Jin, manusia, binatang dan angin. Engku ajarkan Isa "taurat dan Injil". Dengan izinMU dia dapat menyembuhkan orang buta, orang Sufaq dan menghidupkan mereka yang mati. Engkau lindungi dia dan ibunya dari Syaitan.

Allah s.w.t : Aku mengambil mu sebagai kekasihku (Habiburahman). Aku perkanankan dirimu sebagai penyampai berita baik dan amaran kepada umatmu. Aku buka dadamu dan buangkan dosamu. Aku jadikan umatmu sebaik-baik umat. Aku beri keutamaan dan keistimewaan padamu diakhirat kelak. Aku kurniakan 7 ayat dari bawah Arsy yang tidak pernah ku berikan kepada para nabi dan rasul sebelummu. Aku berimu ayat-ayat akhir dari surah Al-Baqarah sebagai suatu perbendaharaan dibawah Arsy. Aku berikan habuan daripada kelebihan Islam, hijrah, sedekah dan amal Makruf nahi Munkar. Aku kurniakan panji-panji Liwa-ul-Hamd. Maka Adam dan semua lainnya dibawah panji-panjimu. Dan AKu fardhukan kepadamu dan umatmu 50 (waktu) sembahyang
Seperti kita sedia maklum, nabi Musa kemudiannya meminta Rasulullah untuk naik semula menghadap Allah untuk minta dikurangkan waktu soalt itu hinggalah menjadi 5 waktu yang ada sekarang dan pahalanya menyamai dengan solat 50 waktu. Seorang sahabat berkongsi ilmu yang diperolehinya iaitu antara lain hikmah nabi Musa meminta Rasulullah naik menghadap Allah, semakin kerap Rasulullah menghadap Allah, semakin berseri dan bercahaya wajah Rasulullah..

Pandangan ulama kontemporari Syeikh Dr.Yusuo Al-Qaradhawi

"melalui Israk Mikraj, kita boleh fokuskan kepada dua perkara penting iaitu masjid Al-Aqsa dan masjidil Haram. Dimana kedua tempat ini merupaka simbol kepimpinan Rasulullah dan titik tolak kejayaan Islam itu sendiri. Oleh itu ianya hak setiap individu Muslim"
Alhamdulillah semuanya selesai juga dan harapnya pemurnian ini dapat iambil ikhtibar oleh kita semua. Seperti biasa, tidak sah majlis tanpa ada sedikit jamuan untuk para hadirin jemaah yang dimuliakan Allah. SubhanAllah manisnya suasana ini.. bak kata seorang sahabat dari Indonesia "WAH...ASYIK" ^^

Ceramah Israk' Mikraj 2012
29th Rejab 1433 = 19/06/2012

Tuesday, June 19, 2012

Ukhwah Seperti CHICKEN CHOP

Bismillah Alhamdulillah

Bulan Rejab kini berada dipenghujungnya dan bakal meninggalkan kita semua. Alhamdulillah bagi yang belum sempat meraih lombong pahala dibulan Rejab, inilah kesempatan dibulan Syaaban nanti insyaAllah.

Kesibukan dengan bulan peperiksaan menjadi kekangan dalam menintakan pena didalam blog ini, Alhamdulilah Allah permudahkan segalanya. Petang ini ana ada paper tapi hati ini terpanggil untuk berkongsi sedikit perkongsian. Moga bermanfaat insyaAllah

Pernah Antum semua makan CHICKEN CHOP???

[...Chicken Chop Versi SMIAS...]


Apa yang ada kat hidangan itu? Ya.. ayam, fries, bun, coleslaw dan seasoning dip. Itu yang menjadikannya sedap. Berbalik pada tajuk entri diatas, ukhwah seperti CHICKEN CHOP… betul ke?

Sebelum tu, Jom kita renung sejenak firman Allah

“sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara, kerana itu damaikanlah antara kedua saudaramu dan bertakwalah kepada Allah agar kamu beroleh rahmat”

[Al-Hujurat :10]


Pengajaran yang ingin disampaikan melalui surah ini ialah penegasan bahawa orang-orang yang mukmin itu ialah bersaudara. Orang-orang yang beriman itu sedar konsep Brother hood dalam Islam itu penting dan merupakan kekuatan ummah. Ana ingin memetik pesan seorang sahabat ana “Ikatan persaudaraan Islam itu perlu diutamakan lebih daripada ikatan-ikatan yang lain” – de’Tetouanz (bidang Usuluddin, Universiti Al-Qarawiyyin).

Ikatan persaudaraan ukhwah dalam Islam termasuklah :

- 1. Kasih sayang

- 2.Tolong menolong tanpa diskriminasi kelas

- 3.Tanpa tipu menipu

4.Tiada tindas menindas

Dari Abu Musa Al-Asha’ri, Rasulullah S.A.W. bersabda:

“Orang beriman itu ibarat sebuah bangunan, setiap satu menyokong yang lainnya” (riwayat Bukhari dan Muslim)

Dari Anas bin Malik, Rasulullah S.A.W. bersabda:

“Tidak beriman (dengan iman yang sempurna) sesiapa di antara kamu sehingga dia mencintai saudaranya sebagaimana dia mencintai dirinya” (riwayat Bukhari dan Muslim).

Dari Abu Ayub Al-Ansari bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda:

“Tidak boleh seorang muslim itu memutuskan hubungan dengan saudaranya lebih dari tiga malam dengan berpaling daripadanya bila bertemu, sesungguhnya yang terbaik antara keduanya adalah yang dahulu memberi salam” (riwayat Bukhari dan Muslim)

Ukhwah CHICKEN CHOP

Untuk menyiapkannya, perlu pelbagai ramuan khusus dan kombinasi pelbagai untuk mewujudkan hidangan “western” yang super marvelous ini. Begitu juga dianalogikan kita selaku sahabat seperjuangan terutama dalam SMIAS.. Mt mahupun Exco.. saling melengkapkan seperti sedapnya CHICKEN CHOP petang itu

Moga Ukhwah kita kekal insyaAllah..

Thursday, June 7, 2012

Travelog Ulama : Susuk lumpuh yang digeruni Yahudi


Bismillah Alhamdulillah


Isu palestin bukanlah isu yang bermusim. Ianya isu global saudara-saudara seagama kita disana. Menyingkap kisah tanah para anbiya itu yang pernah menjadi tapak pemerintahan dunia dibawah pemerintahan nabi Sulaiman, begitu banyak tokoh-tokoh dan ulama Islam yang dilahirkan. Untuk kali ini, kami perkenalkan antum semua dengan tokoh yang memiliki sosok tubuh lumpuh namun digeruni oleh Yahudi laknatullah.

Pahlawan di atas kerusi roda

Syeikh Ahmad Yasin atau nama penuhnya Ahmed Ismail Hassan Yassin dilahirkan pada tahun 1938 di sebuah kampung bernama al Jora, daerah Majdal dalam wilayah Asqalan. Beliau dibesarkan di sana sehingga tahun 1948. Ayahnya bernama Abdullah Yassin. Beliau menjadi anak yatim ketika berusia tiga tahun dan mempunyai empat saudara lelaki dan dua saudara perempuan. Syeikh Ahmad Yasin dan seluruh keluarganya melarikan diri ke Gaza dan menetap di Kamp al-Shati semenanjung Gaza, setelah desa tempat kelahirannya dijajah tentera Israel semasa Perang Arab-Israel pada 1948.

Kemuliaan Adalah Dengan Bersama Islam

Beliau adalah seorang pelajar yang cemerlang dalam pelajaran dan amat disayangi oleh guru-guru semasa di sekolah. Beliau juga seorang ahli sukan yang aktif pada zaman sekolah. Pada zaman muda, beliau telah terjatuh semasa beriadah dan menyebabkan beliau lumpuh pada bahagian kakinya. Keadaan yang lumpuh itu tidak menghalang beliau meneruskan kecemerlangan dalam bidang pelajaran dan kegiatan Islam. Pada tahun 1964, beliau melanjutkan pelajaran ke Universiti Ain Shams di Kaherah, namun tidak berjaya meneruskan pengajiannya kerana telah dipenjara oleh pihak Berkuasa Mesir selama sebulan di atas penglibatannya dengan pertubuhan Ikhwan Muslimin pada tahun 1966. Lebih dasyat lagi beliau telah dihantar pulang oleh pihak Berkuasa Mesir ke Gaza tanpa sempat menyelesaikan kuliahnya .

Ketika kembali ke Gaza, beliau tidak pernah berhenti dari meneruskan kegiatan dakwahnya. Beliau tetap aktif dengan menjadi tenaga pengajar Bahasa Arab dan juga khatib di Masjid Gaza. Khutbah-khutbah beliau telah berjaya membangkitkan semangat umat Islam Palestin untuk melawan pendudukan regim Zionis pada tahun 1967. Dalam suatu khutbahnya, Syeikh Ahmad Yasin pernah berkata:

Umat ini tidak akan pernah memiliki kemuliaan dan meraih kemenangan kecuali dengan Islam. Tanpa Islam tidak pernah ada kemenangan. Kita selamanya akan selalu berada dalam kemunduran sampai ada sekelompok orang dari umat ini yang siap menerima panji kepimpinan yang berpegang teguh kepada Islam, baik sebagai cara hidup,sahsiah, pergerakan, pengetahuan, mahupun jihad. Inilah satu-satunya jalan. Pilih Allah atau binasa!

Dan Allah tidak menjadikan pemberian bala-bantuan itu melainkan sebagai khabar gembira bagi (kemenangan) mu, dan agar tenteram hatimu kerananya. Dan kemenanganmu itu hanyalah dari Allah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.(Al-Imran: 126)

Qudwah Umat


Syeikh Ahmad Yasin juga aktif dalam kegiatan kebajikan umat Palestin. Pada tahun 1973, beliau bersama sahabat-sahabatnya telah menubuhkan sebuah pertubuhan kebajikan yang menjaga kebajikan pelarian-pelarian Palestin yang diberi nama Mujamma Al-Islam yang bermaksud Akademi Islam. Melalui pertubuhan ini, beliau aktif membangunkan masjid-masjid, serta membina imam-iman dan para khatib muda untuk menjadi hujung tombak dalam perjuangan Palestin melawan pendudukan regim Israel. Pertubuhan ini juga aktif menyantuni golongan yang miskin di samping mengurus pendidikan anak-anak Palestin sehingga ke peringkat universiti. Beliau aktif mendidik dan membina generasi muda Palestin untuk berjihad melawan regim Zionis.

Syeikh Ahmad Yasin bukan sahaja dihormati dan dikagumi oleh umat Islam Palestin dan antarabangsa, bahkan juga amat dihormati oleh penganut agama lain. Suatu ketika ada seorang penganut Kristian di kota Ramallah bernama Bassam Hana Rabbah datang menemui Syeikh Ahmad Yasin untuk mengadukan permasalahannya kerana ada seseorang di Gaza melakukan penipuan terhadap dirinya. Syeikh Ahmad Yasin yang juga pimpinan Dewan Islah (perdamaian) dengan bijaksana mampu mendamaikan antara Bassam Hana Rabbah seorang Kristian dengan seseorang yang telah melakukan penipuan. Kata Hana Rabbah; “Beliau menguruskan permasalahan aku dengan benar dan serius, bahkan mampu bersikap adil terhadapku. Hak-hak aku pun telah dikembalikan untuk aku nikmati. Sebagai tanda terima kasih, sebahagian hartaku diberikan kepada Dewan Islah.”

Sebagai seorang kepimpinan Islam dan tokoh umat, kehidupan Syeikh Ahmad Yasin cukup bersederhana. Anak perempuannya, Mariyam Ahmad Yasin telah menceritakan tentang corak kehidupan ayahnya:

“Rumah ayah terdiri dari 3 bilik dengan jendela yang sudah rapuh. Rumah ini sangat sederhana sekali. Ini fakta bahawa ayahku tidak mencintai dunia, namun cintakan akhirat .Ramai yang menawari beliau untuk memiliki sebuah rumah besar seperti para kepimpinan negara yang lain, namun ditolaknya. Bahkan pernah suatu ketika, kerajaan Berkuasa Palestin memberikan sebuah rumah besar di suatu kampung mewah di Gaza, Namun tawaran itupun di tolaknya, dan ayah tidak peduli dengan perbagai bentuk tawaran kesenangan duniawi. Rumah kami sangat sempit. Tidak ada lantai, dapurpun ala kadarnya. Jika musim dingin, kami kedinginan. Namun jika musim panas tiba, kami pun kepanasan. Ayah sama sekali tidak memikirkan untuk menambah besar rumahnya. Ayah justeru sibuk mempersiapkan rumah di akhiratnya. Walau apapun keadaan kami, Alhamdulillah, kami cukup sabar, kerana kami percaya, InsyaAllah, kami akan melihatnya lagi di syurga-Nya nanti. Untuk itulah kami juga sangat berharap beroleh mati syahid seperti beliau.”

Jihad Adalah Jalan Pilihan


Syeikh Ahmad Yasin amat sinonim dengan perjuangan jihad membebaskan tanah air Palestin dan bumi Al Aqsa. Memandangkan situasi Palestin saat itu berterusan dizalimi oleh Zionis Israel sehingga menuntut mereka untuk berjihad melawan penjajah, Syeikh Ahmad Yasin bersama sahabat-sahabatnya menubuhkan sebuah gerakan jihad yang dinamakan al-Mujahidun al-Falastiniyun pada tahun 1982. Walaupun dirinya lumpuh, ianya tidak menjadi penghalang kepada beliau mendidik dan membina generasi pejuang Palestin bagi berhadapan dengan penjajah Zionis.

Pada tahun 1983, beliau menjawat jawatan sebagai pengarah pusat Islam di Gaza, beliau telah ditangkap dan dipenjarakan oleh Mahkamah Tentera Israel selama 13 tahun atas dakwaan cubaan menjatuhkan kerajaan Zionis Israel. Namun pada tahun 1985, hasil daripada proses pertukaran tahanan di antara PLO dan regim Israel, beliau dibebaskan selepas menjalani hukuman penjara selama 11 bulan.

Pada tahun 1987, Syeikh Ahmad Yasin dan sahabat-sahabatnya telah menubuhkan Gerakan Pembebasan Islam yang dikenali sebagai HAMAS bagi memerdekakan Palestin dan Masjid Al Aqsa. HAMAS telah memulakan corak penentangan cara baru iaitu dengan mengadakan demonstrasi jalanan dan pertempuran secara bersemuka dengan pihak tentera Zionis. Kebanyakan ahli pergerakan ini dihasilkan dari masjid-masjid dari kalangan orang-orang muda yang dikenali dengan nama Atfal Hijarah (Kanak-kanak Batu). Ruhul jihad yang telah ditanamkan oleh Syeikh Ahmad Yasin kepada generasi muda Palestin melalui proses tarbiyah yang tersusun, telah mencetuskan kebangkitan umat Palestin melawan penjajahan Zionis Israel. Pada Disember 1987, gerakan massa yang dipelopori anak muda Palestin telah mencetuskan gerakan Intifadhah yang bermodalkan batu melawan tentera regim Israel yang lengkap dengan senjata canggih.

Usaha untuk memenjarakan Syeikh Ahmad Yasin oleh regim Zionis Israel tidak pernah padam untuk menghentikan usaha jihad beliau dan HAMAS. Pada 19 Mei 1989, beliau telah ditangkap oleh pasukan rahsia Israel. Kemudian pada 16 Oktober 1991, Syeikh Ahmad Yasin dijatuhi hukuman penjara seumur hidup ditambah 15 belas tahun lagi oleh Mahkamah Tentera Israel. 1 Oktober 1997, beliau dibebaskan dari penjara Israel akibat tekanan dan ketakutan regim Israel dengan penentangan yang semakin kuat dari HAMAS dan masyarakat antarabangsa.

Kesan dari penahanan tersebut beliau telah mengalami lumpuh seluruh tubuh kecuali kepalanya sahaja. Beliau juga mengalami kehilangan penglihatan mata kanannya dan juga kekaburan penglihatan pada mata kirinya selain daripada masalah pendengaran akibat tekanan dan deraan yang dikenakan ke atasnya. Sepanjang tempoh itu juga beliau dihidapi jangkitan pada paru-parunya dan juga kerosakan pada abdomennya. Keadaan kesihatannya yang semakin parah itu telah memaksa pihak penjara terpaksa membawanya berulang-alik ke hospital untuk mendapatkan rawatan.Sejurus pembebasannya Syeikh Ahmad Yassin kembali memainkan peranannya sebagai pemimpin agama bagi gerakan HAMAS yang semakin mendapat tempat di hati rakyat Palestin dan juga semakin digeruni oleh rejim Zionis. September 2000 telah menyaksikan tercetusnya Intifadah kali kedua selepas perdana menteri rejim Zionis, Ariel Sharon telah mencemarkan Masjid al-Aqsa bersama 200 tenteranya.

Sekali lagi Syeikh Ahmad Yassin telah berjaya membangkitkan rakyat Palestin untuk bangun berjuang menentang kegilaan rejim Zionis. Impaknya amat besar kepada rejim Zionis. Kerugian harta dan nyawa yang dialaminya adalah yang paling teruk dalam 50 tahun penubuhan Negara haram Israel. Penentangan berlaku tiap-tiap hari tanpa menunjukkan rasa menyerah kalah. Hasilnya,pelbagai usaha dilakukan oleh pihak rejim Zionis demi mengekang kemaraan rakyat Palestin. Antaranya menyerang bandar-bandar, membunuh orang-orang awam, membina tembok pemisah, membunuh pejuang-pejuang Palestin dan pemimpin-pemimpin mereka.

Hasil dari kegilaan tersebut, beberapa pemimpin pejuang Palestin telah berjaya menemui syahid dibunuh oleh rejim Zionis dengan menggunakan jet-jet pejuang, helikopter dan juga kereta-kereta kebal mereka. Antaranya Salah Shahadah, Ismail Abu Shanab dan lain-lain lagi

Pada 6 September 2003, sebuah helikopter Apache milik tentera regim Zionis membedil dan merobohkan rumah beliau. Namun beliau telah terselamat dan mengalami kecederaan ringan di tangan kanannya. Namun pada Subuh 22 Mac 2004, tentera Israel sekali lagi melancarkan serangan ke atas beliau. Semasa dalam perjalanan pulang dari masjid selepas solat Subuh berjamaah, tiga buah roket dilancarkan ke atas beliau yang lumpuh itu dan mengorbankan Syeikh Ahmad Yasin serta empat yang lain, termasuk anaknya sendiri, Abdul Ghani.

Bintang Itu Tetap Menyinar


Syeikh Ahmad Yasin telah meninggalkan medan perjuangannya. Namun ketiadaan beliau tidak menghentikan semangat dan perjuangan para pewarisnya di bumi Palestin. Menurut Syeikh Saud Abu Mahfuz, Ketua Jawatankuasa Gabungan Antarabangsa Untuk Al Aqsa, melalui proses tarbiyah dan ruh Al-Quran yang dibangkitkan oleh Syeikh Ahmad Yassin sejak 50 tahun yang lalu, kini Gaza adalah kota Islam yang terbanyak melahirkan ribuan para penghafal Quran.

Menurutnya, tidak kurang ada 60,000 hafiz al-Quran di Jalur Gaza. Selain itu, bandar Gaza yang terus dikepung oleh regim Israel dengan dukungan Barat ini juga menjadi bandar terkecil dengan jumlah masjid yang terbanyak di Timur Tengah. Menariknya, kini hampir 100% wanita Muslimah di Gaza telah berjilbab. Semua ini terjadi, ujar Syeikh Saud, kerana berjalannya proses tarbiyah berpaksikan al-Quran.

As syahid Syeikh Ahmad Yasin, pergimu meninggalkan kesan buat kami yang masih berbaki lagi. Mampukah kami meneladani kehidupanmu? Dr. Asy-Syahid Abdul Aziz ar-Rantisi, anak didik kepada Syeikh Ahmad Yasin mengatakan, Syeikh Ahmad Yasin adalah simbol Islam yang besar ketika hidup. Dengan gugurnya beliau, ia menjadi guru unik dan paling menonjol dalam sejarah umat yang besar. Tidak ada sejarah seperti yang diukir Syeikh Yasin, dimana pemimpin yang lemah (dari segi fizikal) mampu mengubah menjadi kekuatan. Ia adalah pemimpin yang tidak pernah percaya dengan kelemahan mutlak seharipun bagi manusia atau dengan kekuatan mutlak selama ia masih bernama makhluk.

Berani, optimis, dan berjihad, sikap inilah yang telah diajarkan oleh beliau kepada kita. Naluri kepahlawanan itulah yang dimiliki oleh beliau dan ingin diwariskan kepada kita. Sesungguhnya pekerjaan-pekerjaan besar dalam sejarah ini hanya dapat diselesaikan oleh mereka yang memiliki naluri kepahlawanan sejati berpaksikan keimanan kepada Allah. Tentangan-tentangan dan cabaran besar dalam sejarah hanya dapat dijawab oleh mereka yang memiliki jiwa kepahlawanan yang cintakan akhirat dan syurga Allah SWT semata. Dan Syeikh Ahmad Yasin telah mencontohkan kepada kita, bahawa semangat perjuangan dan kepahlawanan kan tetap bergelora meskipun keterbatasan melanda diri.

Diantara orang-orang beriman itu ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah; maka diantara mereka ada yang gugur dan diantara mereka ada (pula) yang menunggu-nunggu (sampai saat kemenangan), dan mereka sedikitpun tidak merubah janjinya.” (Al-Ahzab: 23)


Pesanan as Syahid

Akhir bicara sempena memperingati perjuangan Syeikh Ahmad Yasin, dilampirkan pesanan beliau buat tatapan kita bersama, semoga memberi inspirasi ruhiyah buat para pemuda pemudi Islam yang cintakan perjuangan al haq;

1. Wahai anak-anakku, telah tiba saatnya kalian kembali kepada Allah SWT, meninggalkan pelbagai sorak kehidupan dan menyingkirkannya ke tepi jalan.

2. Telah tiba saatnya kalian bangun dan melakukan solat subuh berjamaah

3. saatnya kalian menghiasi diri dengan akhlak mulia,

4. mengamalkan kandungan Al Qur’an, serta meneladani nabi Muhammad SAW

5. Aku mengajak kalian wahai anak-anakku untuk solat tepat pada waktunya.

6. Lebih dari itu, aku mengajak kalian, wahai anak-anakku, untuk mendekatkan diri kepada sunnah Nabi kalian yang agung.

7. mengenal dan menyedari makna tanggungjawab tetap utuh menghadapi kesulitan hidup, meninggalkan keluh kesah,

8. menghadap kepada Allah SWT, banyak meminta ampunan kepada-Nya agar Dia memberi rezeki kepada kalian,

9. menghormati yang tua dan menyayangi yang muda.

10. tidak sibuk dengan muzik dan tidak terjerumus ke dalam arus syahwat. Aku ingin kalian tidak terlena oleh saluran-saluran lagu audio visual, melupakan kata-kata yang membisikan cinta nafsu, serta menggantinya dengan kata amal, kerja, dan zikir kepada Allah.

11.Wahai puteriku, aku ingin kalian berjanji kepada Allah mempergunakan hijab secara benar.

12.Aku meminta kalian berjanji kepada Allah peduli dengan agama dan Nabi kalian yang mulia.

13. Jadikanlah ibunda kalian, Khadijah dan Aisyah, sebagai teladan. Jadikan mereka sebagai pelita hidup kalian. Haram hukumnya bagi kalian membuatkan mata para pemuda menjadi kendur dan surut tatkala melihat aksi kalian.

14. bersiap-siap menghadapi segala sesuatu yang akan datang.

15. Bersiaplah dengan agama dan ilmu pengetahuan. Bersiaplah untuk belajar dan mencari hikmah. Belajarlah bagaimana hidup dalam kegelapan yang pekat. Latihlah diri kalian agar dalam beberapa saat hidup tanpa elektrik dan tanpa kebergantungan dengan kemudahan elektronik. Latihlah diri kalian agar dalam sementara waktu merasakan kehidupan yang keras.

16. Biasakan diri kalian agar dapat melindungi diri dan membuat perancangan untuk masa depan. Berpeganglah kepada agama kalian. Carilah sebab-sebabnya dan tawakallah kepada Allah.”


edited : nature mujahid

sumber : [Http://palestinkini.info], [Http://langitilahi.com], [Http://detikislam.blogspot]

[http://naturemujahid.blogspot.com/2012/04/bermusimkah-palestine.html]


Wednesday, June 6, 2012

Travelog Ulama : Ibnu Ulwan permata SYRIA


Bismillah Alhamdulillah

Sesiapa yang meminati buku tarbiah dan perbincangan permasalahan moden sudah pasti baginya tidak asing dengan tokoh ini. Setiap tulisan yang dihasilkan oleh beliau bukanlah sekadar tulisan biasa, ianya adalah tulisan yang lahir dari hati yang ikhlas kepada Allah, tulisan yang mempunyai nilai tarbiah yang sangat tinggi. Mempunyai matlamat yang besar dalam bidang penulisan. Dr. Yusuf al Qaradhawi menyatakan bahawa Dr. Abdullah Nasih Ulwan adalah seorang ulama yang sangat dikagumi dari sudut perjuangan dan tulisannya, apa yang ditulis menggambarkan peribadinya yang sangat luhur dan murni.

Kita juga sering alert pada isu Syria... ulama ini merupakan kelahiran negara saudara kita disana...


Dr Abdullah Nasih Ulwan dilahirkan pada tahun 1928 di Daerah Qadhi Askar yang terletak di Bandar Halb, Syria.

Beliau dibesarkan di dalam keluarga yang berpegang teguh pada agama dan mementingkan akhlak Islam dalam pergaulan dan muamalat sesama manusia. Ayahnya, Syeikh Said Ulwan adalah seorang yang dikenali di kalangan masyarakat sebagai seorang ulama dan tabib yang disegani.

Selain dari menyampaikan risalah Islam di seluruh pelusuk Madinah Halb, beliau juga menjadi tumpuan untuk mengubat pelbagai penyakit dengan ramuan akar kayu yang dibuat sendiri. Ketika merawat pesakit, lidahnya sentiasa membaca al Quran dan menyebut nama Allah.

Syeikh Said Ulwan sentiasa mendoakan semoga anak-anaknya lahir sebagai seorang ulama ‘murabbi’ yang dapat memandu masyarakat. Allah memperkenankan doa beliau dengan lahirnya Dr Abdullah Nasih Ulwan sebagai ulama (‘murabbi’) pendidik rohani dan jasmani yang disegani ini.

PENDIDIKAN

Dr Abdullah Nasih Ulwan mendapat pendidikan peringkat rendah (ibtidaei) di Bandar Halib. Setelah berusia 15 tahun, Syeikh Said Ulwan menghantar beliau ke Madrasah Agama untuk mempelajari ilmu agama dengan cara yang lebih luas. Ketika itu, beliau sudah menghafal al Quran dan sudah mampu menguasai ilmu bahasa arab dengan baik. Semasa di madrasah, beliau menerima asuhan dari guru-guru yang mursyid. Beliau sangat mengkagumi Syeikh Raghib al Tabhakh, seorang ulama hadis di Bandar Halb. Beliau sangat cemerlang dalam pelajaran dan sentiasa menjadi tumpuan rujukan rakan-rakan di madrasah, beliau juga seorang yang aktif dalam persatuan dengan berkebolehan berpidato dan mengetuai skuad penerbitan yang bertanggungjawab menerbitkan sebaran ilmiah kepada masyarakat sekitar.

Beliau dikenali sebagai seorang yang sangat berani pada kebenaran serta mempunyai kemahiran dalam pergaulan dan dakwah. Semasa usia remaja beliau sudah terkesan dengan bacaan tulisan ulama-ulama sanjungan di waktu itu seperti Dr. Syeikh Mustafa al Sibaei.

Pada tahun 1949 beliau memperolehi sijil menengah agama yang melayakkan beliau melanjutkan pelajaran di salah sebuah pusat pengajian di Mesir dalam bidang Syariah Islamiah.

Dr Abdullah Nasih Ulwan memasuki Universiti al Azhar pada tahun berikutnya dan memperolehi ijazah pertama dalam Fakulti Usuluddin pada tahun 1952, seterusnya beliau memperolehi takhassus pendidikan dan tarbiah pada tahun 1954. Semasa berada di Mesir beliau banyak menghadiri Majlis perbincangan ulama-ulama dan mendekati gerakan Islam.

Dr Abdullah Nasih Ulwan memperolehi Ijazah Kedortoran dari Universiti al Sand Pakistan pada tahun 1982 dengan tesis yang bertajuk “feqh Dakwah wa al Daeiah”.

PERKHIDMATAN

Dr Abdullah Nasih Ulwan memulakan khidmat sepenuh masa sebagai pendakwah setelah pulang dari al Azhar. Beliau telah dilantik sebagai guru sebuah Kolej di Bandar Halb. Beliaulah orang yang pertama memperkenalkan mata pelajaran Tarbiah Islamiah sebagai matapelajaran asas dalam sukatan pembelajaran di Kolej berkenaan. Seterusnya matapelajaran Tarbiah Islamiah ini menjadi matapelajaran teras yang wajib diambil oleh penuntut-penuntut menengah di seluruh Syria. Beliau telah meletakkan matlamat perguruan sebagai senjata tarbiah yang sangat berkesan dalam mendidik generasi negara akan datang. Prinsip yang digunapakai ialah guru sebagai ibubapa kepada pelajar, mendidik mereka seperti mendidik anak-anak sendiri. Beliau telah meletakkan matlamat yang sangat tinggi dalam pendidikan, iaitu membawa dan membimbing pelajar ke arah mencintai Islam dan beramal dengannya serta sanggup melakukan apa sahaja untuk memenangkan Islam.

Semasa menjadi guru di kolej berkenaan, Dr. Abdullah Nasih Ulwan telah menerima pelbagai jemputan menyampaikan kuliah dan syarahan di merata tempat, di samping menjadi pensyarah jemputan di beberapa buah Universiti di Syria. Tidak pernah mengenal penat dan letih untuk menyebarkan risalah Allah. Sepenuh masanya diberikan untuk dakwah Islamiah. Masjid-masjid di Daerah Halb sentiasa melimpah dengan orang ramai yang datang untuk mendengar kuliahnya, di mana sahaja beliau pergi menyampaikan ceramah dan kuliah pasti dibanjiri ribuan manusia. Masyarakat yang dahagakan ilmu pengetahun dan tarbiah Islamiah akan menjadikan beliau sebagai tempat rujukan.

Dr Abdullah Nasih Ulwan turut berjuang menghapuskan fahaman jahiliyyah dalam pemikiran masyarakat dengan suluhan cahaya hidayah rabbani. Beliau telah menggunakan Masjid Umar bin Abd Aziz sebagai markaz tarbiah generasi pemuda di Syria. Kuliah yang disampaikan di masjid ini ialah Feqh, Tafsir dan Sirah. Di samping memberi kuliah pengajian, Dr. Abdullah Nasih Ulwan telah mendidik pemuda-pemuda dengan kemahiran pidato dan penulisan serta kemahiran uslub berdakwah.

Hasil daripada tarbiah ini, lahirlah ratusan generasi muda yang berakhlak mulia dan menjadi agen penggerak dakwah Islamiah di Syria.

Walaupun sibuk dengan tugas menyampaikan risalah Islam di merata tempat, Dr Abdullah Nasih Ulwan juga sangat dikenali di kalangan masyarakat tempatan sebagai seorang yang berbudi luhur. Menjalinkan hubungan baik sesama anggota masyarakat dan sentiasa menjalankan khidmat masyarakat apabila diperlukan. Beliau juga mempunyai hubungan yang sangat erat dengan ulama-ulama Syria serta menganggotai Majlis Ulama Syria. Beliau sangat dihormati di kalangan mereka.

Beliau adalah seorang yang bergiat cergas dalam gerakan Islam, mengabdikan diri untuk dakwah dan ber­gabung dengan lkhwanul Muslimin. Beliau berhubung erat dengan Asy-Syahid Abdul Qadir `Audah, Sayyid Qutb dan Al-Ustaz Abdul Badi' Shaqar (Rahimahumullah Jami'an).

Sesiapa sahaja yang menelusuri denai dakwah Islamiah pasti akan diuji oleh Allah, ujian untuk membuktikan kebenaran dakwah yang di bawa serta menambahkan keyakinan dan pergantungan yang utuh hanya kepada Allah. Allahlah yang berhak memberi nusrah kepada sesiapa yang dikehendaki. Dr Abdullah Nasih Ulwan juga menerima ujian ini, sehingga memaksa beliau meninggalkan Syria pada tahun 1979 menuju ke Jordan. Semasa di Jordan beliau terus menjalankan peranan sebagai daei. Menyampaikan kuliah dan syarahan di merata tempat. Menerima undangan di masjid-masjid, perayaan hari kebesaran Islam dan ceramah umum.

Beliau meninggalkan Jordan pada tahun 1980 setelah mendapat tawaran sebagai pensyarah di Fakulti Pengajian Islam Universiti Malik Abd Aziz, Jeddah, Saudi. Beliau menjadi pensyarah di universiti berkenaan sehinggalah beliau bertemu dengan Allah (wafat).

AKHLAK & PERIBADI

Dr Abdullah Nasih Ulwan disenangi oleh semua pihak kecuali mereka yang memusuhi Islam. Beliau menjalinkan hubungan yang baik dengan sesiapa sahaja.

Beliau adalah seorang yang sangat berani menyatakan kebenaran, tidak takut atau gentar kepada sesiapa pun dalam menyatakan kebenaran sekalipun kepada pemerintah. Beliau telah meletakkan amanah dalam dakwah adalah amalan yang wajib kepada umat Islam. Semasa di Syria, beliau telah menegur beberapa sistem yang diamalkan oleh pemerintah di waktu itu dan sentiasa menyeru supaya kembali kepada sistem islam, kerana Islam adalah penyelamat. Keadilan Islam adalah rahmat kepada ummah.

Keluhuran pekerti kesan didikan Islam yang meresap dalam jiwa beliau telah meletakkan beliau sangat disanjungi oleh ulama dan masyarakat. Rumahnya sentiasa dikunjungi oleh orang ramai. Sahabat karib beliau, Dr. Muhammad Walid menyatakan, Dr Abdullah Nasih Ulwan adalah seorang yang sangat peramah, murah untuk memberi senyuman kepada sesiapa sahaja, pertuturannya sangat mudah difahami, percakannya sentiasa disulami nasihat dan peringatan, beliau juga seorang yang tegas dengan prinsip asas Islam.

Dr Abdullah Nasih Ulwan juga seorang yang sangat benci kepada perpecahan dan munculnya berbilang-bilang jamaah dalam negara Islam. Menyeru kepada perpaduan dan kesatuan atas nama Islam untuk membina kekuatan umat Islam yang semakin pudar. Beliau berpendapat bahawa pepecahan umat Islam perlu dimuhasabah semula oleh setiap lapisan umat Islam. Apabila berbincang mengenai perpaduan dan kesatuan umat Islam, airmatanya pasti tumpah menandakan beliau adalah seorang yang sangat cintakan kesatuan umat Islam.

Dalam persahabatan, beliau menjalinkan hubungan dengan sesiapa sahaja serta sentiasa menziarahi teman-teman. Bertanyakan khabar serta mementingkan ikatan ukhuwwah Islamiah yang terjalin. Menghulurkan bantuan dan pertolongan sekalipun terpaksa bersusah payah untuknya.

PENULISAN



Dr Abdullah Nasih Ulwan sangat gemar kepada penulisan, kertas dan pena sentiasa bersama walau di mana beliau berada. Walaupun sibuk dengan kuliah, nadwah dan syarahan, beliau tetap memperuntukan masa untuk penulisan. Beliau telah menghasilkan hampir lima puluh buah kitab yang membincangkan pelbagai tajuk.

Di antara kitab karangan beliau yang masyhur ialah:

1. Pendidikan anak-anak di dalam Islam (2 jilid).
2. Hukum zakat menurut empat mazhab.
3. Madrasah Duat.
4. Takaful Ijtimaei dalam Islam.
5. Insurans Menurut pandangan Islam.
6. Pemuda Islam dalam menghadapi serangan musuh.
7. Menolak keraguan yang didatangkan musuh.

Beliau juga banyak menulis kitab mengenai tarbiah Islamiah, kitabnya yang berkaiatan dengan tarbiah Islamiah sangat menyentuh jiwa pembaca. Ini kerana tulisan yang terbit dari hati, insyaallah akan jatuh ke hati. Di antaranya ialah:

1. Kepada Pewaris Anbiya.
2. Thaqafah Daeiah.
3. Ruhaniah Daeiah.
4. Kisah Hidayah (2 jilid)
5. Sifat Jiwa dan diri Daei.

Beliau telah meninggalkan sebanyak 43 karangan untuk umat Islam.

Menerima Rawatan dan Tekun Menulis Dalam Keadaan Sakit

Setelah pulang dari menghadiri Nadwah di Pakistan, beliau telah mengadu sakit di bahagian dada kepada salah seorang doktor perubatan di Universiti Malik Abdul Aziz. Doktor telah mengesahkan beliau mengalami penyakit di bahagian hati dan paru-paru. Beliau dimasukkan ke Hospital untuk mendapat rawatan pakar. Beliau mendapat rawatan dalam masa yang agak lama di hospital ini. Beliau meminta izin untuk keluar dari hospital bagi menunaikan temu janji yang terpaksa dibatalkan semasa berada di hospital. Walaupun dalam keadaan sakit, tugas menyampaikan risalah Islam tetap diteruskan dengan bertenaga. Kesakitan pada paru-paru dan hati tidak menghalang beliau dari terus aktif menyampaikan kuliah di Universiti dan majlis-majlis nadwah dan seminar. Melupai kesakitan yang dialami demi islam tercinta.

Beliau dimasukkan kali kedua ke hospital yang sama setelah kesakitan yang dialaminya semakin kronik. Semasa dirawat di hospital beliau banyak menulis bahan ilmiah sebagai ganti memberi kuliah di luar di samping minat membaca kitab-kitab tetap diteruskan.

Pakar-pakar perubatan dan sahabat handai menasihati beliau supaya berhenti membaca dan menulis kerana ianya akan menjejaskan rawatan dan menambahkan kesakitan yang dialami, tetapi Dr Abdullah Nasih Ulwan hanya tersenyum dan berterima kasih atas keprihatinan mereka serta menyatakan, selagi tangan, mata dan nadinya masih berdenyut selagi itulah sumbangan kepada dakwah Islamiah wajib diteruskan. Selagi tangannya mampu memegang pena selagi itulah beliau akan terus menulis. Sehinggalah pada keadaan beliau tidak dapat bangun, beliau meletakkan bantal di atas perut untuk menulis dan membaca. Keadaan ini berterusan sehinggalah beliau bertemu Allah.

WAFATNYA

Dr Abdullah Nasih Ulwan meninggal dunia pada hari Sabtu jam 9.30 pagi 5hb Muharram 1408 Hijrah bersamaan 29hb Ogos 1987 di Hospital Universiti Malik Abdul Aziz Jeddah, Saudi dalam usia 59 tahun. Jenazahnya di bawa ke Masjidil Haram untuk disembahyang dan dikebumikan di Makkah. Solat jenazahnya dihadiri oleh ulama-ulama di seluruh pelusuk dunia. Pemergiannya diiringi oleh umat Islam seluruh dunia. Dunia kehilangan ulama murabbi yang benar-benar ikhlas dalam perjuangan menegakkan Islam. Beliau telah menyerahkan jiwa raga untuk Islam dengan pengorbanan dan jihad yang sangat besar.

Walaupun beliau sudah pergi menemui Allah tetapi dakwahnya tetap berterusan melalui buku dan kitab yang dihasilkan. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya, mengampunkan segala kesalahan yang dilakukan dan memberikan kekuatan kepada generasi yang memikul amanah dakwah Islamiah selepasnya. Amin.

Edited : S/U SMIAS 2012

Sumber rujukan :

- Muqaddimah Silsilah Madrasah Du'at (jilid 1)
[ http://tamanulama.blogspot.com ] akhi Muhammad Abdulloh Suradi

- Htpp://dakwah.info

sahabat masjid imam as-syafie sesi 2013/2014

sahabat masjid imam as-syafie sesi 2013/2014

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...